Friday 29 May 2015

Qurratul Ain !

Bismillahirrahmanirrahim...




" Kak long, ayah tahu kak long sudah menginjak dewasa. Pastinya kak long mempunyai rasa mahu dicintai, mempunyai insan tersayang bergelar suami.

Kak long, ayah juga akui pemuda yang datang sejak akhir-akhir ini pemuda yang baik. Ayah kagumi caranya mahu mengenali anak ayah ini.

Cuma satu saja ayah mahu sangat kak long tahu, ayah bukan menghalang kak long cuma ayah tak nak melihat anak ayah bersedih lagi.  Jika boleh, ayah mahu kak long bahagia selalu. Kak long mengecapi kebahagiaan dengan sebaiknya. Buat masa ini, biarlah kak long belajar dulu. Ayah tak nak kak long dikecewakan lagi. Bagi ayah, biarlah pemuda itu datang menyunting anak ayah apabila anak ayah sudah bersedia segalanya. Sudah selesai pengajian. Datangnya dengan keadaan terus mahu melangsungkan majlisnya. Tak perlu menunggu lama, risau kak long dilukai lagi.

Ayah sayangkan kak long. Cukup sekali anak ayah menangis suatu masa dahulu, ayah tak mahu melihat peristiwa itu berulang lagi. Selepas ini, harapan ayah, mahu melihat air mata kebahagiaan dalam keberkatan pada wajah anak ayah ini.

Kak long, kasih seorang ibu dan ayah cukup besar kepada anak-anaknya apatah lagi jika anak dara. Bukan senang mahu melepaskan tanggungjawab anak dara kepada seorang pemuda. Ayah harap kak long dapat memahami. Kami sayangkan kak long. "

Nur Qurratul Ain menatap ke dalam mata ayahnya. Dia dapat merasakan perasaan yang ayah mahu sampaikan. Betapa sayangnya hingga tidak mahu melihat si anak berduka lagi. Dia berdiri tepat di hadapan ayah tercinta berdekatan kereta.
Menadah kata nasihat sebelum berpisah.

'Ayah... kak long dapat merasakannya... terima kasih ayah atas nasihat ini...'
Bisik hati kecilnya sambil cuba menahan tangis.

"Baik ayah. Ayah, sebenarnya kak long pun tidak mahu terluka lagi ayah. Sebenarnya, kak long takut sangat apabila hadir pemuda itu. Kak long takut akan berulang lagi perkara sama, kak long tak mahu bersedih lagi. Kak long juga tidak akan memberi harapan padanya sebab kak long juga takut mahu memutuskan keputusan. Ayah, terima kasih sangat atas nasihat ayah... kak long sayangkan ayah."
Ain terus memeluk erat ayahnya...

'Kerana itulah aku sangat menyayangi ayahku, hanyalah dia lelaki yang SETIA dan TULUS ikhlas menyayangiku sedari dulu. Ayah tak pernah menyakitiku. Kadang kala aku terfikir, masih adakah insan yang boleh menyayangiku sebagaimana ayah menyayangiku?'

Aku yakin, pasti takkan sama. Kasih ayah hanya satu, tiada siapa dapat tiru!

Begitulah onak duri apabila menongkah usia dewasa. Diuji dengan kehadiran lamaran itu biasa bagi anak dara.

Bagiku, biarlah untuk masa ini aku menumpahkan sepenuhnya kasih sayangku pada keluarga tercinta. Biarlah aku memfokuskan perhatianku sepenuhnya kepada mereka. Biarlah aku menumpahkan kemanjaan buat adik-adikku. Biarlah aku membelanjakan rezekiku untuk mereka.

Biarlah aku mencurahkan rasa CINTA hanya buat mereka sepenuh jiwa!

Aku tahu, jika aku mahukan pasangan yan mengaulakan (mengutamakan) ibu bapa dalam kehidupannya, maka aku wajiblah sedemikian juga. Aamiin.

Ini kerana, Lelaki yang berbuat baik dengan ibunya pasti akan baik juga layanannya terhadap isterinya. Aamiin.

Pernah aku terdetik dihati "Sabar ain, jadilah penyejuk mata buat ibu ayah dulu ya, 2 tahun sahaja lagi."

Aku akan bersabar dan manfaatkan masa yang ada ini sebaiknya untuk mereka. Tambahan pula, aku khuatir andai tiba ajal mautku lebih awal. Aku tak mahu menyesal di akhirat sana kerana tak berkesempatan menumpahkan kasih sepenuh jiwa kepada keluarga tercinta. Lantaran lalai dengan keduniaan usia remaja.
Nauzubillahi min zalik.



Allahurabbi...

Tidak aku nafikan pasti hadir perasaan mahu berteman apabila melihat sahabat sudah melangkah ke alam pernikahan, tidak kurang juga sudah miliki cahaya mata.
Namun, kini hanya kesabaran sebagai sandaran.

Mahu yang terbaik, haruslah tinggikan mujahadah. :-)

Kini, apabila mata hatiku mulai celik bahawa keseronokan dunia hanya sementara, aku mula mahu mengejar kebahagiaan abadi. Aku telah melakukan sesuatu untuk mengecapi kebahagiaan itu. Salah satunya adalah surprise untuk ibu ayahku, surprise untuk mereka di akhirat nanti, mudahan diterima Allah swt. Aamiin.

InsyaAllah bakal menyusul pula surprise untuk adik beradik lain. Bagiku, aku akan amat bahagia apabila di akhirat kelak mereka dikejutkan dengan surprise itu melaui Allah swt.
Mudahan dengan itu, mereka dapat menjadi penghuni syurga firdausi. Aamiin3.
Terima kasih buat sahabat solehahku kerana melaluinya aku tersentap, aku harus bertindak setiap kali mengingati kematian!
Sebagaimana dia, telah buat persiapan menghadapi kematian andai tidak berkesempatan menemuiku. Dia sudah sediakan surat cinta buatku. :-)

Kini, aku masih dihambat rasa takut akan kematian. Hingga satu tahap, aku rasa mahu gembirakan semua orang. Aku mahu bahagiakan mereka, kerana aku bahagia dapat melihat mereka tersenyum.
Apabila aku sering digelar oleh sahabat-sahabat bahawa aku ini kelakar, aku bersyukur kerana dengan itu mereka bisa tersenyum.
Aku berjaya membuat mereka bahagia biarpun aku sendiri tidak percaya yang aku ini kelakar bagi mereka. Hmm. :-)

Aku mahu melihat mereka sentiasa SENYUM, sebagaimana aku yang suka senyum.
:-)

Itu juga sebagai bekalanku sebelum kematian menghampiri. Aku mahu membahagiakan insan sekelilingku semampu aku.

Biarpun aku sedar, aku tak mampu membahagiakan kesemua mereka. Hmm. Hanya doa sebagai ganti.


Buat awak, sehebat mana sekalipun ujian-ujian ini merempuh saya, akan saya cuba kuatkan diri. Saya tahu, melaluinya Allah sedang mendidik diri menumu kematangan dan mengenal kehidupan.
Awak, sentiasa dalam doa saya, menjadi rahsia saya dengan DIA.
Jika bukan jodoh saya dengan awak, di dunia ini, saya berharap jodoh saya dengan pemuda syurga sana. Aamiin3.
semoga bahagia menjalani kehidupan seharian awak. Aamiin3. :-)

Bahagiakanlah dan hormatilah ibu ayah awak, saya sedang membahagiakan ibu ayah saya. Andai ada jodoh, moga kita akan disatukan beberapa tahun lagi, aamiin.
Moga awak adalah pemuda yang dilimpahkan dengan sifat penyayang biarpun orang melihat awak penuh ketegasan.

Di sini mahu saya tekankan bahawa utamakanlah pandangan dan nasihat ibu ayah tercinta kita. Redha Allah swt terletak pada redha mereka. Yakinlah, apa saja yang mereka putuskan adalah keputusan bertunjangkan kasih sayang. Kasih sayang yang tiada banding nilainya!

Yakinlah jika hari ini,tahun ini kita menghormati mereka, pasti di masa hadapan segala aturan kehidupan kita LEBIH mudah dan berkat. Percayalah. Allah swt tidak akan sia-siakan anak yang menghormati orang tuanya.
Sering kali saya melihat realiti kehidupan ini, mereka yang sangat menjaga hati orang tua, perjalanan kehidupan sangat 'mewah' dengan rahmat Allah swt. SubhanaAllah.

Itulah kebenaran janji Allah swt. DIA tidak pernah mendustai akan janjiNya. Selagi kita beriman padaNya, patuh pada ibu bapa, pasti rahmatNya menyusuri kehidupan kita. Pasti, Dia kan Maha Penyayang.:-)

JOM ! Jadi penyejuk mata ayahanda bonda kita. Jangan kita sakiti hati mereka. Bahagiakan mereka semampu kita. Jangan sampai kita menyesal, setelah mereka tiada di depan mata. Moga andai mereka ditakdirkan pergi dahulu, kita lapang hati kerana telah laksanakan tanggungjawab sebagai anak sebaiknya, sepanjang hayat mereka. Mari, sama-sama kita! :-)

Seburuk dan sejahat mana sekalipun mereka, jangan kita memderhakai mereka. Banyakkan berdoa pada Allah swt agar mereka diberikan hidayah ya.

sebarkan kasih sayang....
Terhadap kesemua makhlukNya. :-)




Tulisan ~Nur Qurratul Ain ^^




290515
0251pm
Jumaat Barakah

Tuesday 26 May 2015

Sayap Cinta


Bismillahirrahmanirrahim....

 Ya Rabb,
Bantulah hambaMu ini untuk menyebarkan kasih sayang ini,
Selebarnya kepada mereka...

 Ya rabb,
Bantulah hambaMu ini untuk menyantuni mereka sesantunnya,

Ya rabbi...
Bantulah diri ini untuk mengorbankan segala-galanya...
Untuk mereka...

Limpah ruahkanlah diri ini dengan kasih sayang dan cinta...
Untuk ditumpahkan hanya buat mereka....

Tiada insan paling aku cintai SEPENUH HATI melainkan USRATI.

Ya rabbi, jagakan mereka buatku selalu.

Ingin aku menjadi sayap cinta buat mereka menuju syurga..aamiin3.

Sungguh, aku sayangkan pa, ummi, abg ejad, abg ika, abe, adik, eby dan ina..

 Sayang pa, lelaki paling dikasihi, paling dipercayai. Hanya dia. :(

Semoga cepat sembuh abe. Demam denggi. Kak sayangkam abe.



Ukm Bangi
0146 am
260515

Thursday 21 May 2015

Mesir dan Dr.Morsi


Bismillahirrahmanirrahim...

Perkongsian kali ini, saya mahu kongsikan penulisan daripada seorang sahabat perjuangan di kampus ini. Semoga kita semua, sebagai Muslim, teruskan berdoa kepada saudara-saudara Muslim kita yang ditimpa ujian. Samada di Mesir, Rohingya dan selainnya lagi.

Bukankah doa itu senjata mukmin?

Maka, janganlah kita berhenti berdoa. Ini ujian juga buat kita, samada kita menjadi manusia yang PEDULI atau manusia yang sengaja membutakan mata dan mentulikan telinga sendiri.



MESIR DAN DR. MURSI



Di zaman Saidina Umar, Mesir dibuka oleh Amru al-As dan seterusnya menjadi tapak kepada beberapa kerajaan Islam dan menjadi kiblat ilmu kepada umat Islam dengan tegas berdirinya pusat agung keilmuan, Universiti al-Azhar. Bumi yang turut menjadi saksi kesombongan Firaun yang berhadapan dengan Nabi Musa AS, begitu juga Nabi Yusof yang terpenjara akibat fitnah dan akhirnya menjadi Menteri Kewangan Mesir. Dr. Mursi hadir memecah kebuntuan politik Mesir, bahawa dengan kemenangan beliau itu, bermakna dunia akan ralit berbicara tentang Ikhwanul Muslimin yang membidani tokoh hebat yang menghafal 30 juzuk Al-Quran ini.

Lebih 40 tahun Mesir menyaksikan Presiden berasal dari wilayah Menufiyah iaitu Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Sebelum penubuhan republik, Mesir diperintah oleh Jeneral Muhammad Najib sebelum berpindah ke tangan Jamal Abdul Nasir yang berasal dari wilayah Asyut. Dr. Mursi merupakan Presiden Republik Arab Mesir ke-5 dan beliau adalah Presiden dari kalangan orang awam yang dipilih melalui pilihan raya.

Dan kini kita melihatkan kegembiraan pasca awal pemerintahan Dr. Mursi terus dilanda dengan pelbagai mehnah yang mungkin sesetengah manusia akan mudah menarik diri keluar daripada jalan perjuangan ini. 23 Jun dahulunya, merupakan detik pemula penggulingan Dr. Mursi daripada takhta kerajaan yang secara demokrasi telah dipilih oleh rakyat. Arahan meletakkan jawatan oleh Menteri Pertahanan, Abdel Fattah al-Sisi yang turut disokong oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Hesham Kandil, langsung tidak menggugat kewibawaan individu berjiwa al-Quran ini.

16 Mei, hari yang bakal menjadi ingatan dalam proses kehakiman Mesir dan sejarah dunia, apabila pemerintahan taghut ini menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas presiden, Mohammed Mursi atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang presiden, Hosni Mubarak. Dan antara kata-kata akhirnya di mahkamah, “ Ini sudah cukup untuk kita. Allahlah yang mencukupkan (pertolonganNya) untuk kita. Allah sangat suka apabila melihat kepada hambaNya, mereka ketika itu sedang menyeru kepada agama Allah, beramal dengan sunnah, (Nabi)Nya, berpegang teguh dengan agama dan taliNya. Firman Allah: ( dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah semuanya dan janganlah memisahkan diri (dari tali Allah)...”

Sebagai tanda kebersamaan dan kepercayaan yang tinggi pada pejuang-pejuang Agama Allah ini yang semestinya nasib mereka bakal terbela pada penghakiman Yang Maha Esa, saya mewakili Saff Kepimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 2015/2016, menyeru seluruh anak muda,mahasiswa dan seluruh masyarakat di Malaysia, agar kita sama-sama bermunajat, berdoa dan solat hajat supaya golongan yang dizalimi ini sentiasa ditunjukkan jalan kebenaran dan akhirnya Allah menunjukkan kuasa kebenaran yang sebenar-benarnya di muka bumiNya ini. Takbir!.




Muhammad Shabil Muhafiz bin Harun
Salihah binti Zainal Abidin

Exco Hubungan Luar dan Pengantarabangsaan 
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 2015/2016
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tuesday 5 May 2015

Mari Mencintainya !


Bismillahirrahmanirrahim...


Sayanginya,
Patuhi mereka.
Santuni mereka.
Bahagiakan mereka.
Ibu ayah kita.

Dengan penuh kasih sayang saya menuliskan ini. Sebagai peringatan kita bersama.
Saya tahu sepanjang kita menjalani kehidupan ini, pasti ada keinginan kita dibantah oleh kedua ibu bapa. Tambahan pula, apabila kita di usia remaja menjengah dewasa.
Pasti ketika itu kita akan mengatakan ibu ayah tidak memahami kita. Ibu ayah tidak mahu melihat kita bahagia. Ibu ayah mahu mengongkong kehidupan kita. Ibu ayah itu ini dan pelbagai lagi.

Duhai sahabat,
Andailah dapat kita selami dan memasuki ke dalam hati ibu ayah, pasti kita tidak akan berkata sedemikian.
Andailah dapat kita berada dalam 'kotak fikiran' mereka, pastilah kita sangat mensyukuri atas keputusan mereka.

Mengapa saya berkata sedemikian duhai teman?

Ini kerana, ibu ayah membuat sesuatu kepada kita penuh dengan kasih sayang dan ketelitian.

Cuba ulang baca. Penuh kasih sayang !

Tiada ibu ayah yang mahu melihat anak-anaknya berduka dan kecewa. Pasti dalam hati mereka mengharapkan kita beroleh kebaikan sentiasa. Di dunia juga akhirat sana.

Ingin saya kongsikan. Saya pernah bermimpi saya memiliki seorang anak. Dalam mimpi itu saya dapat merasakan aliran kasihnya seorang ibu apabila melihat anaknya menangis. Dalam mimpi itu juga, saya tidak mahu melepaskan anak saya walau apapun yang terjadi. Saya mahu usaha agar ia tidak berterusan menangis.
Terjaga dari tidur, saya terfikir Ya Allah, begitukah perasaan sang ibu kepada anak-anaknya? Allahurabbi... Sungguh, dapat rasai betapa setiap wanita bergelar ibu AMAT menyayangi anak-anaknya.

Percayalah teman, mereka hanya mahukan yang terbaik buat kita. Mereka mahu melihat kita tersenyum selamanya.

Sedikit pesanan,  selagi mereka masih ada di depan mata kita, tolonglah hargai ibu ayah kita sebaik-baiknya.
Apabila pulang ke rumah, cubalah luangkan masa sebaiknya bersama mereka. Kurangkan berdamping dengan Whatsapp atau gadjet. Banyakkan menabur kasih sayang kepada mereka. Peringatan buat saya sendiri terutamanya.

Sematkan dalam hati dan ingatan kita, esok, minggu depan atau bulan depan belum tentu aku dapat bersama mereka lagi.

Setiap kali sudah mempunyai perancangan mahu pulang ke kampung halaman, dan seandainya hadir kerja saat-saat akhir, cubalah usahakan pulang juga. Sekiranya kerja itu tidak mustahak. Cubalah didik diri kita agar tidak menangguhkan kepulangan ke kampung. Cubalah didik diri kita menjaga hati orang tua bermula di alam kampus. Dengan harapan, di alam pekerjaan kelak kita tidak bersikap sedemikian. Cubalah bahagiakan mereka dan tunaikan janji pada mereka.

Pernah saya sendiri diuji sedemikian. Terdapat dua program di saat akhir. Saya sudah khabarkan kepada ummi pa mahu pulang hari Jumaat. Program pertama Jumaat malam dan program kedua hari Sabtu dan Ahad. Maka solusinya, pagi Jumaat itu saya bergegas pulang ke rumah. Petangnya saya kembali semula ke kampus. Pada waktu itu, walaupun sekejap cuma, saya berpuas hati. Sesungguhnya saya sendiri sedang mendidik diri ke arah itu. Sama-sama kita cuba menjaga hati orang tua kita sebaik-baiknya ya. :)


Merekalah satu-satunya insan paling berharga di dunia ini dalam kehidupan kita. Mereka insan pertama. Bukan isteri, suami, anak, tunang atau sahabat. Merekalah segalanya. Sebagaimana mereka menganggap kita ini (para anaknya) sebagai jantung hati dan nyawa kebahagiaan mereka, maka moga kita menganggap mereka sedemikian juga. Aamiin.

P/s : Kadang kala memang terasa berat mahu melepaskan sesuatu yang baik dimata kita, namun dimata mereka pasti lebih baik berbanding itu. Moga Allah swt kurniakan yang lebih baik selepas ini seiring redha ibu bapa dan Dia. Aamiin.


Selamat menghargai dan mencintai ayahanda bonda sepenuh jiwa ! :)
Mari, bersama kita mencintai mereka ! :)



Tarikh menulis ini >

040515
Gombak
0030 am