Tuesday 25 August 2015

Teroka


.... بسم الله الرحمن الحيم



Jika kita dapat meneroka fikiran ayahanda dan bonda kita,

Agak, kita sanggup lagi tak nak kusutkan fikiran mereka dengan karenah kita?

Dengan sikap degil kita?

Dengan sikap bercakap kasar kita?

Dengan permintaan besar kita semata-mata untuk dipenuhi kemahuan diri?

Rasa,
Kalaulah dapat kita menjadi manusia kecil dan menjalar masuk dalam minda mereka, kita akan temui pelbagai perkara yang mereka fikirkan untuk zuriat mereka... Apa yang difikirkan mereka setiap minit, jam dan hari.

Pasti kita takkan SANGGUP membebani mereka, mengusutkan kehidupan mereka dan mahu memberi mereka BAHAGIA saja.

Mak ayah makin tua, luaran saja nampak mereka gagah bekerja, hakikatnya pasti mereka terasa lelah.

Allahurabbi... Tulisan ini saya nukilkan dan terasa ingin kongsikan, apabila tetiba terfikir andailah saya dapat tahu apa di fikiran ibu ayah saya selama ini...


Mari kita menjadi anak yang baik buat mereka. Sentiasa mendoakan mereka. Jika tak berkesempatan balas jasa mereka di dunia, harapnya mereka beroleh bahagia di sana. Kerana doa ikhlas kita dan kerana RAHMAT Ilahi.

Muhasabah sendiri.



Gombak
250815
0827 am

Sunday 23 August 2015

Perindu Baitullah



Bismillahirrahmanirrahim...

Mata saya mengembara lagi ke helaian baru "Kubah hijau sangat sinonim dengan Masjid Nabawi. Di bawahnya terletak kawasan rumah Baginda saw bersama Aisyah r.a bersebelahan dengan Raudhah salah satu tempat yang dirindui oleh umat Islam."

Selesai membaca tulisan itu di bawah gambar Masjid Nabawi, bergenang air mata saya... Terbayang sirah kehidupan Rasulullah saw. Entah rasa apa yang menyelinap masuk di segenap kalbu ini.

Tatkala saya memulakan perkongsian ini, saya baru sahaja bangkit dari tidur dan mimpi. SubhanaAllah, Maha Kuasa Allah, apabila terjaga saya merasakan sepertinya mimpi itu suatu realiti. Saya benar-benar berpijak di tanah suci Makkah. SubhanaAllah.

Barangkali kerana sebelum tidur tadi saya membaca buku Nota Dari Madinah, terbawa-bawa hingga dalam mimpi. Namun, sedikit sebanyak mengubat kerinduan yang sedang membuak terhadap Makkah dan Madinah.

Ingin saya kongsikan, perasaan rindu ini terhadap tanah suci mula hadir pada bulan Ramadhan lalu. Begitu juga rindu saya pada Rasulullah saw. Sebagaimana dalam post sebelum ini. Tidak saya sangka pula, ia semakin mekar di kalbu ini hingga kini. Allahuakbar... Allahumma solli ala Muhammad.

Kuatnya rindu ini walhal saya tidak pernah berpijak ke sana dan menemui baginda saw. Disebabkan itu, saya sangat bersyukur diizinkan Ilahi menjalani ibadah puasa Ramadhan lalu. Beberapa perkara berlaku menjadikan ia Ramadhan paling indah sepanjang hidup ini. Allahuakbar. Allahuakbar. Alhamdulillah.

Jikalau saya berpeluang berpuasa dan menyambut Ramadhan di sana, pasti ia menjadi lebih indah lagi berbanding Ramadhan tahun ini. InsyaAllah, moga Allah izinkan dan memakbulkan harapan berbentuk tulisan ini. Tahun hadapan, mudahan. Allahumma aamiin.

"Benar, Makkah dan Madinah merupakan dua kota yang sangat dirindui oleh umat Islam. Ajaibnya... ada yang tidak pernah sampai ke sini, tetapi 'tergila-gila' merinduinya" Allahurabbi. Termasuk jua diri saya.

Setiap kali saya melihat gambar dan menonton video di Makkah melalui Instagram, hati saya merasa sebak dan mengagumi keindahan tanah haram itu. Apatah lagi apabila mendengar laungan azan disana, usah dikata sebaknya dalam jiwa. Hanya hati bersuara dan mengungkapkan lafaz suci.

SubhanaAllah, saya tahu ramai lagi umat Islam seperti saya, merinduinya. Moga Allah swt mengizinkan kita ke sana. Aamiin3.

Jika selama ini, sering saya mengirim doa kepada sahabat dan kenalan yang telah ke sana tetapi kali ini lain rasanya. Teringin sungguh mahu meminta dan merayu penuh pengharapan dengan lisan sendiri di sana! Mahu meluahkan segala yang terbuku selama ini. Mahu berdoa sungguh-sungguh.

Bersyukurlah bagi kalian yang sudah dipilih Allah swt dan dimurahkan rezeki ke sana ya. Tersenyumlah kalian atas nikmat itu kerana hari ini ramai sedang menaruh hajat mahu ke sana. Pasti, ramai juga sudah lama merancang namun belum diizinkan. Hanya yang terpilih mendapat kelulusan Allah swt.

Namun, cuba tanya pada diri, sejauh mana ia memberi kesan kepada perubahan jiwa dan perasaan menjalani kehidupan di tanah air setelah pulang dari sana? Persoalan ini khas buat mereka yang sudah ke sana. :-)

Ibadat ini sebenarnya merupakan anugerah dari Allah swt yang membolehkan manusia lebih dekat dengan-Nya. Serta ia boleh membawa manusia ke syurga.

Abu Hurairah r.a menyatakan Rasulullah saw bersabda :

" Siapa yang mendatangi rumah ini (menunaikan ibadah haji atau umrah) tanpa merosaknya dengan perbuatan dan perkataan kotor, serta tidak membuat maksiat, maka dia kembali pada keadannya seperti baru lahir (bersih daripada dosa).
(Riwayat Muslim)

SubhanaAllah... Luar biasa kesan ibadat ini jika sempurna perlaksanaannya. Sifat-Nya Ghaffar, diakui. Maha Pengampun.

"Bagi mereka yang datangnya beribu batu untuk bermusafir dan beramal ibadat di Makkah dan Madinah, maka biarlah ia menjadi satu pengalaman yang boleh mengubah sempadan IMAN."

Benar, permusafiran yang amat jauh itu usah dipersia. Jika tahun ini, berpeluang berpijak ke sana, tahun akan datang belum tentu diizinkan lagi walau wang bertimbun. Biarpun kita beranggapan bila-bila masa boleh ziarah lagi.

Maka, bersyukurlah kalian...

Bersyukurlah kalian yang telah diberi kesempatan itu. Apatah lagi yang ke sana di usia muda. Saya cemburu dengan kalian.

Maka...

Lafazkan syukur sepenuh jiwa... Saya mendoakan kalian terus dipertingkatkan iman dan taqwa pada-Nya. Aamiin.

Biarlah rindu ini terus mekar jika ia satu wasilah untuk saya dan kita lebih tinggi pengharapan pada-Nya memakbulkan hajat ini. Aamiin.

Saya yakin, Allah telah rencanakan yang TERBAIK untuk saya. Juga jalan dan cara ke sana kelak. Kini, perlu berdoa. :-) InsyaAllah, sesama kita saling mendoakan.

Semalam saya ke MPH, puas mencari buku yang dikirim oleh sahabat, tidak ditemui. Lalu saya ditemukan jodoh dengan buku "Nota Dari Madinah", apa lagi... Saya terus membelek-belek ia. Saya lebih fokus kepada gambar-gambar kerana waktu yang terbatas. Setiap kali membaca tulisan di bawah gambar, pasti berselawat kepada Nabi Muhammad saw dalam hati. Secara spontan. Allahu.. Allahumma solli ala Muhammad... Allahuakbar.

Lalu, saya jatuh cinta pada buku itu dan memilih untuk memilikinya! Seiring kerinduan pada Makkah dan Madinah yang sedang dirasai.

Syukur Allah swt mempertemukan dengan buku sedemikian yang banyak menekankan kepada persediaan sebelum berlepas ke sana agar kita tidak mengulangi kesilapan biasa dilakukan jemaah sebelumnya, bagi merasai nikmat beribadat di sana. Lantas memperoleh ganjaran yang dijanjikan Allah swt. (Rujuk hadis di atas)

Ibadat yang memberi kesan dan perubahan dalam diri walaupun telah pulang ke tanah air, itulah yang terbaik. Jangan pula kita menjadi seperti kata-kata Muhd Shukri Daud, MSD Travel & Tour Sdn.Bhd "Pergi bagaikan malaikat, pulang umpama syaitan." Nauzubillahi min zalik.

Nanti bacalah buku ini bagi yang belum memilikinya. Saya juga baru mula membaca. Semoga kita memperoleh manfaat yang melimpah melalui perkongsian Ustaz Muhd Kamil Ibrahim dan isteri, Roza Roslan.

Juga, semoga Allah swt membuka jalan dan peluang yang luas untuk kita ke tanah suci Makkah. Allahumma aamiin.

Selamat menunaikan ibadah haji buat sekalian umat Islam, moga mendapat haji yang mabrur. Aamiin :-)

Rasanya sampai di sini sahaja perkongsian saya kali ini.

Salam kemaafan dan salam kerinduan.

Moga dalam jagaan Allah swt semuanya. Aamiin.


♡Perindu Baitullah♡


230815
Gombak