Thursday 29 January 2015

Part 2 " Kenapa Awak Lambat ? "

Bismillahirrahmanirrahim...



~ ~ ~ ~ ~

“ Humaira, malam ni jangan lupa ya kita ada perbincangan untuk subjek Prof.Mariyah kat library.” 
Pesan Sumayyah semasa mereka sedang mengemas peralatan belajar setelah kuliah tengah hari itu berakhir.

Aku mengangguk sambil tersenyum. “ Okay, terima kasih sebab ingatkan saya.”

“ Sama-sama. Saya tahu, kita semua tak sabar nak balik rumah hujung minggu ni. Sebab itulah saya nak kita semua siapkan segera assignment tu. Nanti di rumah, tidak perlu fikirkannya lagi.”

“ Iya! Betul tu Su. Walaupun hanya cuti beberapa hari, namun tak mustahil kita boleh lupakan segala berkaitan universiti, kan? Terutamanya orang macam saya ni, kalau cuti, memang cuti betul. Hehe. Kalau boleh, mahu sahaja di matikan telefon bimbit! ” Aku tergelak kecil dan mengakui satu kelemahan diriku itu.

“ Tapi sekarang saya tak boleh dah berterusan macam tu, sebab saya mulai sedar akan tanggungjawab saya. Dakwah dan kerja yang harus saya lakukan akan diberikan pada bila-bila masa. Maka saya kena bersedia untuk berkorban masa. Bersedia untuk menginfakkan diri juga.” Sambung aku lagi. Kami mula berjalan keluar dari dewan kuliah. Kelihatan para pelajar juga telah meninggalkan dewan itu.

“ Betul tu, Maira. Itulah lumrahnya apabila berada dalam perjuangan Rasulullah saw. Suka ataupun tidak, kita kena usaha menjadi lebih baik dan perbaiki diri kita sedikit demi sedikit. Orang yang mahu berjuang di jalan Allah swt kenalah mempunyai akhlak dan iman mantap di mata Allah swt.” Sumayyah mula menuturkan bicara indahnya. 

“ Tapi kan, untunglah suami awak nanti sebab awak akan off kan handphone. Nanti sewaktu meluangkan masa dengannya, awak akan fokus padanya sahaja. Mesti dia akan sangat menyayangi awak nanti.” Sumayyah bercanda sambil menahan gelak kecil.

Pantas jemari aku mencubit lengan Sumayyah! Ke situ pula dia! Haha. “ Eh, awak ni Sumayyah! Jauh dah tu awak berangan. Saya pun tak pernah terfikir macam tu tau!” Aku turut tersenyum tetapi betul juga apa yang dikatakan Sumayyah itu. Bolehlah praktikkan nanti bila perlu! 

“ Haa, saya dah tolong fikirkan untuk awak la ni. Nanti dah kahwin, cubalah praktikkan ya! Hehe. Jangan marah Maira, saya bergurau saja tau.” Kami sama-sama tergelak, tercuit dengan gurauan Sumayyah.
Kemudian, kami melintasi jalan raya menuju ke perhentian bas. Kolej kediaman kami agak jauh dari fakulti, justeru kami perlu menaiki bas untuk pulang ke kolej masing-masing.

Telefon bimbit aku berdering nyaring. Kelam kabut aku menyeluk tangan ke dalam beg kerana terkejut dengan satu panggilan. Aku melihat tertera nama Dr. Adawiyah pada skrin telefon. Aku sedikit kehairanan apabila dihubungi oleh pensyarah itu yang mengajar kuliah Bahasa Arab.

“ Assalamualaikum, ini Nurul Humaira bt Abdullah, kan?” Kedengaran suara Dr. Adawiyah di hujung talian.

“ Waalaikummussalam, ya Doktor, saya Humaira.” Aku hanya menjawab itu kerana dia kelu untuk bertanyakan soalan lain. 

“ Alhamdulillah, saya tak salah orang. Risau saya tadi. Humaira ada di mana sekarang ya?” Terdengar gelak kecil dari pensyarah itu apabila mengetahui dirinya tidak tersalah orang.

“ Saya sekarang ada di perhentian bas berdekatan kafe kampus, doktor. Kenapa ya, doktor?”

“ Oh yeke, kamu dah nak balik kolej ke? Atau masih ada kelas lepas ini?” Persoalan-persoalan yang diajukan pensyarah itu menimbulkan lagi kehairan dalam kepala aku ini. Aneh betul sebab sangat jarang pensyarah menghubungiku melainkan aku diamanahkan untuk mengumpul tugasan dalam kelas.

“ Saya dah tak ada kelas, doktor. Sekarang tengah tunggu bas untuk pulang ke kolej. Maaf sekiranya saya bertanya, boleh saya tahu kenapa ya doktor? Doktor mahu berjumpa dengan saya ke?”

“ Oh tak mengapa. Iya, tepat sekali. Sememangnya saya mahu berjumpa dengan awak petang ini, boleh ke?”

Aku terdiam untuk seketika. Berjumpa untuk apa? Aku ada buat salah ke? Risau pula Dahiku berkerut-kerut memikirkan persoalan yang tiada jawapan.

“ Humaira, kamu masih di talian?”

Aku terperanjat mendengar suara Dr. Adawiyah di talian. Aku menepuk dahi. “ Err, iya, ya saya masih di talian. Maaf, doktor. Er, boleh, dalam 10 minit lagi saya sampai di bilik doktor. InsyaAllah.”

“ Alhamdulillah. Okay boleh, saya tunggu awak. Terima kasih Humaira sebab sudi datang. Jumpa nanti ya. Okay, assalamualaikum.” Dr. Adawiyah tersenyum walaupun dia tahu senyumannya itu tidak dapat dilihat oleh Humaira.

“ Sama-sama doktor. Waalaikummussalam.” Panggilan itu terus ditamatkan. Aku memandang ke arah Sumayyah yang sememangnya sedari tadi mendengar perbualanku dengan Dr. Adawiyah.

“ Kenapa Humaira?” Soal Sumayyah apabila melihat wajahku seperti dalam ketakutan dan kebingungan. Boleh dikira juga kot lapisan-lapisan kerutan di dahiku!

Aku menjungkitkan bahu sebelum bersuara. “ Entahlah, saya tak tahu kenapa Dr. Adawiyah tetiba nak jumpa dengan saya. Risau pula saya. Risau sekiranya saya ada membuat kesilapan.”

Sumayyah menggenggam tangan aku. “ Awak rasa awak ada buat silap ke? Mesti tak kan?”

Aku hanya menggeleng penuh yakin. Memang, aku tiada membuat kesilapan rasanya. Tugasan yang beliau berikan, aku sudah pun menghantarnya sebelum tarikh yang ditetapkan. 

“ Haa, kalau macamtu, usahlah risau ya. Mungkin ada sebab lain doktor  mahu berjumpa dengan awak. Doa bebanyak mudahan semuanya baik. Jadi awak nak pergi jumpa doktor sekarang ke?”

“ Iya, Sumayyah. Maafkan saya ya sebab tak dapat balik bersama awak. InsyaAllah, kita jumpa lagi malam nanti ya.”

Sumayyah mengangguk dalam senyuman. “ Tak mengapalah, sahabatku sayang. Okay, insyaAllah kita jumpa malam nanti ya. Kalau ada apa-apa, nanti hubungi saya tau. Haa, itu bas dah sampai. Awak jalan elok-elok nanti ya. Semoga semuanya baik-baik.” 

Aku tersenyum kelat. Walaupun Sumayyah cuba menyedapkan hatiku namun masih tidak dapat menghapuskan pelbagai persoalan yang berputar di minda ketika itu. “ Okay, saya harap macam tu juga. Terima kasih, Sumayyah. Assalamualaikum.”

Sumayyah yang telah menaiki bas tersenyum lebar kepada diriku yang belum berganjak dari tempat duduk mereka di perhentian itu. “ Humaira, semoga ia memberi bahagia buatmu.” Bisik hati Sumayyah.



~ ~ ~ ~ ~


Seperti yang dijanjikan, beberapa ahli kumpulan mula berkumpul di perpustakaan pada pukul 9 malam. Aku dan Sumayyah sengaja memutuskan untuk solat Isyak berjemaah di surau perpustakaan agar tidak terlambat menghadiri perbincangan itu. Aku dan dia bukan apa, sebenarnya kami sedang melatih diri untuk tidak menzalimi masa orang lain. Aku melatih diriku sebegitu kerana aku tahu, setiap antara kami pastinya mempunyai tugasan lain lagi harus diselesaikan, bukannya subjek itu sahaja. Justeru, sewajarnyalah cuba menghormati masa orang lain dengan cuba melatih diri datang lebih awal atau tepat pada waktunya apabila telah berjanji.

Hm, sememangnya bukan senang untuk mengubah sesuatu yang sudah sebati dalam diri. Namun, bagiku tidak salah rasanya cuba ‘ketuk dan tampar’ diri untuk berubah demi kebaikan semua. Keempat-empat ahli sudah bersedia untuk memulakan perbincangan, kecuali seorang masih tidak kelihatan kelibatnya. Dimana dia?

“ Korang, tahu tak Aida pergi mana? Saya dah cuba call dia, tapi tak dapat dari petang tadi.” Tanya Bariyah sejurus mengambil tempat duduk di sebelah Sumayyah. 

Fitriyah dan Sumayyah saling berpandangan. Aneh. Kebiasaannya Aida bersama Bariyah, mereka sering berkepit walau dimana berada. Sukar sekali untuk melihat mereka berdua terpisah. Rakan baik semenjak zaman sekolahlah katakan, jadi tidak mustahil jika mereka terlalu rapat dan mesra di alam universiti.

“ Aik, awak tak tahu dia kat mana? Kami ingatkan dia akan datang bersama awak.” Balas Sumayyah sambil memandang tepat ke wajah Bariyah.

“ Takpa, saya cuba call rakan sebilik dia, Aina.” Fitriyah menyampuk sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mendail nombor Aina.

Lima minit kemudian Fitriyah selesai bercakap dengan Aina di talian. Wajahnya kelihatan sayu. Membuatkan kami berempat semakin tertanya-tanya. Aku terus memandang wajah Fitriyah yang berada di hadapanku.

“ Kenapa Iyah?!” Tanya Sumayyah dengan penuh tanda Tanya melihatkan wajah sugul Fitriyah.

“ Korang, sedekahkan Al-Fatihah buat Aida… Dia dah pergi petang tadi.” Jelas Fitriyah sebelum air matanya mengalir deras di pipi. Dia berkali-kali menyeka air mata itu!

“ Innalillahi wa inna ilaihi rojiun…” Kedengaran masing-masing melafazkan ayat yang disarankan Allah swt mengungkapkannya di saat ditimpa musibah dan kehilangan sesuatu yang dimiliki.

Sumayyah terus memeluk Fitriyah yang berada lebih dekat dengannya. Aku pula meluru kea arah Bariyah dan memeluknya kerana pastinya dia lebih merasai pemergian Aida. 

“ Korang, jom kita pergi hospital sekarang… Jomlah korang…” Bariyah mengajak sambil menggoncangkan tubuh aku. Dia menarik-tarik lengan aku.

“ Allahurabbi… Allah… Boleh, mari kita bergerak sekarang.” Tanpa membuang masa, kami segera mengemas peralatan tulis dan buku-buku yang berselerak di atas meja panjang itu. Kami memasukkan ke dalam beg masing-masing dan mula meninggalkan perpustakaan.


~ ~ ~ ~ ~


Malam itu jiwa Humaira benar-benar meronta mahu mencoretkan sesuatu tentang arwah Nuraida bt Mohd Jamil. Kematiannya sangat menyayat hati. Manusia apabila hilang iman dan nafsu menguasai diri, darah daging sendiri sanggup dibunuh tanpa perikemanusiaan! Aida telah ditikam bertubi-tubi oleh abangnya, seorang penagih dadah.  

Pada hari kejadian, Aida terpaksa pulang ke rumah kerana ibu ayahnya dalam ketakutan akan sikap abangnya yang mengamuk. Aida tidak memberikan wang yang diminta abangnya kerana dia berhajat wang itu mahu digunakan untuk menghantar adiknya ke sekolah agama. Abangnya semakin mengamuk dan mengutuk Aida yang berlagak alim mendidik adik-adiknya dengan ilmu agama. Lalu, dia terus menikam Aida dari belakang yang sedang mempertahankan wang simpanannya itu dari dirampas. Allahurabbi. Sayu sekali apabila aku mendengar cerita itu dari ibu bapa Aida. 

Aku mengenali peribadi sahabat solehah itu dan berhasrat mahu sebarkannya untuk dicontohi oleh para remaja lain. Laptop dibuka dan mula mencoretkan bingkisan untuk mengenang dan berkongsi akan peribadi mulia yang dimiliki arwah Aida.

“ Rasulullah saw pernah bersabda, “ Seutama-utama wanita ahli syurga adalah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran dan Asiyah binti Muzahim. Sahabatku yang diberi nama Nuraida bt Mohd Jamil, bukanlah tergolong dalam kalangan empat srikandi solehah itu dan dijamin syurga Allah swt. Namun, aku tahu Aida seorang gadis yang berimpian untuk menjadi sesolehah mereka lalu terpilih menghuni syurga juga. Allahurabbi, sejak aku mengenali empunya nama ini aku sangat mengagumi dirinya. 
Masih segar diingatanku, pertemuan kami bermula dalam majlis suai kenal pelajar semester satu, dua tahun lalu. Apabila ditanya apa prinsip hidupnya, dia berkata,

“ Biarkan jasadmu sakit di dunia untuk dakwah, asal bahagia di akhirat akan janji Allah.” 

MasyaAllah, sungguh aku sendiri terkesan dengan prinsip yang dipegangnya itu dan ternyata dia telah menzahirkan segala perbuatan bertepatan dengan prinsipnya. Dia tidak hanya berkata-kata tetapi melaksanakannya! Pernah satu hari, aku memintanya berikan sedikit nasihat kepadaku. Katanya,

“ Hidup kita hanya sekali, Humaira. Saya bukanlah dari keluarga yang hebat tarbiah dan ilmu agama tapi saya berimpian mahu membawa kesemua ahli keluarga saya ke syurga. Maka Humaira, janganlah mudah berputus asa saat ditimpa ujian-Nya. Teruskan berdakwah walau bagaimana cara sekalipun. Niatkan untuk Islam! Ingat syurga.”

Itulah Aida yang pernah aku kenali, walaupun aku tidak akrab dengannya seakrab arwah dan Bariyah, namun aku berkesempatan mengenali dan mencontohi peribadi indah yang terpancar dari dirinya. Dia sering mengingatkanku akan syurga Allah swt. Dia mahu mencontohi Asiyah binti Muzahim, biarpun dugaanya tidak seperit yang dihadapi Asiyah dalam bertahan dan bersabar akan karenah keluarganya untuk diberikan kesedaran tentang Islam.

Menitis airmataku apabila terkenangkan senyuman Aida dan kenangan yang telah terukir antara diriku dan Aida sepanjang hayat gadis itu. 

“ Aida, dikau antara insan yang memberi dorongan kepadaku untuk bertahan di jalan penghijrahan ini dan terus mengejar syurga. Semoga amalanku dalam memburu syurga turut menjadi asbab pahala terus mengalir buatmu. Aku akan terus mendoakan, semoga syurga buatmu, gadis mujahidah yang terlalu cintakan syurga sepanjang hayat di dunia. Semoga tenang disana dan ditempatkan di kalangan mukminin. Allahumma aamiin.

Sedikit pesanan bersama mahu aku titipkan dalam perkongsian kali ini : Bagi wanita dan lelaki yang belum mendirikan rumahtangga seperti aku, saat usia muda  ini sebenarnya kesempatan besar untuk kita memperbanyakkan amalan salih dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Selagi kita berada di jalan kebenaran, kita tidak perlu takut dibenci oleh masyarakat, sahabat mahupun orang yang paling istimewa di hati kita, kan? Kewajipan kita adalah menunjukkan yang benar tentang Islam. Semoga perkongsian ringkas ini bermanfaat untuk sekalian pembaca. Ayuh bersama kita sebarkan Islam… ( flying love buat kalian yang cintakan Islam ) =)



~ ~ ~ ~ ~


“ Ustaz, adik ana terjumpa seorang muslimat terbaring di bahagian solat muslimat. Adik ana dah cuba kejutkan, tiada tindak balas. Dia merasakan muslimat tu dah meninggal dunia.” Kata seorang pemuda kepada Ustaz Azman yang turut berada di masjid setengah jam sebelum solat Jumaat bermula sejurus menerima panggilan daripada adik perempuannya.

Ustaz Azman segera bergegas ke tempat yang dimaksudkan. Ustaz mendekati ruang itu yang sudah dikelilingi oleh beberapa orang muslimat. 

“ Ustaz, arwah dah tak ada.” Beritahu salah seorang muslimat yang memangku muslimat itu.

Ustaz sekali lagi memeriksa denyutan nadi di tangan muslimat itu. Benarlah! “ Innalillahi wa inna ilahi rojiun… Al-Fatihah.”

“ Ada sesiapa kenal arwah ini?” Tanya Ustaz Azman sambil melihat setiap orang yang berada disitu.

“ Saya mengenali arwah, ustaz…” Pemuda itu menjawab dalam nada sayu. Dia sangat terkejut dan tidak menduga. Sukarnya untuk dia menerima hakikat itu, berlaku di hadapan matanya!



~ ~ ~ ~ ~



Di surau hospital, ketiga-tiga sahabat itu duduk berhadapan dengan Sumayyah. Mereka telah bersedia untuk mendengarkan cerita dari bibir Sumayyah.

“ Siang tadi, selepas solat sunat Dhuha di masjid bersama Humaira, kami ada berborak panjang. Maira meluahkan masalah yang dia hadapi. Saya tahu, korang  pasti sedia maklum tentang kehadiran seorang pemuda soleh yang melamar Maira semasa cuti pertengahan semester lalu, kan?”

Fatin, Sufiya dan Munirah mengangguk, terimbau kembali kenangan mereka berkumpul di bilik Sufiya beberapa minggu lalu untuk menyiapkan kertas kerja satu program. Ketika itu juga, sangat jelas kelihatan wajah muram Humaira seperti sedang menanggung suatu bebanan yang berat.

“ Dia minta saya sampaikan kepada Dr. Adawiyah bahawa bukan dia tidak mahu menerima lamaran itu tetapi setelah istikharah, dia merasakan berat hati sekali mahu menerimanya. Biarpun pada hakikatnya, dia juga menyimpan perasaan kepada pemuda itu. Kadang dia keliru mengapa adanya perasaan berat hati sedemikian. Dia teruskan lagi istikharah hingga dia bermimpi ada seorang pemuda datang menyelamatkan dia semasa dia terjatuh dari tunggangan kuda di suatu kawasan yang berpadang. Dia tak nampak wajah pemuda itu tetapi sudah kali ketiga dia mimpikan perkara sama. 

Katanya lagi semalam yakni malam Jumaat, dia terjaga jam empat pagi kerana bermimpi kuda yang dia tunggangi berhenti di hadapan sebuah khemah berwarna hijau. Disitu tiada seorang manusia pun tetapi tempat itu sangatlah nyaman. Humaira turun dari kuda, dia melihat sekelilingnya, kosong, tak ada suatu benda pun melainkan khemah itu. Tiba-tiba sahaja dia tergerak mahu masuk ke dalam khemah itu, diselak pintu khemah. Pancaran sinaran yang memenuhi ruang khemah itu telah menghalangi pandangannya namun dia terasa…” Sumayyah terhenti seketika menahan rasa hiba. Terasa meremang juga bulu romanya. 

“ Terasa apa, Sumayyah?! ” Fatin segera bersuara kerana tidak dapat bersabar lagi untuk mendengar sambungan cerita mimpi Humaira. Sebenarnya bulu romanya meremang sama.

“ Terasa tangannya dipegang oleh seseorang. Humaira dapat merasakan kedinginan pegangan tangan itu. Insan itu memimpin Humaira memasuki ke dalam khemah. Dia memimpin Humaira penuh dengan kelembutan sehinggakan Maira berasa amat selamat dengan insan itu. Saat dirinya berada di tengah khemah itu, barulah silauan cahaya itu hilang! Dia mula dapat melihat keadaan di dalam khemah itu. Hanya terdapat dua kerusi berwarna putih yang dihias cantik di hadapannya. Semuanya putih suci dan berbau harum. Tidak pernah Maira mencium bauan seharum itu. Humaira menoleh ke kanannya untuk memandang wajah orang itu, namun dia sekali lagi dihalangi oleh silauan cahaya namun dia dapat melihat senyuman yang terukir pada wajah itu. Bagi Maira sangat menyenangkan jiwanya melihat senyuman terukir itu.”

 “ Orang itu lelaki ke perempuan?!” Sufiya bertanya, memotong cerita Sumayyah. Fatin dan Munirah turut mengangguk, mahukan jawapan itu.

“ Seorang pemuda. Selepas itulah Humaira terjaga jam empat pagi. Dia terus menunaikan solat sunat Tahajjud dan solat sunat lain. Allahuakbar, meremang bulu roma saya semasa Humaira menceritakan mimpi itu kepada saya. Saya beranggapan, mungkin pemuda itu adalah pemuda syurga. Mungkin, namun segalanya hanya Allah swt yang mengetahui, kan?”

Sufiya, Fatin dan Munirah menganggukkan kepala mereka. Sufiya tertekup mulutnya dengan tangan kerana sangat terkejut dengan mimpi yang di alami Humaira. Mungkin itu petanda baik buat Humaira, yang kemudiannya meninggal dunia di masjid keesokan harinya.

“ Maira menangis di bahu saya kerana dia merasa berat sekali dengan ujian ini. Hatinya mahu menerima lamaran itu tetapi disebabkan petunjuk itu, dia merasakan sukar untuk memutuskan samada mahu menurut kehendak hati atau petunjuk dari Ilahi. Jam 11 pagi saya ada kelas, jadi saya terpaksa pergi. Saya tinggalkan Maira di masjid. Dia ada cakap, ‘panjang umur akan berjumpa lagi, teruskan berdoa saya syahid ya.’ Waktu itu, saya tak fikir apa-apa dan terus ke fakulti hinggalah saya mendapat mesej daripada Nasrullah dan sahabat-sahabat lain mengatakan Maira meninggal dunia di masjid. Arwah lengkap memakai telekung solat dan memeluk Al-Quran ketika ditemui.” 

Cerita Sufiya terhenti disitu kerana dia tidak dapat lagi menahan rasa sebak. Mutiara-mutiara jernih laju mengalir sehingga tidak terbendung lagi. Di matanya terbayang-bayang wajah Humaira yang tersenyum dalam tangisan siang tadi. Terbayang-bayang kemanjaan Humaira setiap kali bersamanya, terbayang semangat perjuangan yang terpancar dari butir bicara dan perbuatan Humaira. Dia kini mengetahui, mengapa Humaira begitu bersemangat membuat kerja dakwah beberapa minggu lalu. 

Dia tertunduk lemah sebelum dipeluk oleh sahabat-sahabatnya. Mereka berempat sama-sama berpelukan dan tidak dapat menahan kesedihan atas kehilangan permata solehah bagi mereka.

“ Sesungguhnya orang-orang Mukmin yang sebenarnya adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka ke jalan Allah, merekalah orang-orang yang benar-benar beriman.” – Surah Al-Hujurat, ayat 15.



~ ~ ~ ~ ~


Usai solat sunat rawatib selepas Isyak, telefon Sumayyah berdering mendendangkan lagu Maher Zain, OpenYour Eyes. Sumayyah yang masih bertelekung terus mencapai telefon yang berada di atas tilam. Tertera nama Nasrullah. Dia kehairanan, mengapa Nasrullah menghubunginya?

“ Assalamualaikum Sumayyah, ada dimana sekarang?”

“ Waalaikummussalam, saya ada di kolej saya. Kenapa?”

“ Oh, baguslah. Saya mahu berikan barang milik arwah Humaira kepada awak. Adik saya menemuinya di masjid pada hari kejadian. Sekarang saya dah sampai di kolej awak. Saya tunggu awak di hadapan pondok pengawal ya.”

“ Yeke? Okay, okay. Sebentar lagi saya datang.”

Sejurus panggilan ditamatkan, Sumayyah terus menukar pakaian. Dia sempat mengajak Fatin yang berjiran bilik dengannya untuk menemaninya bertemu dengan Nasrullah.

Mereka berdua berjalan laju menuju ke tempat yang dimaksudkan Nasrullah. Dari jauh sudah kelihatan Nasrullah sedang berdiri bersebelahan kereta yang di parking berdekatan pondok pengawal. 

“Assalamualaikum Nasrullah.” Sumayyah memberi salam setelah berada di belakang Nasrullah. 

Lelaki itu kelihatan kemas berjubah hitam dan berkopiah putih. Melihatkan pemakaian Nasrullah, dia teringat akan kata-kata Humaira, dia terpikat dengan Nasrullah disebabkan pemakaian sebeginilah. Kata Humaira, pada kaca matanya kelihatan penampilan Nasrullah sangat berbeza dengan mahasiswa lain, sangat kemas. Tidak dinafikan, ketenangan yang terpancar pada wajah Nasrullah juga menyebabkan terasa sejuk jiwa bagi setiap yang memandangnya. Di sebabkan itu dia tidak membantah apabila mengetahui insan soleh yang Humaira sukai dalam diam adalah Nasrullah. Dia jugalah orang yang paling menyokong dan menyuruh Humaira menerima lamaran Nasrullah apabila mengetahui pemuda itu telah melamarnya. Bukankah ia suatu rezeki yang tidak seharusnya Humaira tolak?

“ Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih sebab sudi datang. Ini buku Humaira. Adik saya cakap mungkin ini diari Humaira sebab dia mendapati terdapat beberapa catitan di dalam buku ini. Dia terjumpa selepas arwah dibawa ke hospital.” Balas Nasrullah sambil menghulurkan buku nota tebal, muka hadapannya berwarna hitam dan dihias dengan corak hiasan berwarna ungu.

Sumayyah mencapainya dan dia pantas mengangguk apabila melihat buku itu. “ Memang benar, ini diari Humaira. Dia selalu membawa buku ini ke mana sahaja dia pergi. Syukran kathera sebab pulangkan kepada saya. InsyaAllah nanti saya akan pulangkan kepada keluarganya.”

“ Sama-sama. Baiklah, kalau tak ada apa-apa lagi, saya pulang dulu. Semoga kalian terus tabah dan sabar atas pemergiannya. Assalamualaikum.”

“ InsyaAllah, mudahan Nasrullah juga begitu. Waalaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.”



~ ~ ~ ~ ~


Sudah tiga hari Humaira pergi. Selama itu Sumayyah meluangkan masa untuk membaca dan menyebarkan setiap tulisan di blog Humaira. Dia dan sahabat-sahabatnya juga telah print setiap artikel yang ditulis Humaira, di fotostat sebanyak mungkin dan diedarkan kepada para pelajar kampus. Semua usaha itu adalah untuk menyebarkan lagi dakwah Humaira dan mahu pahala terus mengalir buat Humaira. 

Sumayyah terjumpa satu perkongsian tentang arwah Nuraida yang ditulis setahun lalu di blog Humaira, lalu dia berhasrat kali ini biarlah dia pula coretkan kisah pencinta syurga bernama Nurul Humaira bt Abdullah.
Sudah hampir sejam lebih dia mencoretkan sesuatu sebagai kenangan, kisah perjalanan hidup sahabat yang sangat dikasihinya itu. Dia menulis ditemani air mata kerana sangat merasai kehilangan Humaira dan masih terasa segala kenangan indah bersama Humaira.

Dia berhenti menaip seketika. Disentuhnya diari milik Humaira yang diserahkan kepadanya oleh keluarga Humaira. Bapa Humaira berikan kepadanya untuk dijadikan barang simpanan atau kenangan dari arwah. Sungguh, dia terharu akan penghargaan dan kepercayaan yang diberikan itu. Inilah satu-satunya kenangan yang ada dan bisa dia sentuh serta cium setiap kali merindui Humaira.

“ Namun, kini segalanya tinggal kenangan cuma. Humaira, telah pergi meninggalkan dunia fana dan mungkin pemergiannya ini kerana menerima lamaran pemuda di Syurga. Yang telah lama  menantinya disana. Selepas pemergian Humaira, baru saya terfikir, mungkin jua pemuda dalam mimpi Humaira, yang telah membantunya sewaktu dia terjatuh dari tunggangan kuda itu adalah pemuda Syurga yang dijanjikan Allah swt kepada hamba-Nya yang berjihad dan telah mengorbankan diri di jalan perjuangan. Nurul Humaira, sahabat solehahku yang terlalu rindukan Syurga dan cintakan perjuangan.

Tenanglah dan berbahagialah dikau disana, sahabat solehahku. Moga kita akan bertemu di Syurga. Aamiin.
Di sini, saya akhiri coretan syahdu ini dengan perkongsian kata-kata dari diari Humaira. Semoga bermanfaat untuk setiap jiwa yang membacanya. Semoga jiwa yang berkehendakkan kebaikan, akan turut mencontohinya."



“ Aku, 

Bukan tiada rasa ingin bercinta. Ada, pernah ia hadir dalam jiwa. Kini, aku menanam tekad mahu melupakan seketika cinta manusia. Aku mahu fokus pada satu cinta, yakni cinta Dia Yang Maha Berkuasa. 

Sejak itu, aku bisa tersenyum lebar semula! =) Aku bahagia dengan setiap belaian cinta-Nya melalui ujian yang tiada berkesudahannya.

Aku tahu, untuk melayakkan diri ke syurga, seseorang itu haruslah menempuh banyak ujian. Kesemua itu juga memerlukan semangat dan kekuatan yang bermula dari keimanan kepada Allah swt. Disebabkan itu aku rela sakit. Sakit menahan ujian-ujian hidup ini andai ia jalan menguatkan keimanan dan keakrabanku dengan-Nya! Allah… Hingga satu saat, apabila ujian sepi dalam hidupku, aku bermohon rela ditimpa ujian tanpa henti andai itulah yang bisa membuatkan aku sentiasa mengingati dan merindui Rabbi.

Suatu masa, Allah mengujiku dengan hadirnya satu perasaan suka pada seorang pemuda. Aku cuba menahan ia. Dan aku juga pernah berdoa, Ya Allah, jika perasaan ini tidak baik untuk dunia dan akhiratku, maka aku merayu pada-Mu, hapuskan dan buanglah perasaan ini dari hatiku. Alhamdulillah, seminggu aku merasa tenang. Setiap kali berselisih atau terjumpa dengannya, tiada lagi rasa teruja. Haha. Hebatnya kuasa doa, kan?

Aku, sudah dibuai cinta pada perjuangan dan dakwah. Alhamdulillah, cinta itu melamarku setelah aku disakiti. Aku yakin, dua cinta ini, perjuangan dan dakwah, pasti tidak akan menyakitiku! Tuhan telah menjanjikan Syurga abadi buat manusia yang mencintai keduanya. Dan aku… mahu menjadi salah seorang di antara ramai manusia itu. aamiin.

Kini, aku sedang belajar untuk memperhebatkan lagi cintaku kepada keduanya. Pada masa sama, aku sedang mujahadah menahan satu rasa suka pada dia, kadangkala timbul, kadangkala tenggelam. Haha.

Aku rela menanggung perasaan ini daripada aku meluahkan kerana aku tahu, jika seseorang itu mencintai dalam diam, bila tiba masanya dia ‘pergi’ maka dikira syahid. Allahuakbar! Itulah yang aku mahu, syahid! Aku tahu, bukan mudah untuk masuk ke syurga, perlunya mujahadah. Justeru, aku memilih untuk bermujahadah, asalkan akhirnya aku menggapai syahid atau aku bahagia dijodohkan dengannya, bila tiba masanya.

Siapa sangka, berbulan-bulan aku ‘syok’ menuai benih dua cinta tadi, lamaran dari seseorang telah berkunjung. Aku dilamar melalui pensyarahku sendiri, Dr. Adawiyah. Siapa pemuda itu?! 

Allahu… Allah…

Dia… Pemuda soleh yang aku sukai dalam diam itu! Allahuakbar… Rupanya, Dr. Adawiyah adalah ibu saudara kepada pemuda itu. Selama ini, doktor selalu bercerita tentang kelas Bahasa Arab yang diajarnya termasuk kelas aku kepada keluarganya. Kata Dr. Adawiyah, beliau pernah menunjukkan gambar kelasnya kepada adik-beradik dan saudaranya setiap kali berkumpul. Semenjak itulah, pemuda itu mula bertanya tentang diriku. 

Huh! Sungguh, aku tidak tahu apa istimewanya aku sehingga tertarik padaku dalam sekeping gambar! Rupaku tiadalah cantik seperti ramai gadis lain. Melimpah pula tu kekurangan diriku!

Pada pertemuan lalu antaraku dan Dr. Adawiyah, beliau menyuruh aku sampaikan kepada orang tuaku perihal hajat keluarga pemuda itu mahu berkunjung ke rumah dan menyarankan aku menunaikan solat sunat Istikharah. 

Allahuakbar. Benarkah ini Ya Allah?! Kadangkala aku tersenyum juga apabila teringatkan lamaran itu. =) Sungguh, Allah Maha Berkuasa atas segalanya. Jika benar jodoh, akan ditemukan jua walau cuba ditepis sehabis daya. Kuasa Allah tiada yang dapat menandinginya.


Pemuda agama,

Ini untukmu…

Kenapa awak lambat? Dia terlebih dahulu melamar, saya telah menerimanya. Dia sedang menanti saya disana. Dialah pemuda syurga.

Sedang saya diulit indah dengan cinta perjuangan dan dakwah, awak datang melamar diri ini. Tahukah awak, sejak saya menerima cinta ini, saya telah berjanji pada diri bahawa, apabila saya berada di jalan cinta ini bermakna saya telah menerima lamaran pemuda Syurga. Sejak itu jua, saya berusaha untuk syahid hingga bertemunya disana.

Maafkan saya andai saya terpaksa ‘pergi’ dahulu suatu masa nanti… Sepanjang saya beristikharah, saya merasakan ada seseorang telah menanti ‘kepulangan’ saya ke sana. Awak terlambat sedikit sahaja, jika setahun dulu awak melamar saya, pasti kita sudah menyempurnakan separuh agama. Seandainya saya ditakdirkan pergi dahulu sekalipun dari awak tika itu, pastinya kita akan bersatu semula di syurga sebagai suami isteri. Maafkan saya, jodoh saya mungkin tidak di dunia.

Saya doakan awak akan dijodohkan dengan wanita solehah yang selayaknya. Mudah-mudahan si dia akan setia disisi awak di jalan perjuangan agama. aamiin.

Salam bahagia, dari Perindu Syurga.

Nurul Humaira.


Coretan ini Humaira menulisnya pada hari pemergiannya, seolah-olah arwah sudah dapat merasai bahawa dia akan ‘pergi’ buat selamanya. Di sebabkan itu dia telah meluahkan segalanya dalam diarinya buat pemuda agama yang disukainya.


~ ~ ~ ~ ~



Bismillahirrahmanirrahim…

Buat Perindu Syurga,

Nurul Humaira bt Abdullah,

Bingkisan ini aku tulis untuk menjawab persoalanmu, apa istimewanya dirimu sehingga aku tertarik padamu melalui sekeping gambar dan kenapa aku lambat? Walaupun aku tahu, tidak mungkin dikau akan membaca jawapan ini kerana dikau telah ‘pergi’ menemui Ilahi.

Untuk pengetahuan dikau, sebenarnya telah lama aku perhatikan dirimu. Kali pertama aku mula mengenali dirimu melalui perbualan seorang muslimat mengatakan dikau sedang berusaha berhijrah dan sedang belajar mencintai jalan dakwah dan perjuangan. Aku terdengar bukan niatku mahu pasang telinga mendengar perbualan orang lain. Itu sahaja yang aku dengar dan sebenarnya turut disebut namamu. 'Koma' disitu kerana aku tidak pernah berusaha untuk menyelidiki tentang dirimu. Biarpun aku tertarik dengan cerita akan dirimu.

Tidak lama kemudian, semasa keluarga besarku mengadakan kenduri kesyukuran, ibu saudaraku, Dr. Adawiyah bercerita dan berkongsi gambar tentang pelajar-pelajarnya. Katanya, dia sangat menyayangi kesemua pelajarnya dan terdapat dua orang pelajar sangat gigih mahu menguasai ilmu Bahasa Arab, seorang pelajar lelaki dan seorang lagi, namamu yang diungkapkan. Aku mengambil kesempatan itu untuk lebih mengenali dirimu. Apabila melihat gambar itu, firasatku kuat mengatakan Nurul Humaira bt Abdullah adalah orang yang sama dengan pelajar yang dimaksudkan Dr. Adawiyah.

Sehinggalah aku meminta ibu saudaraku menyelidiki serba sedikit tentang dirimu. Melalui Sumayyah, Dr. Adawiyah dan aku mendapat tahu akan semua itu. Ternyata sekali, firasatku benar! Allahuakbar. Begitulah al-kisahnya aku mulai tertarik akan dirimu, Nurul Humaira.

Seterusnya, aku mahu menjawab persoalan kedua,’kenapa aku lambat?’

Humaira bidadari syurga,

Sungguh, terasa berat untukku katakan namun aku memutuskan keputusan itu bersebab. Semenjak aku mengetahui dirimu sedang berjinak dengan dakwah dan perjuangan, aku memasang niat tidak mahu mengganggu kefokusan dirimu terhadap medan itu. Aku mahu memberikan ruang kepadamu merasai kemanisan dan kenikmatan berjuang dan bergelar pejuang agama Allah swt. 

Biarpun begitu, sebenarnya dari jauh aku sentiasa mengikuti perkembangan dirimu dan jalan dakwahmu. Dari jauh itulah, aku bangga akan dirimu dan menambahkan lagi kecintaanku pada agama yang ada dalam dirimu. Sentiasa aku berdoa supaya dikau kuat dan teguh di jalan itu.

Teringat aku akan pesanan mujahid kecintaan ibuku, yakni arwah ayah,
 “ Carilah isteri yang cintakan jalan perjuangan. Biarlah sekiranya dia baru sahaja berjinak dalam perjuangan. Wanita sepertinyalah harus dijadikan isteri agar kecintaannya pada agama dan Islam semakin membara. Didiklah dia sebaik-baiknya kelak. Semoga baitul muslim yang terbina menjadi asbab semakin kuat dan teguh kefahaman agama dalam dirinya dan kerabatnya.”

Sedari dulu aku berpegang akan nasihat ayah. Sehinggalah aku dipertemukan dirimu. Aku merancang untuk setahun itu aku akan memberikan ruang dirimu belajar mengenali jalan perjuangan. Selepas tempoh itu aku akan datang melamarmu untuk sama-sama menguatkan lagi jalan perjuangan kita. Itulah sebabnya aku lambat, penuh bersebab.

Namun, siapa menduga duhai bidadari syurga kebanggaan agama… 
Belum sempat aku menyatakan segala yang ada dihatiku selama ini. Belum sempat aku menceritakan segalanya bagaimana aku mula menyukai dirimu, Allah swt telah memanggil dirimu pulang, meninggalkan aku dengan impian yang tidak kesampaian. Allahuakbar! 

Aku melihat sendiri dirimu saat terbujur kaku di rumah-Nya. Bohonglah jika aku tidak merasa sedih dan kehilangan atas pemergianmu Nurul Humaira. Air mata lelakiku jatuh juga setiap kali aku bersujud pada-Nya!

Nurul Humaira,

“ Menurut hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, pintu-pintu syurga sentiasa terbuka luas. Orang yang solat akan masuk melalui pintu solat. Orang yang berjihad akan dipanggil dari pintu jihad dan yang rajin bersedekah akan masuk dari pintu sedekah.”  Maka, moga dikau dipanggil memasuki syurga melalui pintu syahid sebagaimana dambaanmu. ‘Tidurlah’ dikau dengan aman.

Sampai disini sahaja bingkisanku ini untukmu… Aku mungkin bukan pemuda agama yang selayaknya untukmu. Dikau layak untuk dimiliki pemuda syurga. Di dunia ini, akan terus aku berdoa untukmu hingga akhir hayatku! Pasti! Semoga dikau sedang berbahagia disana.  Aamiin.

Assalamualaikum Nurul Humaira bt Abdullah, penghuni dan bidadari Syurga. 
InsyaAllahu taala. Aamiin.


TAMAT 


~ Setiap yang bernyawa PASTI akan kembali kepada Allah swt. Bagaimana amalan kita? Tamparan buat diri saya TERUTAMANYA! ~


Kisah ini bukan realiti namun ia ditulis atas ilham Ilahi. Semoga kebaikan yang terdapat dalam karya ini, dapat diteladani. Salam sebarkan Islam.

Rujukan : 
Ilham dari Allah swt
Al-Quran
Buku Semai Benih-benih Syurga (tulisan Khairul Ghazali, pengantar TG Nik Aziz.)
Sama-sama terus mendoakan kesihatan beliau,tok guru ya. Semoga sempat saya bertemu dan menadah mutiara tarbiah dari beliau. Doakan saya juga berkesempatan untuk itu.



p/s : saya amat mengharapkan komen kalian sejurus selesai membaca cerpen ini. Harap sudi komen untuk penambaikbaikkan dalam penulisan saya. :)

Thursday 8 January 2015

"Kenapa Awak Lambat?"



Bismillahirrahmanirrahim...

Cerpen Pendek.


~ ~ ~ ~ ~


Aku sudah penat ! Sangat penat dengan cinta dunia ! Kini, aku mulai sedar, selama ini aku terlalu asyik dengan godaan cinta dunia hingga aku buta akan cinta DIA.

Aku, pernah disakiti dan dikecewakan oleh seorang yang pernah aku kasihi setelah aku mulai berubah. Dia, insan pertama aku kasihi dan mengharapkan dialah bakal pemimpin keluargaku kelak. Namun, siapa menduga, aku dilukai olehnya. Sungguh, aku dan keluarga sangat tidak menyangka.

Tidak mengapalah. Pasti dia punya sebabnya tersendiri sehingga memilih keputusan ini. Hatiku yang telah dirobek sehabis dalam lukanya, akhirnya terubat dengan kata-kata ayah.

" Silap kita juga, terlalu mengharap. Sedangkan kita tidak tahu siapa jodoh kita. Tak apalah, bagi dia ruang masa untuk berfikir akan keputusannya ini."

Mendengarkan sahaja butir nasihat ayah, aku terus tersentak! Iya, mungkin silapku juga! Mengharapkan si dia yang soleh itu suamiku kelak... Iya! Kedua keluarga telah bertemu mata, namun jodoh tiada jua. Itulah takdir-Nya. Hatta mereka yang bernikah bisa bercerai, apatah lagi hubunganku dan dia, yang masih baru terjalin.

Tidak mengapa, pasti ini yang terbaik buatku, dia dan DIA. :)

" Ya Allah, pimpinlah aku untuk lebih mencintai-Mu."


~ ~ ~ ~ ~


Perpisahan itu tidak semudah memadam kesalahan pada kertas putih, untuk melupakan dan mengubati kelukaannya. Hampir sebulan lebih hilang selera makanku, nasib baiklah waktu itu aku sudah tamat pengajiaan. Maka hari-hariku banyak dihabiskan di rumah sahaja.

Hujung bulan Oktober, sahabat-sahabat seperjuangan mengajak aku mengikuti majlis makan malam di rumah salah seorang sahabatku. Katanya, tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah swt kurniakan kepadanya sekeluarga. Aku, hanya mengiyakan ajakan itu kerana aku juga merindukan mereka!

Mereka, yang banyak memimpin diriku sepanjang aku menjalani proses penghijrahan di kampus itu. Merekalah yang mula membantu aku dan memberikan semangat padaku untuk istiqamah dalam bertudung labuh dan berpakaian menutup aurat. Mereka jua yang sering menuntun tangan ini ke taman-taman syurga setiap hujung minggu. Disebabkan itu, kadang kala aku tidak sanggup menolak ajakan dan permintaan mereka kerana mereka terlalu aku sayangi, insyaAllah hingga syurga-Nya. aamiin.

Aku berdiri di hadapan cermin besar itu. Aku tatap wajahku dan jasadku yang ditutupi tudung labuh warna peach dan jubah abaya hitam. aku tenung diriku sedalam-dalamnya.

" Ya Allah, terima kasih duhai Allah kerana akhirnya tiga tahun sudah aku telah memakai pakaian indah ini. Aku akhirnya berjaya istiqamah. Allah, rahmatilah mereka yang banyak membantu diriku yang lemah dan jahil ini... Rahmatilah mereka di dunia dan akhirat sana. aamiin."

Tepat jam 9 malam, aku tiba di rumah Munirah bersama beberapa orang lagi sahabatku. Dari luar rumah, kedengaran alunan merdu Qasidah. MasyaAllah,betapa aku merindui alunan Qasidah kerana sudah lama tidak mendengarnya sejak tamat pengajian di kampus.

" Fatin, bestnya dengar qasidah tu. Rindunya..." Luahku kepada Fatin, dialah 'pemandu' aku dan rakan-rakan seperjuangan.

" Kan, samalah dengan saya. Terasa rindu juga. Teringat kenangan kita bersama meredah perjalanan yang panjang semata-mata untuk menghadiri majlis qasidah di Kedah."

Aku mengangguk sambil mengimbau kembali kenangan itu. Iya, kami sama-sama mencintai alunan qasidah, bermula detik itulah aku mula mempelajari mencintai baginda Rasulullah saw dan mula mencontohi satu persatu akhlak serta sunnah baginda. " Korang, nak tahu tak kenapa saya terlalu menyayangi kalian?"

" Kenapa?" Tanya Sumayyah sambil menoleh ke arahku.

" Kerana kalian telah memimpin saya ke jalan untuk menempah tiket Syurga. Kalianlah yang menunjuki jalannya. Seandainya Allah tidak mempertemukan saya dan kalian, pasti saya kini sedang menempah tiket neraka." Luah aku tulus dari sekeping hati yang sangat menyayangi mereka. Aku memandang setiap wajah yang ada di sisiku.

" Allahuakbar, Allahurabbi... Humaira, kenapa cakap macam tu? Bersyukur ya kepada-Nya yang memilih awak ke jalan ini." Sumayyah terus hentikan langkahnya, hingga aku, Fatin dan Sufiya terhenti sama. Sumayyah memeluk bahuku, erat.

" Humaira, kami juga sayangkan awak tau. InsyaAllah, kita sama-sama doa ya semoga ukhuwah yang terbina ini menjadi asbab Allah swt memasukkan kita ke Syurga Firdausi. allahumma aamiin." Sambung Sufiya, gadis paling solehah dalam persahabatan kami.

Aku tersenyum lebar dan menatap wajah Sufiya. Sungguh, aku suka memandang wajahnya. Kadang aku cemburu dengannya kerana dilahirkan dalam keluarga tarbiah, maka tidak mustahillah jika ilmu pengetahuan Sufiya dalam bab agama lebih tinggi berbanding sahabat-sahabat lain.

" Terima kasih tau sudi bersahabat dengan saya." Ucapku dan mereka bertiga menggenggam erat tanganku. Alirkan kasih sayang dalam ukhuwah, mungkin. :)

'Alhamdulillah Ya Rabbi...' Hamdalah dilafaz di dasar hati.

" Assalamualaikum, kenapa berdiri di luar ni? Jemput masuk." Terdengar suara Munirah memanggil kami dari pintu masuk banglo tarbiah milik keluarganya. Iya, banglo tarbiah bagiku kerana disini juga banyak aku mendalami ilmu agama dan mendapat tarbiah daripada ummi Munirah.


~ ~ ~ ~ ~


Malam itu aku telah menemui Sufiya kerana aku merasakan ada sesuatu yang telah mengganggu hati dan diriku sejak beberapa hari ini. Aku cuba mengharungi hari-hariku dengan cuba tidak mengendahkan 'gangguan' itu, tetapi kali ini aku merasakan tidak mampu lagi. Aku perlukan nasihat seseorang. Maka Sufiya dihubungi.

Dalam surau itu, aku mendekati Sufiya yang sedang melipat sejadah.

" Eh Humaira, meh duduk sini."Dia memperlawa aku duduk berhadapan dengannya.

Aku duduk, benar-benar di hadapannya. Aku hanya memerhatikan gerak geri dan wajah sucinya. Aku menunggu dia selesai melipat sejadah.' Ya Allah, moga aku akan bersamanya lagi di Syurga.'

'' Alhamdulillah, dah siap kemaskan sejadah-sejadah di surau ni." Lafaznya sebelum menoleh ke arahku.

Tanpa diminta, air mataku telah bertakung sedari awal aku duduk di hadapan Sufiya. Hanya tunggu saat untuk mengalirkannya sahaja.

" Humaira nak jumpa saya, kenapa..." Ayatnya terputus disitu apabila dia memandang wajahku. Barangkali dia baru menyedari takungan air mataku.

" Eh, Humaira... kenapa ni?!" Dia terus merapatkan dirinya dengan diriku. Tangannya mula memeluk bahuku. Terus mengalir laju air mata ini, tumpah jua akhirnya. Sufiya yang makin terkejut dengan tangisanku, terus menarik aku dalam pelukannya. Di bahunya, aku menangis sepuas-puasnya. Aku melepaskan kesemua.

Tidak lama kemudian, pelukan dileraikan dan aku mula menyeka airmata yang masih mengalir. Senyuman aku ukirkan untuk menghilangkan kerisauan Sufiya.

" Humaira, kenapa ni sahabat solehahku? Cuba ceritakan apa yang terjadi."

Sekali lagi aku tersenyum. " Tiada apa-apa."

" Ish, awak suka macam tu kan. Nangis, senyum kemudian kata takda apa-apa. Selalu je awak macamtu. Humaira, kita dah bertahun-tahun kenal, saya tak rasa takda apa-apa kalau awak menangis teresak-esak macam ni. Cubalah cerita, paling tidak dapat ringankan bebanan awak daripada menanggungnya sendirian."

" Sufiya, awak tahu kan kisah saya dan impian saya mahukan syurga-Nya. Disebabkan itu, saya mula aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan Islam. Namun... dalam tidak saya sedari, saya telah menyukai seorang hamba Allah swt. Sufiya, saya tak nak perasaan ini buat masa sekarang. Sungguh,saya tak mahu. Apabila hadir perasaan ini, saya pernah memohon pada Allah, agar dihapuskan perasaan ini sekiranya ia tidak baik untuk dunia akhirat saya. Saya khuatir ia merosakkan tujuan kehidupan saya..."

" Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Sahabat solehahku, saya sangat tersentuh mendegar luahan awak. Allahurabbi, besarnya ujian awak tetapi Humaira yakinlah Allah swt pasti bukan sengaja menitipkan rasa fitrah ini kepada awak. Boleh jadi ia satu ujian dan tidak mustahil juga ia adalah jodoh awak. Siapa tahu, kan?"

" Tapi Sufiya, buat masa sekarang saya tak mahu perasaan sebegini... Tak mahu, Sufiya... Saya tak mahu duakan cinta Allah swt." Mengalir lagi air mataku. Aku, benar-benar mahu menghapuskan perasaan ini! 'Tolonglah Ya Allah.'

" MasyaAllah. Sufiya, awak benar-benar sahabat solehah. Terlalu ingin mengejar cinta Allah swt hinggakan tak mahu sekali awak menduakan cinta-Nya. Allah. Humaira sayang, perasaan suka itu fitrah dalam diri semua hamba Allah swt. Tidak salah awak menyukainya tetapi kena bijak mengawal perasaan itu. Humaira, saya tahu awak sedang bermujahadah, mungkin ini ujian dari-Nya untuk melihat bagaimana awak menguruskannya. Apakah awak membiarkan perasaan itu merajai diri atau awak mengurusnya dengan keimanan.

Saya tahu, lantaran cinta awak terhadap perjuangan sedang membuak, awak merisaukan fitrah ini akn merosakkan kecintaan itu, kan? MasyaAllah. Jika orang yang awak sukai itu, baik agama dan akhlaknya, maka tak salah mendoakan Allah swt tunjukkan jalan sekiranya benar dia jodoh awak. Doa dan solat Istikharah sentiasa ya. Jika dia jodoh awak dan turut cintakan perjuangan, dia pasti akan menambahkan lagi kecintaan awak terhadap jalan perjuangan ini."

" Tapi, saya mahu syahid dan mahukan hanya cinta pemuda syurga..."

" Allahurabbi... Mulianya hati awak, Humaira. Tidak terkata saya betapa awak sangat dambakan syahid. InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui segala isi hati hamba-Nya. Doa selalu dan kuatkan diri dalam mujahadah ini. Mungkin Allah swt mahu berikan syahid kepada awak melalui ujian-ujian sebegini Jangan pernah berhenti berdoa. Insan solehah seperti awak selayaknya mendapat cinta suci seperti pemuda syurga."

" Saya juga harapkan begitu. Saya rela hadapi ujian-ujian berat jika dengannya akan saya mendapat syahid dan syurga. aamiin3. Awak doakan saya kuat ya."

Sufiya tersenyum kemudian sekali lagi dipeluk diriku. Aku tahu,dia mahu mengecas kekuatan dalam diriku sebagai sahabat.


~ ~ ~ ~ ~


" Okay, kita buat perjumpaan ni sebab nak kesemua ahli jawatankuasa brainstorm malam ini bagaimana cara untuk mencari dana bagi program kita. Harap kesemua ahli jawatankuasa boleh memberi kerjasama, tambahan pula kita kekurangan dana sekarang ini. Surat-surat memohon sumbangan dari syarikat-syarikat telah pun dihantar, tapi akan mengambil masa yang lama juga untuk mendapat jawapan dari mereka. Kemungkinan juga akan ada syarikat yang tidak akan memberi maklum balas kepada kita dan tidak dapat memberi sumbangan. Disebabkan itulah kita kena usahakan juga cara lain untuk mencari dana." Pengerusi Program Lambaian Kaabah ( Praktikal Haji ), Amir, memberikan penerangan sejurus mesyuarat itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah.

" Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya mempersilakan mana-mana ahli yang mahu memberikan cadangan terlebih dahulu." Sambungnya.

Untuk seketika, semua saling berpandangan dan tidak kurang juga ada di kalangan ahli sedang berbincang sesama mereka serta tunduk menatap meja mengerah idea, keluarlah wahai idea! Hehe.

Insan pertama mula bersuara melontarkan cadangannya. " Saya mahu memberi cadangan, apa kata kalau kita buat jualan makanan ringan di kolej kita, setiap malam hujung minggu. Sebagai contoh, mungkin kita boleh menjual nugget, sosej, roti sosej dan sebagainya lagi. " Kata Hafizi sebagai ketua unit protokol dalam organisasi program tersebut.

" Saya pula mahu mencadangkan kita membuat jualan amal. Sebagaimana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pernah buat sebelum ini, mereka mengumpul bahan-bahan terpakai kemudian menjualnya."
Farhatul pula kongsikan idea bernasnya selaku ketua unit kebajikan.

Mesyuarat pada malam itu berlangsung sehingga jam 11.30 malam. Sungguh rancak dan aktif perbincangan kerana kesemua ahli telah memberikan kerjasama yang baik dan melontarkan idea masing-masing. Hasil dari persetujuan semua, beberapa cadangan telah diterima untuk dilaksanakan.

Tamat sahaja mesyuarat itu aku terus pulang ke bilik bersama Sufiya. Terus terpancul di ingatanku bahawa aku masih mempunyai amanah lain harus disiapkan segera, iaitu membuat laporan Program Amal Prihatin Anak-anak Yatim yang disertai olehku pada minggu lepas. Aku perlu menyiapkannya kerana hujung minggu nanti akan diadakan pembentangan di hadapan ketua Baitul Raudhah, yakni penaja program tersebut.

" Humaira, nanti rehat terus tau. Saya tengok wajah awak nampak macam kepenatan je."

" Eh, tak boleh. Saya masih ada amanah kena siapkan sekejap lagi. Ingat nak selesaikan dulu kerja tu, baru saya mahu istirehat." Balasku bersama senyuman kecil.

" Hm, rehatlah dulu. Saya perhatikan awak sedari siang tadi, tak henti buat kerja. Asyik ke hulu ke hilir, mengalahkan YB tau."

Aku tersengih. Iya, betul kata Sufiya. Hari ini aku sangat sibuk kerana aku dilantik menjadi ahli jawatankuasa bagi dua program dalam satu masa. Berakhir sahaja kelas Metodologi Dakwah pukul 3 petang tadi, aku terus bergegas untuk bertemu Ustaz Hanafi atas urusan program. Kemudian aku ke pejabat fakulti untuk selesaikan urusan peribadi dan selepas Asar aku ada latihan pembentangan bagi Foundation English.

" Takpa, dah settle semua nanti saya terus tidur ya. Awak jangan risau, saya okay ja. Awak pun tahu saya sedang belajar menyibukkan diri saya dengan kerja-kerja Islam. Saya tak mahu cinta dunia 'mencuri' masa saya. Biarlah cinta yang bertapak di hati ini, hanya Dia mengetahuinya. Saya rela menahannya, andai saya meninggal, mudahan syahid milik saya. Sekarang ni saya mahu taburkan cinta saya pada sekalian saudara seIslam. Selagi saya bertenaga, saya akan lakukannya. Saya risau, sekiranya saya tak sempat menabur bakti kepada umat Nabi Muhammad saw."

" Allahu, Humaira... Malu saya dengan awak. Sejak akhir-akhir ini saya dapat merasakan momentum semangat awak cintakan perjuangan semakin meninggi. Segan saya dengan awak. Sungguh!"

Aku tersenyum sahaja. Sebenarnya ada sesuatu yang telah membuatkan semangat itu makin tercetus dalam diriku. Tidak siapa mengetahuinya kecuali aku, DIA dan diariku.


bersambung ... InsyaAllah.


p/s ; ingat nak tamatkan terus cerpen ni, tapi macam terlalu panjang pula jika dipost dalam satu post ni. insyaAllah, sambungan akan di post dalam masa terdekat ini. :)

Jika mahu mengetahui apa maksud disebalik tajuk " Kenapa Awak Lambat?", maka nantikan sambungannya. Akan terungkai di akhir cerpen. InsyaAllah. ;)







sekian, assalamualaikum...


Salam Sebarkan Sinar Ilahi.




Ukm Bangi
090115
1043 pm