Friday 6 November 2015

Hebatnya Hidup Bertuhan!



Bismillahirrahmanirrahim...

Hati terasa mahu dibelai oleh ayat suci Al-Quran. Selesai membaca, saya membelek mana-mana muka surat dan membaca tafsirnya.  Hingga ditemukan dengan ayat yang boleh memujuk jiwa. Saya tahu, Allah akan bantu saya. Terus mencari dan membaca.

Halaman surah Al-An'am diselak. Tafsir ayat dibaca bermula dari ayat 133. Tiba di tafsir ayat ke 134, alhamdulillah terasa terpujuk akhirnya.

"Sesungguhnya apa pun yang dijanjikan kepadamu pasti datang dan kamu tidak mampu menolaknya."

MasyaAllah. Allahuakbar. Maha Suci Allah yang mengetahui segala di dalam hati hambanya. Mengetahui segala rasa di jiwa hambanya. Mengetahui hambanya sedang bersabar menempuh ujian dunia yang tidak pernah terduga. Mengetahui hambanya mahu dipujuk oleh ayat suciNya.

Sejurus membaca ayat itu, jiwa terasa lapang. Kekusutan terasa terlerai semua.

Iya. Allah swt sendiri sudah berkata, apapun yang telah dijanjikan kepada kita pasti akan datang kepada kita. Dan ketika itu kita tiada kuasa menolaknya. Melainkan harus menerimanya dengan redha. Harunginya!

Sesukar, seperit, seberat dan sesedih manapun cabaran kehidupan yang terpaksa kita depani, sabarkan hati. Redhakan diri. Pasakkan keyakinan semuanya akan berakhir jua. Semuanya akan berlalu pergi selepas ini. Yang penting kita beranikan diri melaluinya. Jangan pula kita melarikan diri. Ini kerana setiap kita telah dijanjikan ujian tersendiri. Yakin pada Allah swt.

Teringat antara nasihat  pensyarah saya beberapa minggu lepas, Ust Salasiah dalam kuliah Pembangunan Islam dan Perubahan Sosiobudaya.

 "Satu masa nanti kamu sendiri tidak akan percaya kamu dah berjaya lalui pelbagai ujian dan masalah. Padahal semasa dapat ujian tu kamu rasa ujian tu beratnya bagi kamu. Tetapi kamu dah berjaya laluinya hingga hari ini kamu dah bahagia dengan kehidupan baru."

Setuju sangat dengan ustazah. Suatu masa nanti kita akan bersyukur kerana kita dah berjaya harungi banyak masalah besar dalam kehidupan kita. Hebatkan. Yakin pada Allah swt. Selagi kita beriman padaNya, yakin akan kekuasaan serta janjiNya, pasti kita akan tabah dan sabar sentiasa. Kita tahu Allah akan bantu!

Sapulah airmatamu duhai sekalian teman yang sedang diuji. Jika terasa amat berat bebanan ujian itu, bangkitlah di sepertiga malam.

Di sujudmu, mengadu dan cerita satu persatu apa yang ada dikalbumu. Ceritalah dan luahlah pada Allah swt sehingga diri menangis teresak-esak. Rendahkan diri dan akui kelemahan diri kita. Bahawa kita tak kuat mengharungi ujian berat tanpa bantuanNya.

"Sedarilah akan sifat-sifat (kekurangan mu) nescaya Allah akan membantumu dengan kesempurnaan sifatNya. Akuilah kehinaan dirimu di hadapan Allah, nescaya Allah akan membantumu dengan kemuliaan-Nya.

Akuilah semua ketidakberdayaan mu, nescaya Allah akan membantumu dengan kekuasaan-Nya. Dan akuilah kelemahanmu, nescaya Allah akan membantumu dengan kekuatan-Nya."
(Kitab Al-Hikam 154 : Akuilah Kelemahan dan Kehinaan Dirimu, Nescaya Allah akan Membantumu)

Kemudian bangkitlah. Jika masih belum puas meluah, sambungnya lagi dalam doa pula. Lepaskan semua! Ketika itu tiada siapa tahu kita sedang menangis melainkan hanya kita dan Dia Yang Maha Mendengar dan Tuhan yang tidak pernah tidur.

Dia sedang melihat kita bersujud mengadu padaNya. Dan tahukah apa yang membuatkan Allah terasa malu pada kita?

Allah akan malu pada kita apabila Dia melihat kita berdoa dan meminta tetapi Dia tidak mengabulkannya, maka senyumlah sayang! :) Lambat cepat saja bezanya.
subhanaAllah.

Maka sabarkan diri dan jiwa ya. Semua akan berlalu. Mudahan kesabaran kita menempuhi ujian kehidupan menjadi asbab kita semakin dekat dan bertaqwa pada Allah swt. Berpeganglah selalu dengan Al-Quran kerana ia penuh dengan rahmat Allah swt.

"Wahai manusia! Sungguh, telah datang kepadamu pelajaran (Al-Quran) dari Tuhanmu, penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman." Yunus-57.

Saya mendoakan kita semua dikurniakan jiwa yang tabah dan sabar.  Allahumma aamiin.

~ ~ ~

Sedikit perkongsian kisah saya dan dia. Antara salah satu kehebatan hidup bertuhan.

Usai solat, saya membuka Whatsapp. Menunggu seketika hingga kesemua mesej baru Whatsapp masuk. Bertalu-talu mesej dari pelbagai Group Whatsapp masuk disusuli mesej persendirian. Antaranya mesej dari sahabat kesayangan di bumi Anbiya' sana, Sue (bukan nama sebenar).

"Eh, Sue mesejlah. Sue mesej apa ya?" Kata hati saya dan berasa teruja mahu membaca mesej dari dia.

Dia hanya menghantar icon berbentuk love merah. Semestinya kalian tahu, sebesar manakah icon itu. Hee.

Dengan terujanya saya membalas mesej itu dengan icon yang sama juga bunga mawar merah.

Saya teruja menerima mesej darinya kerana sememangnya diri ini ada mengingati dirinya semalam. Cuma saya tidak memberi mesej padanya.

Hari ini selesai bertemu pensyarah di fakulti, saya sekali lagi membuka Whatspp. Dia membalas mesej saya sebelum ini. "Doakan kita terus sabar dan senyum kat sini." Bersama emoticon love.

SubhanaAllah. Membaca sebaris ayat itu terasa ia menyentak masuk di jiwa saya. Kebetulan sama dengan dirinya.

SubhanaAllah! Hebatnya Ya Rabbi tautan hati kami ini.

Walhal saya cuma teringatkan dia sepintas lalu. Tetapi Allah gerakkan hatinya untuk menghantar mesej sedemikian kepada saya.

Entah sudah ke berapa kali seperti ini. Sungguh kuat tautan hati kami walaupun terpisah dua negara. Jika kita kasih dan menyayangi dengan ikhlas, jarak jauh bukan alasan untuk terus mengasihi. :) Juga mentautkan hati. Terima kasih Rabbi.

Pendek kata satu hati disana berduka, hati disini turut merasainya. Biarpun tak pernah saling berkongsi kedukaan itu secara depan dan terangan. Sense dua jiwa itu amat kuat.

Membaca ayat itu sudah saya ketahui pasti dia sedang diuji Allah swt dan dalam kesedihan. Lalu saya menghubunginya. Kali pertama, tak berangkat. Begitu jua kali kedua.

Akhirnya dia menghubungi saya semula.

MasyaAllah. Di hujung talian kedengaran suaranya serak-serak basah. Sepertinya dia sedang menahan sebak.

Perasaan ketika itu, usah dikata. Pastilah membuatkan  jiwa ini mahu memeluk dirinya! Namun, mustahil. Dia tiada di depan mata. Dia amat jauh disana! :'(

Lama kami saling memberi nasihat dan kongsi apa yang pernah terlintas di minda. Biarpun tidak berkongsi masalah masing-masing.

"SUE, nak tahu tak. Macam semalam kan, kita tetiba terfikir dunia ini menyakitkan, kan? Teringat Rasulullah saw yang selalu diuji. Ujian baginda lagi berat dan hebat kot dari kita ni. Mesti baginda terasa tak sabar dan rindu nak masuk syurga kan apabila diuji begini di dunia."

"Eh samalah kita! Kita pun ada terfikir sebegitu. Nasib baik juga kita hidup ni bertuhan kan. Inilah kekuatan kita untuk menempuh ujian. Kalau mereka yang tidak percayakan tuhan kan mesti dah bunuh diri dan lemah."

"Sue. Ish, sama lagi kita ni. Hee. Betul. Mereka yang tidak percayakan Tuhan mesti dah ambil jalan mudah apabila ditimpa ujian hingga memilih jalan membunuh diri."

SubhanaAllah. Rindu! Sungguh rindu nak berdua dengannya dan saling berkongsi nasihat mengagungkan dan mengingatkan tentang Allah swt. Seperti itu!

"Ni buat kita tak sabar ni." Luah dia di hujung talian.

Saya gelak kecil. "Haa tahu tak apa. Cepatlah balik. Tak sabar nak jumpa!"

Ya. Apabila kita serahkan Allah jagakan sahabat atau insan kesayangan kita nun jauh disana, setiap detikan hati kita atau dia, samada sedang mengingati, merindui atau sedang berduka, pasti jiwa satu lagi turut merasa. Hebatkan kuasa Allah. Jauh macam mana pun, saling dapat merasa. Malah semakin kasih dan cinta. SubhanaAllah. :)

Marilah kita sama-sama merasai kehebatan hidup bertuhankan Allah Yang Maha Agung.

Salam Sayang :)

Ukm
Jumaat Barakah
061115