Saturday 4 April 2015

Diari Darul Insyirah



Bismillahirrahmanirrahim... 

~ Nota Jumaat Barakah~


Bangkit pagi tadi.
Teringat kisah semalam. Allah swt hadirkan perasaan sedih apabila memikirkan kematian. Terasa amat takut, belum bersedia untuk menempuh alam barzakh. Sungguh takut!
Hingga saya menangis sendiri. Dan terlena.

Pagi ini apabila memandang diri masih berpijak di bumi-Nya. Syukur dilafazkan. Dalam hati bersuara,

"Ya Allah, nasib baik Kau masih bangkitkan aku pagi ni. Aku ingat aku dah takda. Alhamdulillah."

Hari ini Jumaat, 3 April 2015.
Alhamdulillah.

Allah pimpin diri ini menziarahi warga emas di Darul Insyirah, Bangi. Mengikuti senior-senior tahun 3 Jabatan Dakwah dan Kepimpinan. Kami ke sana dengan rombongan empat buah kereta.

Bersama kakak-kakak senior sebelum senior lelaki sampai.



Sedikit info berkaitan tempat ini :

> Empat pengasas rumah jagaan ini tercetus mahu menubuhkan rumah ini setelah mengetahui beberapa warga emas Islam dijaga di rumah perlindungan agama Kristian. =(

> Darul Insyirah telah mempunyai dua cawangan, iaitu Darul Insyirah DI 1 & DI 2 di Bangi.

> Kedua-dua cawangan ini menempatkan warga emas kaum Hawa sahaja.

> Rumah ini merupakan pusat penjagaan dan pendidikan untuk warga emas.

> Penghuninya bukanlah dari golongan tua yang tidak mahu dijaga oleh anak-anak.

> Kebanyakkan anak mereka bekerjaya. Disebabkan kesibukan kerja dan tidak sanggup meninggalkan ibu mereka sendirian di rumah, mereka memilih untuk menghantar ibu di sini. Di samping para ibu dapat belajar ilmu-ilmu agama.
Tidak kurang juga, terdapat si anak terpaksa menghantar ibunya ke sini kerana dirinya sendiri sedang menghidapi penyakit teruk. Begitu juga, terdapat pelajar master terpaksa menghantar ibunya setiap pagi dan petang, mengambilnya semula.
Ini semua berlaku kerana adik-beradik lain melepaskan tanggungjawab.

> Terdapat juga, ibu itu sendiri yang meminta dihantar ke sini kerana mahu belajar agama.
> Setiap minggu mereka akan pulang ke rumah masing-masing.

> Mempunyai kelengkapan yang baik dan cukup selesa.

> Hanya menerima penghuni yang redha dan anak juga redha ditempatkan disini. Pendek cerita, si ibu bukan dihantar kerana paksa. Si anak pula bukan bermaksud melepaskan tanggungjawab terhadap ibunya.

> Darul Insyirah untuk warga emas kaum Adam dalam proses penubuhan. Mohon doakan.


Dari kisah-kisah yang dikongsikan oleh pekerja di sana,

Boleh timbulkan persoalan. "Antara kerjaya dan ibu bapa, manakah anak utamakan?!"
Menurut kajian pihak kebajikan masyarakat, pada tahun 2035 anak-anak semakin ramai tidak mahu menjaga ibu bapanya.

Allahurabbii... :'(

Betapa pentingnya pendidikan dan penerapan agama yg mantap kpd anak-anak kita sedari kecil. Dunia semakin mencabar dan mendesak kita !

Ingin saya kongsikan tentang seorang penghuni disini yang amat menarik perhatian kami semua. Beliau meminta kami memanggilnya Mak Pah sahaja.

Sebenarnya kami tiba di rumah tersebut jam 9 pagi lagi. Ketika itu kebanyakkan warga emas tiada kerana mereka menghadiri pengajian di surau berdekatan. Jam 12 tengah hari barulah mereka pulang. Mak Pah lah salah seorang penghuni yang memberi salam dengan kuat sekali kepada kami sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah. Mak Pah warga emas paling rancak bercerita semalam membuatkan kami senang dengannya.

Namun, paling tidak diduga juga. Saat kami semua bersalaman dengan kesemua penghuni disana sebelum pulang, saya menuju ke arah Mak Pah.
Siapa sangka wajah ceria awalnya, telah 'lenyap' berganti sebuah tangisan.
Beliau memeluk erat diri ini sambil menangis dan berpesan tiga perkara.

" Belajarlah elok-elok, Jaga diri, jaga mak."


 Mak Pah, manis je bila senyum. Mak Pah suka bergambar juga. Asal lepas bergambar, Mak Pah nak tengok gambarnya. Comel :)



Ayat 'jaga mak' itu paling tersentuh dihati. Allahuakbar. Mungkin ada sesuatu yang terbuku di hati insan bernama Mak Pah ini.

Dalam diri setiap kita, harus ada sebuah rasa. Yakni rasa PENTINGNYA ibu ayah kita walaupun kita sudah berumahtangga.

Saya terkesan dengan perkongsian pekerja di sana. Beliaulah yang melayan kami sedari awal kami tiba di sana dan banyak berkongsi cerita serta nasihat.

" Kamu belajar lagi kan. Sebab tu kamu semua tak rasa lagi sebuah tanggungjawab. Sekarang memanglah apa-apa hal, kamu akan teringat mak ayah dulu kan. Tapi apabila kamu sudah bersuami kelak dan punya keluarga sendiri, masa tu ibu bukan lagi insan pertama yang kamu ingat dan fikirkan selalu. Ibu akan jadi orang ketiga dalam hidup kamu.

Macam akak, semasa ibu akak sakit akak jaga ibu akak. Walaupun kekadang hadir juga rasa malas sebab dah penat balik dari kerja tapi nasib baik masih ada perasaan sayang dan fikir ini je masa untuk jaga mak. Sekarang, mak akak dah tak ada. Maknanya akak dah tak ada doa dari seorang ibu.

Jadi akak nak pesan, selagi masih ada ibu, kamu jagalah ibu kamu baik-baik. Jaga mereka waktu sakit kerana ketika itulah nak dapatkan pahala."


Allahuakbar. Cuba hayati dan  serapkan dalam hati kita semua ayat " Sekarang, mak akak dah tak ada. Maknanya akak dah tak ada doa dari seorang ibu."
Tidakkah kita merasa kehilangan sesuatu yang AMAT berharga di dunia ini?!

Tepuk hati tanyalah diri.

Sebagai kesedaran dan peringatan kita bersama.

Terima kasih Ya Tuhan, di hari Jumaat barakah, mentakdirkan kedua kaki ini membawa jasad ini ke tempat yang menyedarkanku tentang orang tuaku.



Hye five ! =)




Alhamdulillah. Ada salah seorang penghuni namanya Tok Chaq, minta tambahkan bihun katanya sedap. Sebelum ni dia jarang minta tambah makanan. *Tiada dalam gambar*







Yang berdiri itu pekerja atau nurse disini. Beliaulah banyak berkongsi cerita.



Sahabat seperjuangan, Huda, kami berdua sahaja tahun 1. =)



~ sepanjang berada di sana, saya sentiasa teringatkan satu watak gadis dalam cerpen lama saya, beliau sangat cintakan kerja kebajikan sebegini. Mudahan watak itu meresap dalam diri saya juga. Aamiin. Paling tidak, kita akan belajar bersyukur dan menyayangi. Bersyukur masih ada susah dari kita. Menyayangi dan menghargai mereka di sekeliling, terutama orang tua kita.~

Sekian sahaja perkongsian kali ini. Silalah menziarahi rumah ini dan daftarkan diri sebagai sukarelawan kerana mereka sangat memerlukan sukarelawan.


Assalamualaikum...



Ukm Bangi
0950 pm
040415

1 comment:

  1. Perkongsian yang menarik...by the way ada gambar saya di situ..hihi..teruskan mencari pengalaman..indah hidup jika kita menghargai bukan? Hehe

    ReplyDelete