Sunday 28 April 2013

Dirimu Permata




Dengan lafaz suci, bismillah… jam 1.55 pagi ini, 18 April 2013, saya kembali mencoretkan sesuatu khas buat pembaca dan pengunjung blog yang tidak seberapa ini. InsyaAllah, sebelum saya melelapkan mata, saya merasa sangat mahu menulis satu bingkisan , dan yang pasti bingkisan kali ini teristimewa buat kaum Hawa. Segalanya untuk menghargai dirimu, duhai gadisku.=)

Namun dialu-alukan juga kaum Adam menatap bingkisan ini agar kalian lebih menghargai kaum Hawa disisi kalian. InsyaAllah. Saya mengharapkan ada juga kebaikan untuk diteguk oleh kalian daripada perkongsian kali ini.

Istimewa buat mu, insan yang digelar wanita, gadis, perempuan, dan muslimah solehah.

Permaisuriku,

Keayuan semula jadimu,

Sebenarnya lebih menarik daripada matahari,

Kewangian budi pekertimu,

Lebih harum daripada kasturi.

Dengan kerendahan hatimu,

Dikau lebih tinggi daripada sang bulan,

Dengan kelembutanmu,

Dikau lebih halus daripada renyai-renyai hujan,

Kerana itu…

Jagalah kecantikan dan keindahanmu,

dengan keimanan, iffah dan maruah yang tertinggi.

Hm, baiklah kita teruskan kepada perkongsian hari ini. Sebenarnya begini, tadi selepas mengaji Al-Quran, saya membuat keputusan untuk menggosok jubah untuk dipakai esok hari terlebih dahulu sebelum tidur. Jadi, untuk tidak membuang masa kosong time iron jubah, handphone  beserta earphone diambil dari atas katil. Siaran radio IKIM menjadi pilihan untuk disantap oleh telinga.

Jubah dan tudung berwarna sedondon, iaitu oren muda, dikeluarkan dari lemari. Saya mengorak langkah ke bilik iron di blok D iaitu blok kakak-kakak Ijazah, saya lebih selesa menggosok pakaian di situ. Apabila telah bersedia untuk melakukan kerja itu, fikiran saya tidak dibiarkan melayang. Saya menambatnya untuk fokus kepada slot Indahnya Islam. Tak tahu tajuknya apa, tetapi berkaitan perkahwinan atau baitul muslim. Seorang ustazah sedang memberi ceramah.

“ Hai, bab kahwin nampaknya. Macam kena jer.” Saya berbicara di dalam hati kecil. Sebenarnya slot itu adalah slot ulangan.

Tangan mula bekerja. Telinga mula menadah ilmu. Begitulah yang biasa dilakukan. Kalau waktu pagi, mulut sedang mengunyah, telinga pula sedang mengaut motivasi pagi dari Ikim. Bukan apa, sebaiknya kita kautlah sebanyak mungkin ilmu yang dicurahkan di Ikim. Asal lapang saja, bukalah Ikim. Pasti ada ilmu yang dapat kita timba. Jika mengharapkan kita pergi kuliah di mana-mana tempat, tentu pelbagai alasan akan diberikan, bukan? Busy, tak cukup masa  dan pelbagai lagi. So ambillah peluang keemasan dari radio Ikim ini. ( Sempat lagi promote Ikim, hee )

Sedang syok iron jubah, Ustazah Hidayah mula mengupas berkaitan hak-hak suami dan isteri.

Kata ustazah “Kita perlu memahami dengan baik hak-hak ini. Hak suami bermaksud tanggungjawab yang harus dilakukan oleh isteri kepada suami. Hak isteri pula, tanggungjawab yang harus dilakukan oleh suami kepada isterinya.”

Ustazah juga ada menyebutkan hak-hak isteri ( kita ni lah, kaum Hawa sekalian ), terdapat dua hak, iaitu hak zahir dan batin. Hak zahir termasuklah dengan pakaian, makan minum kita, kelengkapan rumah dan sebagainya. Hak batin inilah yang selalu masyarakat hanya fokuskan kepada hubungan intim suami isteri. Walhal hak batin ini meluas. Antaranya, dikira hak batin juga, si suami haruslah bersikap baik dengan isteri, bermesra, menyayangi isteri, memberi perlindungan, memberi nasihat, bersikap lembut dengan isteri, sehinggakan isteri merasa tenang ( sakinah ) apabila berada disamping suaminya. Itulah hak isteri.

Lagi satu ilmu yang dapat ditimba tadi, kaum hawa ini sangat perlu untuk memilih pasangan hidupnya kerana pasangan ( lelaki ) itu yang banyak mencorakkan lukisan kehidupan keluarga. So, pilihlah lelaki yang beragama, soleh, berakhlak baik, prihatin dan penyayang. Jika dia seorang yang penyayang, sukakan kucing(ngee~), kan bagus… InsyaAllah, dia pasti juga akan amat menyayangi kita.

Duhai saudariku, yang seusia saya, atau  lebih muda dan tua sedikit daripada saya, jika saat ini kalian sedang terikat dengan simpulan couple, saya sangat menyarankan, silakanlah meleraikan ‘simpulan couple itu’. Mengapa? Kerana, sebagaimana kita tahu, Islam sendiri tidak meraikan hubungan couple itu. Ia hanya banyak mengundang kepada dosa dan zina. Nauzubillah.

Saudariku tercantik,

Dengarilah… dalam slot tadi juga seorang gadis menghubungi di Ikim. Katanya “ ustazah, saya sedang bercinta, pasangan saya pula menjalin hubungan cinta ini sekadar suka-suka saja dengan saya, dan ibu bapa saya juga tidak menyukai pasangan saya. Bagaimana, ustazah?” Apakah jawapan ustazah? Ayuh baca lagi.

Ustazah menjawab, “ sekiranya ustazah berada ditempat gadis itu, ustazah pasti sudah tinggalkannya. Jika ketika sedang bercinta sudah begitu sikap si dia, main-main saja dengan kita, bagaimana jika sudah berkahwin nanti? Jadi, sebaiknya tinggalkanlah lelaki itu. Tambahan pula, mesti diingatkan, pentingnya redha ibu ayah kita dalam mendirikan rumahtangga ini. Ingatlah, redha Allah swt terletak pada redha ibu ayah kita.”  So gadisku yang comel, nilailah dengan kebijaksanaanmu. Dikau bisa berfikir dan sudah bisa membezakan mana baik, dan buruk.

Teringat pula saya akan ayat-ayat Imam Al-Ghazali di dalam buku Tentang cinta, tulisan Ustaz Pahrol~ Imam Ghazali pernah mengemukakan pertanyaan dalm kitabnya Ihya’ Ulumuddin. Pertanyaan itu lebih kurang begini, “ jika diminta buat pilihan antara barang baik dengan kurang baik, manakah pilihanmu?” beliau menjawab pertanyaannya sendiri “ tentu kau memilih yang paling baik.” Kemudian beliau bertanya lagi, “ jika diminta padamu untuk membuat pilihan antara barang yang kekal dan yang musnah, manakah pilihanmu?”

Sekali lagi beliau menjawab soalannya sendiri, “ tentu yang lebih kekal.” Itulah semestinya jawapan manusia yang berakal. “ Jadi mengapakah kau tidak memilih sesuatu yang membawa kebahagiaan Akhirat? Kerana ia sesungguhnya adalah lebih baik dan lebih kekal!” rumus Imam Al-Ghazali. So dalam konteks bingkisan ini, saya mahu gadis-gadis yang saya sayangi (yang sedang dilamun cinta terutamanya ), ayuhlah berfikir dan lakukan pilihanmu. Mahukan cinta yang Allah swt redhai atau tidak? Mahu cinta hati itu kekal hingga jannah (syurga ) atau ke nar (neraka). Renungkan…




Ayuhlah kembali memilih jalan yang Allah swt redhai. Kita mencari cinta yang lebih suci. Usah takut untuk melangkah menuju hijrah dan sebuah perubahan. Allah swt bersamamu setiap masa~ Ingin saya kongsikan sepotong ayat Al-Quran yang membuktikan Allah swt itu Maha Penyayang dan menerima taubat kita. Surah Az-Zumar ayat 53 :

“ Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus asa dengan rahmat ( kasih sayang ) Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”

Allah~ lihatlah gadisku… Allah swt berbicara denganmu…

Dirimu insan istimewa… jadi sayangilah diri sepenuh jiwa mu. Usah dibiarkan dirimu dinodai cinta lelaki yang bernafsu durjana.

Duhai permata terindah dunia… hayati bicara ini…

Wahai saudariku, perhiasanmu yang sebenar bukanlah emas atau perak,

Tetapi solat dua rakaat menjelang subuh,

dahagamu di tengah hari kerana puasa,

airmata taubat penuh keinsafan,

sujud panjang di atas sejadah,

dan malu pada Allah ketika didorong bisikan nista dan ajakan syaitan.

Duhai permataku…

Pakailah pakaian takwa ( takut kepada Allah swt ),

dirimu akan menjadi wanita tercantik di dunia.

Kenakanlah cahaya kesantunan dalam dirimu.

Duhai permataku…

Penawar hatimu ada dalam kitab suci Nya,

Kenikmatan sanubarimu ada dalam keimanan,

Kesenangan hatimu ada dalam sembahyang,

Keselamatan hatimu bermuara pada keredhaaan,

Dan ketahuilah ketika dirimu mengingati Allah, maka ketenangan mu semakin terserlah...


“ Ya Allah, Tuhan sekalian alam, jiwa dan ragaku, ku serahkan sepenuhnya kepada Mu… Justeru, itu kasihilah daku dan limpahkan aku dengan kemanisan mencintai Mu. Kekalkan ku di jalan hijrah ini… Jauhi ku dari azab neraka Mu yang pedih, dan dekatkanlah aku dengan nikmat syurga terindah Mu. Ya Allah, bimbinglah aku menjadi gadis dunia yang dicemburui dan dirindui penghuni syurga~” Allahumma amin.

Hijrahkan diri, hati nurani mu kepada Ilahi… pasti kau kan bahagia hingga akhirat nanti. Sucikanlah diri, perbaiki peribadi menjadi gadis, wanita yang dihiasi dengan akhlak mahmudah, kelembutan, ketenangan jiwa kepada sang suami. Allahumma amin.:)

~ Istimewa untuk mu setelah sekian lama saya tidak update blog ini atas masalah yang tidak dapat dielakkan.~ =)