Saturday 4 July 2015

Hargaikah kita Perjuangan Rasulullah?



Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah, alhamdulillah. Syukur atas ke hadrat Ilahi, masih berpeluang kita bersama Ramadhan.

Ketika ini, saya sedang mendengar qasidah Muhammadiah. Sementelah mendengar qasidah ini, membuatkan kerinduan pada Nabi Muhammd saw semakin bertambah.
Allahu allah... Indah sungguh perasaan ini Ya Karim. Alhamdulillah.

Sebelum tiba Ramadhan, saya gemar sekali mendengar nasyid Labbaikallah nyanyian Opick. Membuatkan jiwa berkobar mahu menyambut kehadiran Ramadhan sebagaimana kobaran jiwa para jemaah haji di Tanah Suci.

Apabila memasuki Ramadhan, Allah swt telah mencampakkan perasan rindu pada kekasihNya. Ia terbit sejurus saya menonton dan mendengar nasyid rancangan Tv Khawater. Itu pun secara tak sengaja bertemu video itu.
Sehingga hari ini rasa rindu itu masih berbuah. Alhamdulillah. Pernah berdoa padaNya sampaikanlah salamku dan kerinduanku pada baginda Ya Rahim...

Pernah juga berdoa, meminta denganNya, izinkan bertemu Rasulullah saw atau mendengar nasihat baginda, walau sebaris ayat. Sebagaimana permintaam saya sewaktu pemergian TGNA.

Namun, belum rezeki saya. Siapalah saya ini... Mahu bertemu insan agung itu. Saya hanyalah insan yang bersalut dosa-dosa silam. Tidak layak untuk itu... Tetapi, sungguh rindu pada baginda.

Lantaran rindu ini, sesekali saya terfikir, bagaimanalah kehidupan pada zaman Nabi ya, apabila saya melihat para penduduk Makkah di kaca televisyen. Terbayang kisah sejarah dan perjuangan pada zaman baginda.

Saya juga tertanya, bagaimanalah perasaan rindu para sahabat selepas pemergian Rasulullah saw? Pasti, kerinduan mereka lebih mendalam. Berbanding rindu saya ini... Tetapi, sungguh saya rindu... Allah...

Mereka pernah berdamping dengan baginda, mendengar bicara baginda, berperang bersama baginda, membantu perjuangan baginda, mengasihi baginda dan pelbagai lagi.

Teringat saya akan kisah seorang bilal, Bilal bin Rabah, tidak lagi melaungkan azan setelah wafat Rasulullah saw. Hingga menangis apabila melaungkan azan.
Begitu sekali kerinduannya. Melalui kisah itu cukup menggambarkan kerinduan di jiwa mereka.

Kita, umat baginda yang kini sedang merasai nikmat Islam dan iman hasil perjuangan baginda, bagaimana pula?

Tidak pernahkah kita terfikir, bagaimana aku boleh menghargai dua nikmat ini sebagai penghargaan kepada Rasulullah saw?

Baginda dahulu, menempuhi dan bermandikan darah dalam pelbagai peperangan demi menegakkan dan menyebarkan Islam. Wajah baginda pernah terluka, gigi baginda tanggal, Hamzah-bapa saudara baginda-gugur, dan perut baginda lapar.
Tidak terhimpun padanya kecuali rasa sabar dan mengharapkan pahala, bersyukur dan redha.
Tatkala terluka, baginda berdoa "Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui."

Tetapi apa yang kita lakukan kepada Islam hari ini?!

Allahurabbi... Sedih rasanya apabila melihat Islam hari ini. Andai kita berasa sedih, cuba bayangkan, bagaimana pula rasa sedih baginda?!

Analogi ringkas saya buatkan. Cuba tempatkan diri kita dalam keadaan ini.

Kita mempunyai impian mahu mendirikan sebuah syarikat besar terkemuka. Apabila dewasa, kita berusaha keras. Kerja sana, kerja sini. Timba ilmu dimana jua. Kita pernah diherdik, dimaki, diperlekehkan, namun hadap saja demi impian itu.

Satu masa, berjaya mencipta nama dan syarikat besar atas USAHA GIGIH, dan PENAT LELAH.
Namun, kini syarikat yang gah dulunya, hilang kemegahannya. Nama itu telah dicemari sedikit demi sedikit oleh orang suruhan kita sendiri. Orang yang dipercayai untuk bersama menjaga amanah ini.

Haaa... Apa perasaan kita ketika itu?!

Umpamakan, kitalah orang yang dipercayai itu. Umat yang dipercayai Nabi Muhammad saw untuk menjaga kesucian Islam.

Tepuk dada, tanyalah imanmu.

Muhasabah kita bersama.

Akhir kata, moga coretan ringkas ini menjadi asbab Allah swt mencampakkan kesedaran serta kerinduan kita pada Nabi Muhammad saw. Lantas, belajar untuk menghargai perjuangan baginda. Serta melakukan sesuatu untuk sebarkan Islam. Aamiin.

Salam kerinduan.


17 Ramadhan.
040615
Gombak