Tuesday 22 April 2014

Aku, Permata, Kamu



Bismillahirrahmanirrahim…

Dengan nama-Nya aku mulakan tinta ku malam dingin ini…
Entah malam ini saya merasa sedih tiba-tiba…
Saya macam nak layan perasaan saja.

*Memohon kemaafan andai puisi malam ini terlalu panjang. Sekadar meluahkan rasa.*



Aku…

Adalah hamba-Nya yang digelar gadis,

Tika usia ku masih mentah…

Aku…

Adalah hamba-Nya yang digelar remaja dan wanita,

Tika usia ku menjengah tua…

Iya… itulah diriku dan dirimu wahai kaum Hawa…

Kita adalah sama,

Makin meningkat usia,

Makin kita dewasa dalam meniti kehidupan dunia.

Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Bicara ini buat kita…

Istimewa ku coretkan tuk dihayati jiwa.


Pejamkan matamu seketika,

Bayangkan wahai Hawa,

Di pertengahan malam sebegini,

Kedengaran suara mengadu kesakitan seorang wanita,

Pada sang suaminya…

Dalam keadaan lelah kerna diganggu rehatnya,

Sang suami berkorban demi isteri tercinta,

Relakan dirinya,

Menampung kekurangan isteri sarat mengandung zuriatnya,

Di papah, di angkat, di dukung sang isteri,

Dia pula sang suami,

Mencelikkan mata seluas-luasnya,

Pandu kereta,

Membelah kepekatan malam menuju destinasinya…



Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Tampak jelas kerisauan dia,

tatkala sang isteri mula berjihad di dalam sana,

hanya doa mampu dia pinta pada-Nya,

moga selamat sang isteri dan ‘permatanya’…



Wahai aku dan kamu wahai kaum Hawa,

Sakit perit dia berjuang melahirkan kita,

Ke dunia fana,

Tiada kita bisa merasainya…

Bahkan pabila kita dewasa,

Baru dikhabarkan rasa itu dan ini oleh dia,

Yang digelarkan ummi,ibu,mama oleh kita…




Wahai aku dan kamu wahai kaum Hawa,

Aku sama sepertimu,

Pernah melalui alam gadis, remaja dan wanita,

Iya, mungkin langkahan kita berbeza,

Namun kita tetap sama,

Kerna tika dalam rahim bonda,

Kita sudah dianggap sebagai permata,

Oleh mereka ibu dan bapa…


Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Kita PERMATA,

Kerna Islam telah meninggikan darjat kita,

Tidakkah kau sedari ia?

Permata bernilai yang dijaga sebaiknya,

Oleh orang tua kita…


Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Kita adalah PERMATA,

Tetapi mengapa kini berbeza haluan kita?

Mengapa aku disini,

Dan kau jauh disana?

Mengapa aku di landasan iman ini,

Dan kau tersesat di landasan durjana?

Mengapa aku bahagia bersama Dia,

Dan kau seksa bersama dia yang kau puja?

Mengapa?

Mengapa kaum Hawa??



Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Kita PERMATA lahir dari Islam,

Masih jua sama,

Justeru,

Pastinya ajaran Islam ‘suapan’ kita berdua.




Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Jadi…

Siapa harus dipersalahkan?

Aku?

Kamu?

Mereka?

Oh… tidak wahai kaum Hawa…

Ketahuilah…

Dalam lena kita dengan dunia,

Sebenarnya pernah jiwa kita meronta-ronta,

Amat DAHAGAkan kasih sayang-Nya,

Tetapi…

Disebabkan DUNIA …

Kita abaikan permintaan jiwa,

Bahkan kita tulikan ‘telinga’ hati kita,

Semuanya kerna dibutakan oleh Godaan dunia,

Hingga…

Disisihkan jauh… kasih sayang ibu bapa…

Allahurabbi…

Itukah akhlak PERMATA??

Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Aku tahu lembutnya hati kita,

Justeru,

Bukalah pekung di dada kita,

Robekkanlah ‘dunia durjana’ di dalamnya!

Robekkanlah!

Kerna bukan di situ kediamannya,

Gantikan ia…

Dengan kilauan permata kasih sayang ayah bonda…

Yang selama ini perit jerih melahirkan kita,

Dan membesarkan kita,

Hingga kita pintar mindanya,

Dan indah rupanya. =)




Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Mati tiada mengenal usia,

Ayuh sama-sama kita,

Menghargai ayah bonda,

Selagi tangannya ada untuk membelai kita,

Selagi nasihat bisa dilontarkan dari bibirnya,

Selagi kasih sayangnya masih bisa dialir,

Dan…

Selagi mata bisa menatap dan membelai wajah mereka…

Selagi hayat mereka masih ada….



Wahai aku dan kamu kaum Hawa,

Sama-sama kita,

Ingatkan diri usah mudah dibuai cinta dunia,

Bentengkan diri dengan beriman pada-Nya,

Dengan menjaga syariat-Nya,

InsyaAllah kelak kita juga di jaga oleh-Nya,

Di jaga melalui cahaya hidayah-Nya…

Insya-Allahu taala.

Allahumma aamiin.




Semoga kita semua akan menjadi PERMATA ISLAM selamanya. aamiin3.
Doakan diri ini juga ya. 

Sayang kalian lillah.

assalamualaikum...



Nukilan jiwa : Permata Ayahbonda ( Balqis )

Batu Muda KL,
210414
1145PM



Monday 7 April 2014

SAMBUNGAN CERPEN : Cinta Chocolate Moist



Assalamualaikum... selamat pagi semua :) 
Pagi ini saya mahu post sambungan kedua cerpen Cinta Chocolate Moist. 

Sesungguhnya saya mengharapkan respon dan komen daripada setiap pembaca. Selamat membaca.
Syukran kathera. :)

                                                                          ~ ~ ~ ~ ~

Huzaimy menatap wajah isterinya buat seketika sebelum dia kembali bersuara. Senyuman terukir dibibirnya.

“ Hmm, kalau Fareha terus membisu, bagi abang lah kek Fareha tu. Kek ni pun tak suka tau tengok orang tuu moody je pagi-pagi macam ni. Meh lah abang tolong makan untuk Fareha.” Dia terus menyuakan sudu yang mengandungi kek Fareha ke dalam mulutnya. Satu suapan demi satu suapan. Laju! Sengaja mahu membuat Fareha terkejut besar! Dia tahu bahawa Fareha amat marah jika kek kesukaannya dimakan oleh orang lain. Dia pernah diberitahu perihal tersebut oleh mak mertuanya melalui kisah semasa Fareha masih kecil, dia bergaduh dengan sepupunya yang tersalah makan kek miliknya. Begitu sekali kecintaan Fareha terhadap kek coklat.

Cecair coklat yang bersisa di piring dicolek dan disapukan pada pipi Fareha!

“Oit! Apa ni??” Fareha menyentuh pipinya. Matanya memandang tajam ke arah Huzaimy.

“ Haa itulah. Kan dah merah muka tu menahan amarah.”

“Awak sengaja nak cari pasal dengan saya, kan? Bukan ke awak dah tahu saya suka sangat kek ini?”

“Yes, I know it!” Balas Huzaimy dengan muka tak bersalahnya.

“Habis tu kenapa awak buat macam ni kat saya?!” Mata Fareha mula bergenang. Dia kembali teringat akan kenangan zaman kecilnya. Kenangan pahit kerana dia bergaduh besar dengan sepupunya, Haiqal. Dia tahu Haiqal suka mengusiknya dan sengaja berlakon tersalah makan kek miliknya, disebabkan itu dia terlalu marah kepada Haiqal dan sesiapa sahaja yang makan kek tanpa keizinannya.

Huzaimy menatap wajah lembut dihadapannya yang tunduk memandang meja. Fareha mahu menyembunyikan kesedihannya. Rasa serba salah menerpa dalam diri Huzaimy terhadap isterinya pencinta kek coklat Moist itu.

Dia memandang sekilas ke kanannya sebelum memberikan isyarat kepada waiter. Kemudian dia berdiri. Fareha langsung tidak mengendahkannya! Jika Huzaimy mahu beredar pergi, dia tidak kisah malah lebih menyukainya! Bolehlah dia melepaskan tangisannya nanti…

Kehadiran waiter itu diiringi alunan musik ‘Selamat Hari Lahir’ dan dibawa bersama kek coklat yang lebih besar dari sebelumnya. Aroma coklat yang disaluti pada kek menusuk hidung Fareha. Pantas Fareha memandang kek yang diletakkan di hadapannya. Dia terkejut besar. Matanya membulat!

“Sannah helwah ya zaujati!” Huzaimy berdiri di belakang kerusi Fareha. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Fareha.

“Abang sangat sayangkan Fareha, selamanya. Jangan menangis ya. Abang dah gantikan kek yang abang makan tadi dengan kek baru ini. Yang pasti, kek ini abang tak kan sentuh sedikit pun. Khas hanya untuk isteri abang yang comel ini!” Dia kembali ke kerusinya sebelum mengeluarkan hadiah untuk Fareha.

“Untuk Fareha, kekasih hati abang.” Dihulurkan hadiah itu kepada Fareha yang sedang menahan sebak. 

Sesekali Fareha memandang ke kanan dan ke kiri melihat pelanggan-pelanggan lain. Terasa malu pula jika mereka turut menyedari kejadian tadi. Marah kerana kek coklatnya dimakan oleh suaminya! Err, kalau boleh, mahu sahaja dia katakana pada dunia, aku pencinta kek chocolate Moist, okey!

“ Emm, terima kasih tapi janganlah buat macam tadi lagi. Saya malu kalau orang lain nampak saya marah tadi…”

Huzaimy tersenyum. Bahagia melihat isterinya sebegitu meskipun dia tahu cinta untuknya  belum berbunga di hati Fareha. Dia akan bersabar menanti cinta terindah daripada insan istimewa dalam hidupnya itu.

“ Abang akan setia mencintaimu, Fareha… gadis lembut, penenang jiwa abang.”

Fareha akhirnya tewas. Senyuman lebar menghiasi wajahnya yang indah mata memandang itu. Kecantikan dan kecomelan wajahnya makin terserlah apabila tersenyum.



.
~ ~ ~ ~ ~


Syair-syair cinta ini tercipta atas nama-Mu Ya Rabbi…

Ingin hatiku bingkaikan cinta ini…

dalam hiasan redha Mu Ilahi…

moga kan terus mewangi hingga syurga Firdausi…


Di kedinginan malam itu, Fareha melukis gambarnya dan suami bersama puisi cinta buat pendamping dirinya, Zul Huzaimy. Dia amat gemar melukis dan mencipta puisi seandainya terasa sunyi lantaran sering bersendirian di mahligai dunia itu.

“ Kan ku terus belajar mencintai dirimu hingga syurga. Insya-Allah…”

Nota pendek itu ditulis pada bawah lukisannya. Dia tidak berhajat mahu menunjukkan lukisan itu kepada suaminya saat ini. Biarlah semua hasil lukisan dan puisi ciptaannya dikumpulkan terlebih dahulu. Dia lebih suka sedemikian. Suka membuat sesuatu dalam diam dan juga belajar mencintai suaminya itu dalam diam.
Mencintai suami dalam diam?

Mengapa harus dalam diam, sedangkan sudah halal untuk mencintai suami secara terang?

Insan sekeliling tidak akan memahami seandainya tidak pernah dikhabarkan kisah kehidupan Fareha…
Titisan air matanya mengalir lagi. Ya, itulah yang sering terjadi sejurus sahaja dia usai mencoretkan sesuatu buat sang suami tercinta… Menangis.

Perlahan-lahan tangan gadisnya menyeka airmata yang mengalir di pipi. “ Kau harus kuat, Fareha! Jangan lemah dan menangis sebegini! Kini, kau wajib mengutip bunga-bunga cinta untuk dipersembahkan kepada suami mu!” Dia cuba memujuk diri. Senyuman mula terukir kembali.

“Ya! Aku wajib kuat! Wajib! Aku mesti yakin dengan ketentuan-Nya bahawa semua yang terjadi adalah aturan terbaik dari-Nya untuk aku!” Dia menggempalkan tangan kirinya! Lalu ditutup buku dan kertas lukisan di hadapannya. Disimpan kembali di ‘tempat rahsia’.

Dia membaringkan diri di atas katil bujang beralaskan cadar berwarna pink. Dia lebih suka tidur di katil bujang walaupun sudah bergelar isteri. Apatah lagi, dia sering kali bersendirian di rumah. Huzaimy juga memahami dirinya dan memberinya ruang waktu untuk menyesuaikan diri. Kadang kala sahaja dia akan menemani suaminya.

“ Dia sangat memahami aku. Dia sangat caring akan diriku. Dia sangat prihatin padaku. Dia sangat…”

“Tapi aku terasa sunyi…”

Dia tidak mampu meneruskan bicaranya. Airmata mengalir lagi… Tubuhnya dipusingkan ke kanan menghadap gambar pernikahannya dengan Huzaimy. Lama mata bulat Fareha menatap wajah Huzaimy yang dihiasi senyuman lebar. Senyuman bahagia! Sedangkan dirinya tika itu… senyum sekadar memenuhi keperluan… senyum untuk membahagiakan insane-insan sekelilingnya.

“Allahuakbar… nikmat mana lagi ingin aku dustakan sedangkan sudah Kau bentangkan dihadapan mataku kini…”

Lantas dia bangkit dari pembaringan, membatalkan hajat untuk dibuai lena. Dia mahu menggantikannya dengan bersujud pada Yang Maha Berkuasa. Mahu mencari ketenangan di sejadah cinta-Nya.

Namun, belum sempat dia melangkah masuk dalam bilik air, telefon bimbitnya berdering nyaring.

Dia melangkah perlahan ke meja solek. Melihatkan nama dan gambar si pemanggil yang terpapar di skrin telefon, membuat dirinya sedikit terkejut. Dia jadi teragak-agak mahu menjawab panggilan itu. Sehinggalah panggilan pertama ditamatkan.

Tidak sampai lima minit, telefon berdering lagi. Panggilan kedua. Orang yang sama.

Huzaimy calling…

Bismillah… dia menekan punat hijau.

“Assalamualaikum Fareha, sudah tidur ke?” Perlahan sahaja kedengaran suara di hujung talian.
Membisu. Sengaja. Dia cuma berusaha untuk menyembunyikan tangisan sebentar tadi. Dibimbangi Huzaimy dapat mengesannya jika dia bersuara.

“Fareha… abang mengganggu Fareha ke? Maaf ya tapi abang teringatkan Fareha. Tidak mengapalah jika Fareha tidak mengingati abang sekalipun. Abang faham… abang cuma ingin Fareha tahu yang abang sentiasa rindukan Fareha. Sabar ya sayang kerana kita terpaksa berjauhan untuk seketika. Insya-Allah, tidak lama lagi abang akan sentiasa ada di sisi Fareha walaupun waktu itu Fareha belum mencintai abang. Insya-Allah, abang amat yakin, cinta Fareha akan hadir untuk abang kelak. Aamiin. Jaga diri ya.”

“Terima kasih kerana memahami… Fareha minta maaf atas segala kekurangan diri Fareha.”

“Sama-sama. Tidak mengapa Fareha, abang akan terus memahami Fareha selagi abang diberi ruang waktu untuk mendampingi Fareha. Usah minta maaf ya. Fareha tidak membuat salah pun dengan abang. Fareha sedang buat apa? Belum tidur ke?”

“ Em baru nak ambil wuduk tadi. Ingat nak solat.” Balasnya ringkas. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja meluahkan apa yang terbuku di sanubari. Rindu! Tetapi dia belum bersedia meluahkannya.

“Subhana-Allah, bagusnya isteri abang. Solehah! Baik, nanti abang nak solat jugak lah. Jangan lupa doakan untuk kita ya. Doakan mahligai kita ini. Kalau macam tu, abang undur diri dulu ya. Esok abang akan jemput Fareha ke office. Insya-Allah. Jaga diri ya sayang. Moga mimpi indah permaisuri hati abang. Akan terus abang menanti dirimu mencintai abang. Assalamualaikum.”

Allahuakbar… Allahuakbar… Allahuakbar… begitu setianya Huzaimy dalam mencintainya. Manakala dia masih berusaha menyemai rasa cinta buat Huazaimy. Sabarlah menanti waktu untuk ia dipetik nanti. Insya-Allah.



~ ~ ~ ~ ~


Mengimbas kembali kehidupannya setahun lalu…

Petang itu Fareha terpaksa pulang sendiri ke rumah kerana ayahnya mempunyai urusan perniagaan. Dia tiba di rumah jam 6.30 petang disambut oleh ibu dan kakaknya.

“Fareha, dah makan ke? Hari ini kakak bawa kek lapis Sarawak untuk Fareha.” Kata kakak sulung Fareha, Fathiah yang baru sahaja pulang dari berbulan madu di Sarawak.

“Waa, mesti sedap kan. Nak! Nak! Mana kek tu? Jom kita makan bersama.” Balas Fareha penuh keterujaan sejurus dia meletakkan barangnya di atas sofa. Ibu tersenyum melihat gelagatnya teruja untuk makan kek.

“ Tak apa, Fareha duduk saja kat sofa ni ya. Biar kakak yang tolong hidangkan kek itu. Fareha pun mesti penat, kan?”

Laju sekali Fareha mengangguk sambil tersengih. Dia mengambil tempat di sisi ibu. Lengan ibu dipeluk erat dan kepala diletokkan di bahu ibu. Anak dara yang manja, itulah Fareha.

“Fareha penat ya. Pukul berapa habis kelas tadi?” ibu mula bersuara sambil membelai rambut Fareha.

“Penat tu memang penat juga tapi biasalah dalam menuntut ilmu kan ibu. Perlukan banyak kekuatan dan pengorbanan. Biarlah Fareha penat sekarang, ibu. Jadi, ibu kena sentiasa doakan Fareha tau, agar Fareha anak ibu yang manja ini sentiasa qowiey!” Fareha tersengih sebelum menyambung kembali bicaranya.

“ Hmm… tadi pukul 5 petang habis kelas tapi ada urusan pula dengan seseorang. Itu yang jadi lambat sikit Fareha pulang ke rumah hari ni.”

Ibu menoleh ke arah Fareha. Pelik. “Seseorang?”

Fareha mengangguk dan senyumannya terus mati apabila teringat kembali kejadian di kampus tadi.

“Ibu jangan risau ya. Biasalah pelajar laki kat kampus tu. Ada sorang tu masih tak henti-henti kacau Fareha. Jadi tadi Ustaz Fakhrul mengajak Fareha membuat perbincangan antara Fareha dan lelaki tersebut untuk menyelesaikan masalah ini. Fareha ditemani Aisya, kami berbincang di bilik ustaz. Rupanya kan ibu…” Dia sengaja menghentikan katanya mahu membuat ibu suspen.

“Rupanya apa sayang??”

Dia tersengih! Suka mengusik ibu! Dia melepaskan pelukan pada lengan ibu kemudian duduk bersila di atas sofa itu. Bersedia untuk menyambung ceritanya.

“Rupanya lelaki tu sangkakan Fareha ni bekas tunangnya yang telah meninggal dunia. Katanya Fareha amat iras dengan arwah. Dia selalu menegur Fareha secara depan-depan kerana dia mahu Fareha menjadi kekasihnya. Dia tidak pernah henti mengorat Fareha,bu. Hampir setiap hari menghantar chat, mesej dan surat kepada Fareha. Kalau ibu nak tahu, dia juga pembaca setia blog Fareha, bu… seram kan ibu?”

“Allahuakbar. Iyeke Fareha? Kasihannya kat lelaki itu. Mungkin dia terlalu mencintai tunangnya sebelum ini. Hm, seram juga apabila anak ibu ni mempunyai secret admirer. Jaga diri baik-baik ya selepas ini. Jaga akhlak dan pergaulan terutama apabila berada di khalayak ramai. Kaum adam ini mudah tertarik kepada wanita yang bersifat lemah lembut dan ceria macam anak ibu ni.”

“Errr… anak ibu ni lemah lembut ke?” Fareha menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Fakta ke auta ni?

“Dah ibu. Jangan dipuji lebih-lebih nanti makin kembang hidung Fareha, bu. Hehe.” Sampuk kakak yang muncul dari dapur bersama dulang berisi minuman dan kek lapis. Fareha tersegih seperti kambing.

‘Lemah lembut? Ceria? Iyeke??’

No komen!


~ ~ ~ ~ ~



Setelah usai menunaikan solat, dia mengisi masa kosongnya dengan melayari laman sosial. Seperti selalu, perkara pertama yang akan lakukan ialah membuka emel kerana dia sentiasa menanti emel daripada seseorang. Insan itu amat jauh dari matanya. Insan yang selalu dirinduinya.

Dia mengukirkan senyuman tatkala melihat dua emel diterima daripada si dia. Tanpa membuang masa, dia terus membuka emel tersebut. Emel pertama diterima dua hari yang lalu dan emel kedua diterima petang tadi. Emel pertama dibaca terlebih dahulu.

Dia gembira dengan perkongsian daripada tunangnya itu, Faizal. Alhamdulillah, prestasi pengajian Faizal di England semakin baik dan mendapat anugerah kecemerlangan dari pihak universiti. Dia tumpang bahagia dengan kejayaan Faizal. Turut dikongsikan oleh Faizal juga ialah pengembaraan semasa sesi jelajah negara tersebut bersama para pelajar Malaysia di sana. Gambar-gambar menceritakan segalanya, jelas terpancar kegembiraan dan keseronokan Faizal. Fareha merasa bahagia bersama. Doanya semoga ikatan mereka berkekalan selamanya kerana mereka saling mengenali sejak zaman sekolah rendah lagi. tidak mahu dia sia-siakan perkenalan yang telah dibina sejak dahulu. Dia sangat menyayangi Faizal.

Kini, emel kedua pula dibaca…

Sedikit demi sedikit riak wajahnya berubah dan akhirnya senyuman yang menghiasi wajah mulai ‘hilang’. Tidak semena-mena juga mutiara jernihnya mengalir laju di pipi. Dia tidak mampu untuk terus membaca emel yang diberikan oleh Faizal itu… tiada dayanya lagi andai itulah keputusan Faizal.

“Fareha, maafkan Faizal kerana tak dapat nak teruskan perhubungan kita. Jangan ditanya mengapa keputusan ini diambil oleh Faizal. Fareha lebih mengetahuinya… Fareha fikirkanlah sendiri… walaupun kita jauh, tapi Faizal tahu cerita-cerita di kampus Fareha! Tak sangka Fareha bermain cinta dengan lelaki lain! Sudahlah Fareha! Mulai detik ini, kita putus! Jangan hubungi Faizal lagi. assalamualaikum.”

Allahurobii… Fareha terasa seperti batu besar telah menghempap dirinya. Bagai dia dilambung ombak tinggi. Tiada berdaya dia mahu memaut dimana-mana untuk selamatkan diri dari ujian tersebut. Allahu, fitnah apa pula yang Faizal terima?? Faizal langsung tidak memberinya peluang untuk menjelaskan segalanya… Semua itu fitnah dan salah faham!
Dia tidak pernah menduakan Faizal walau sekali! Tidak pernah! Dia sangat menyayangi Faizal semenjak Faizal melamar dirinya. Bermula detik itu jualah, dia tekad mahu memperbaiki diri menjadi wanita yang lebih baik. Dia mahu menjadi isteri yang terindah di mata Faizal kelak…

Tetapi mengapa semua ini harus terjadi? Mengapa harus begini? Mengapa Faizal langsung tidak membuka ruang untuknya bersuara dan mempertahankan hubungan mereka? Mengapa? Haruskah dia relakan semua ini berakhir sebegini?

Disebabkan terlalu sakit dan terseksa dengan ujian itu, akhirnya dia gugur di lantai kamarnya!



~ ~ ~ ~ ~



Esakan tangisan kedengaran sayup-sayup berdekatan dengan dirinya. Saat itu, tubuhnya terasa sangat lemah… hanya mata mampu cuba dibuka secara perlahan-lahan. Dia melihat kakak dan ibu berada disisinya. Mereka turut menangis…

“Fareha, anak ibu… Alhamdulillah Fareha dah sedarkan diri. Fareha, ibu rindukan Fareha…” Ibu menggenggam erat tangan kanan Fareha.

“Ya adikku. Fareha mesti kuat ya. Kami semua sayangkan Fareha…” Kata kakaknya sambil meyapu air matanya.

Dia tidak bisa melihat insan dihadapan mereka menangis. Biarlah dirinya sahaja yang merasai kesakitan itu! Biarlah dia sahaja yang menanggung derita itu!

Perlahan-lahan dia menutup kembali matanya… dan airmatanya mengalir…

‘Beriku ketenangan Ya Rabb… beriku kekuatan Ya Ilahi…’ Dia bermohon kepada Penciptanya dalam sanubari. Hanya Dia yang boleh memberinya kekuatan saat ini. Hanya Dia tempatnya menggantungkan harapan. Dia sengaja memejamkan mata kerana mahukan sebuah ketenangan dari Ilahi. Tidak lama kemudian, dia dibuai ‘tidur’ yang lena selama tiga hari di hospital tersebut.



~bersambung~

kuatkan Fareha menghadapi ujian itu??

bagaimana pula Fareha bertemu dengan Zul Huzaimy??

nantikan sambungan seterusnya... InsyaAllah. :)


:: Permata Alwalidaini ::