Sunday 25 August 2013

Aku Mohon Ampun Ya Allah...





“ Maka barangsiapa menghendaki, nescaya dia menempuh jalan kembali kepada Tuhan-Nya.” 
Surah An-Naba’ : ayat 39


Subhana-Allah…

AKU MOHON AMPUN YA ALLAH…

Setiap manusia yang ada di muka bumi ini dilahirkan sebagai hamba Tuhan Yang Maha Berkuasa, dan sebagai hamba yang tidak mempersekutukan-Nya dengan tuhan selain-Nya. Allahu… Bertuahnya setiap hamba Allah swt yang dilahirkan dalam agama Islam yakni saya dan sahabat-sahabat yang sedang membaca post ini. Lafazlah Alhamdulillah atas nikmat Islam ini. ALHAMDULILLAH.

Lahirnya kita dalam agama Islam bererti kita dilahirkan di jalan yang lurus, jalan yang Allah swt redhai dan cintai kerana Islam ini adalah agama suci-Nya. Alhamdulillah, aku bersyukur pada-Mu Ya Rabb.

~ ~ ~ ~

Ya! Semasa kecil lagi aku sudah pun berada di jalan yang lurus, tetapi mengapa kini aku telah jauh tersasar dari jalan itu?

Mengapa Allah?

Allah… Mengapa aku jauh dari jalan lurus itu?

Allah… Mengapa aku begini hari ini?

Allah… Mengapa aku tidak lagi sesuci bayi yang baru dilahirkan?

Allah… Mengapa aku melakukan dosa-dosa besar ini?

Allah… Mengapa aku begitu hina dan kotor kini?

Mengapa Ya Allah…

Tunduk sayu sang hamba itu tatkala mengajukan persoalan-persoalan itu kepada Rabb, Tuhan Yang Maha 
Mendengar… Air mata penghambaannya mengalir laju seperti mengalirnya air terjun… Esakan tangisannya hanya didengari oleh Dia di pertengahan malam itu.


Allah… Aku menyesali diriku…

Aku telah menzalimi diriku…

Aku telah mengotori diriku…

Aku telah menghinakan diriku sendiri…

Ampuni aku Ya Rabbi…

Begitulah keluhan dan rintihan sang hamba yang telah dipimpin Allah swt untuk kembali ke jalan lurus-Nya…

Begitulah rintihan sang hamba-Nya apabila nur hidayah telah menyentuh hatinya…

Dia, hamba yang berdosa telah menyesali akan segala dosa yang pernah dilakukan.

Dia, hamba yang berdosa telah menyesali akan kesilapan diri dan kezaliman yang dilakukan terhadap diri 
sendiri.

Mengapa dikatakan zalim pada diri sendiri?

Kerana dia, hamba yang berdosa, telah melakukan dosa-dosa yang akan menyebabkan dia diseksa hina dan 
teruk di dalam neraka kelak.

Dia tahu apa yang dilakukannya adalah berdosa, tetapi tetap dilakukan juga.

Dia tahu maksiat yang dilakukan itu adalah dosa besar, tetapi tetap dilakukan juga. Nafsu telah merajainya. 
Itulah dikatakan dia telah menzalimi dirinya sendiri.

Dia tahu dia telah melakukan bergunung-gunung dosa, tetapi dia tidak kuat untuk berhenti melakukannya kerana tika itu IMANnya tersangat LEMAH dan TENAT. Dia tahu imannya sedang nazak, kerana itu hatinya sering berdoa “ Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melawan semua ini. Bimbinglah aku ke jalan yang lurus semula. Jauhi aku daripada kemungkaran Ya Allah… Perdekatkan aku dengan kebaikan Ya Allah…”

Dia ingin kembali mensucikan dirinya. Dia ingin. Dia ingin meninggalkan semua itu.

Akhirnya, suatu malam Allah swt telah menggerakkan jari jemarinya membuka satu video motivasi. Kata-kata dalam video itu banyak yang ‘terkena’ pada dirinya sendiri. Walaupun dia amat terasa dengan kepedasan kata-kata itu namun diteruskan juga menontonnya sehingga habis.

Tiba-tiba sahaja, dia menjadi gelisah dan keluh kesah di hadapan komputer. Mahu memulakan kerjanya semula, tetapi tidak boleh fokus juga. Akhirnya dia teringat, ada Allah swt meninggalkan pesanan dalam Al-Quran, bahawa hanya dengan mengingati Allah swt hati akan menjadi tenang…

Dengan sepantasnya dia mencapai Al-Quran yang amat jarang dibacanya semenjak tamat belajar. Al-Quran telah ‘dibaluti’ dengan habuk-habuk… Allahurobbi, begitu lama aku tidak menyentuhnya. Maafkan aku Ya Allah.

Dengan lafaz bismillah, dia bermohon “ Ya Allah, pertemukanlah aku dengan ayat itu. Aku amat ingin membacanya kini. Tolong Ya Allah…”

Dia mula membelek-belek kitab suci itu sambil memerhatikan tafsirnya. Dimulakan dengan surah Al-Baqarah, disusuli dengan surah Al-Imran, surah An-Nisaa’, surah Al-Maa-idah…

Lama… Tidak bertemu juga dengan ayat itu.

Dia hampir kecewa. Dibelek-belek lagi.

Tidak juga ditemukan kembali dengan ayat suci itu. Dia makin menyesali akan diri sendiri kerana sudah terlalu lama tidak membaca Al-Quran.

Dia yakin Allah swt Maha Mendengar, lalu bermohon lagi, “ Ya Rabb, aku amat ingin kembali kepada Mu. Aku mahu mensucikan semula diriku yang kotor ini… Pertemukanlah aku dengan bukti Mu itu Ya Rabbi…”

Di ulangi seperti tadi juga dengan lafaz bismillah…

Tangan kanannya terus membuka Al-Quran. Surah Ibrahim yang menjadi pilihannya kini dan dia mula membaca tafsir surah itu. Tiba-tiba sahaja, hatinya teringin mahu membelek surah sebelum surah Ibrahim iaitu surah Ar Ra’d.

Membaca sahaja maksud ayat pertama surah itu, membuatkan dia semakin tekun membaca tafsir surah itu, satu demi satu ayat dibacanya.

Maksud ayat 1 : “ Alif Lam Mim Ra. Ini adalah ayat-ayat Kitab ( Al-Quran ). Dan kitab yang diturunkan kepada Muhammad dari Tuhanmu itu adalah benar, tetapi KEBANYAKAN  MANUSIA TIDAK  beriman kepadanya.

Sehinggalah ayat ke 27 dan 28, amat menyentuh hatinya. Dia mengurut-urut dadanya.

Ayat 27  bermaksud : “ Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberi petunjuk kepada orang yang bertaubat kepada-Nya.”

Ayat 28 bermaksud : “ iaitu orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi TENTERAM dengan MENGINGATI Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”

“Allahurobbi ! Allahuakbar ! Allahuakbar ! Allahuakbar !” Hatinya menjerit kuat memuji kebesaran Allah swt yang telah memakbulkan doanya. Air mata semakin deras mengalir keluar dari kelopak mata sang hamba yang berdosa itu.

“ Allah, aku bersyukur pada-Mu kerana Engkau telah mempimpin aku semula untuk kembali ke jalan lurus. Allah Tuhanku, aku bersyukur pada-Mu kerana Engkau masih sudi memandang aku ini yang pernah berdosa kepada Mu. Hanya Engkau Tuhanku Yang Maha Penyayang dan Maha Mendengar… Izinkan aku untuk kembali mencintai-Mu Ya Ilahi…”
Alhamdulillah…

Kini dia, sang hamba yang berdosa, telah kembali menuju Ilahi.
Kita pula bila lagi?
Anda pula bila lagi?
Mahu menempah tiket SYURGA atau tiket NERAKA? Renung-renungkan.

p/s : Jika kita mahu kembali kepada Allah swt, pasti Dia akan memberi petunjuk kepada kita. Mohonlah pada-Nya.

::  Aku Hamba yang Berdosa  ::
Permata Alwalidaini...