Tuesday 8 May 2012

~ Istimewanya SYAHID di jalan ALLAH swt~





Mati syahid dibahagikan kepada tiga, pertama syahid dunia iaitu individu yang syahid berpandukan hukum dunia tetapi tidak mendapat pahala syuhada di jalan ALLAH disebabkan terdapat unsur ketidakikhlasan dalam berjuang serta mempunyai kepentingan duniawi dalam melakukannya. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan dan tidak dikapankan, sebaliknya disemadikan dengan pakaian dan darah yang masih melekat pada tubuh badan mereka.




Syahid dunia dan akhirat pula bermaksud individu berperang dalam serangan hendap memerangi musuh dan terbunuh untuk menegakkan kalimah ALLAH dengan niat ikhlas. Golongan ini tidak wajib disembahyangkan, tidak dikapankan dan jenazahnya disemadikan dengan pakaian serta darah masih melekat pada tubuh badan mereka.





Manakala yang syahid akhirat pula, mereka mati kerana bencana alam, dibunuh secara zalim, mempertahankan hak, mati kerana sakit pada bahagian perut, wanita mati ketika melahirkan anak, mati lemas, mati ketika menuntut ilmu dan sebagainya. Jenazah mereka diuruskan seperti biasa.





Bagi syahid dunia, si mati sangat bertuah kerana dia berpeluang masuk ke syurga tanpa perlu dihisab dan terlepas daripada seksaan kubur, cuma yang melambatkan proses itu adalah jika dia tidak menyelesaikan hutangnya.





Ganjaran sama menanti orang meninggal akibat syahid dunia dan akhirat walaupun mereka tidak berperang contohnya tentera Israel menembak mati rakyat Palestin, dia terus masuk syurga tanpa sebarang hisab. Dan ia berbeza dengan syahid akhirat. Syahid akhirat akan dihisab dan tidak terlepas seksaan kubur.





Nabi Muhammad SAW bersabda orang mati syahid terdapat enam keistimewaan kepadanya, diampuni dosa sejak mulai pertama darahnya keluar, dapat melihat tempatnya di syurga, terlindung daripada azab kubur, terjamin keamanan daripada malapetaka besar, dapat merasakan kemanisan Iman, dikahwinkan dengan bidadari dan diperkenankan memberi syafaat bagi 70 kerabatnya. (Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)





Firman ALLAH: “Sesungguhnya ALLAH membeli daripada orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan ALLAH (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga demikian ialah) sebagai janji benar, ditetapkan ALLAH dalam Taurat dan Injil serta al-Quran: dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada ALLAH?, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah ayat 111)









No comments:

Post a Comment