Friday 22 September 2017

Bingkisan Untuk Ummi Di Hari Lahirku



"Tarikh lahir aku hari ini, aku tak layak terima ucapan hari lahir. Yang paling layak adalah ummiku.

Tahun ini tarikh lahir menjadi tarikh indah, jatuh pada tahun baru Islam dan hari Jumaat. Alhamdulillah.

Terima kasih ummi, melahirkan saya tanggal 22 September 1993. Terima kasih ummi pada tarikh itu ummi sanggup bertarung nyawa melahirkan saya ke dunia.

Saya tak tahu bagaimana sakit peritnya ummi tika itu. Saya tak tahu. Tapi saya tahu betapa ummi telah merelakan diri tanggung kesakitan itu demi melahirkan anak sulung perempuan ummi, yang diberi nama Umie Balqis. 😢Itulah detik pada tahun 1993 dahulu.

Ummi, sejak aku mulai membesar aku telah melihat segala perit jerih mu dengan pa mencari rezeki untukku dan adik beradik. Kita pernah hidup susah, mengharapkan rezeki dari berniaga saja.

3 tahun dulu, aku pernah lihat betapa kulitmu yang dulu putih menjadi gelap bila berniaga dibawah kanopi di Ampang dahulu. Itulah permulaan hijrah kita sekeluarga demi mengubah kehidupan sekeluarga. Aku yang pulang dari kampus terkejut melihat kulitmu yang telah 'terbakar' dek berpanas dibawah mentari mencari rezeki. 😢


Ummi, sungguh, tak ternilai segala pengorbanan mu. Hari ini genap usiaku 24 tahun ummi. Setiap kali aku melihat sosok tubuhmu dan pa, aku tahu ummi dan pa semakin tua. Kudrat semakin terhakis.

Semalam, lagi membuat hatiku tersentuh sayu bila ummi mahu melangkah tembok di tepi jalan. Tembok tu agak tinggi. Ummi berpegang kuat pada tanganku. Ummi menggagahkan diri hanya pada tangan kecilku untuk memanjat tembok tinggi itu. Aku sangat berasa genggaman kuat tangan ummi. Ummi bersuara,
"Lutut ni tak gagah dah."
Aku semakin terasa sayu. Betapa kudrat dan kesihatan ummi semakin lemah. Itu menandakan ummi semakin tua, aku tahu ummi hilang kegagahan anggota kaki sebab banyak berdiri semasa meniaga.😭

Terima kasih ummi dikau telah berkorban bermula dari untuk lahirkan aku hingga aku dewasa ini. Terima kasih ummi pa untuk segala-galanya!😭  Aku takkan henti berdoa moga Allah swt sentiasa tunjukkan aku jalan terbaik & termudah untuk membalas jasamu.

Ummi, aku tahu dikau sudah beroleh bahagia apabila aku berjaya masuk universiti. Sebab itulah impian terbesarmu terhadap anakmu ini. Itulah harapan yang dulu terpikul dibahuku. Harapan terbesar darimu dan pa dibahuku.😢 Berbekalkan HARAPAN itulah aku jadikan pegangan semasa di alam universiti.

4 tahun lalu aku berjaya tamatkan pengajian diploma, menjadi hadiah pertama kepadamu. Tak lama lagi aku akan sarungkan jubah hitam sempena Majlis Konvokesyen UKM. Selesai susah perjuanganku belajar di peringkat degree. Tak sabarnya aku ummi nak bagi hadiah kedua ini kepadamu dan pa nanti.😍   Moga Allah panjangkan umur kita semua.

Ummi, hari ini hari lahirku, selayaknya yang menerima ucapan adalah dirimu, bukan aku.

Aku tak buat apa-apa tarikh itu tapi itulah tarikh keramat bermulanya pengorbanan seorang ibu! Kerana itu dikaulah selayaknya menerima ucapan indah.

Begitulah yang sebenarnya kan? Selayaknya terima ucapan-ucapan indah sempena hari lahir kita adalah ibu kita, bukan kita.😊❤️
Jutaan terima kasih ummi!

Doakan saya mudah dapat kerja yang lebih menjaminkan masa hadapan seterusnya lebih mudah saya memberi bahagia kepada ayahanda bonda tercinta. Aamiin ya rabb.



Nukilan Jiwa Anak Gadismu,
Umie Balqis


22 September 2017
1 Muharam 1439H

No comments:

Post a Comment