Wednesday 15 May 2013

Mataku menangis~


   Bismillahirahmanirahim... Dengan lafaz suci ini, saya memulakan sedikit perkongsian untuk tatapan mata teman-teman. Saya tahu, belum tinggi ilmu di dada, disebabkan itu kebanyakan post saya di blog ini lebih banyak ke arah perkongsian rasa seorang hamba. Harap sama-sama dapat menghayatinya. Moga Allah swt meredhai usaha kecil saya ini untuk membuka mata kita semua serta muhasabah bersama. Allahumma amin.

   Semalam, saya ada bermimpi sesuatu. Dan mimpi itu segar diingatan saya sepanjang hari. Membuatkan saya berfikir mengapa Allah swt memberikan mimpi itu kepada saya. Mimpinya, saya telah kembali ke tempat tinggal saya dahulu, di Pasir Mas. Saya telah dibawa oleh seorang budak lelaki bernama Khairi ( kawan adik saya ) meninjau kawasan itu setelah sekian lama tidak menjejakinya. Setiba di sebuah rumah jiran lama, Khairi memperkenalkan saya kepada seorang kanak-kanak kecil. Wajahnya jelas menggambarkan kesedihan yang sedang ditanggungnya. Tapi yang tidak disangka, dalam mimpi itu rumah jiran telah menjadi rumah kebajikan anak-anak yatim. Kanak-kanak kecil itu salah seorang penghuninya.

   Apabila saya menatap wajah si kecil itu, saya merasai airmata mulai bertakung di kolam mata. Tanpa diduga, terus terdetik di hati saya " inilah rumah kebajikan yang akan aku infakkan sebahagian rezeki yang Allah swt kurniakan kepadaku nanti."


   Selepas itu, saya terus terjaga dari tidur. saya masih terkejut dan tertanya-tanya akan hikmah mimpi itu. Mengenangkan kembali wajah kanak-kanak kecil itu... Allahurobbi... Membuat jiwa ini sayu...
Moga-moga Allah swt benar-benar akan mengizinkan dan memilih saya untuk melaksanakan amalan kebajikan itu suatu masa nanti. Allahumma amin. Moga teman-teman yang membaca post ini juga dipilih oleh Allah swt untuk menabur bakti kepada anak-anak yatim sebagai bekalan menuju kehidupan abadi. Allahumma amin.

   Hmm, apabila menyebut berkaitan anak-anak yatim, membuatkan saya teringat akan watak Nur Humaira, di dalam novel tulisan saya, " Pelangi Cinta Ilahi ". Dalam novel tersebut, Humaira amat menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim. Setiap hujung minggu, dua perkara sahaja yang akan diisi oleh Humaira, samada menghadiri taman-taman syurga (majlis ilmu ) atau menziarahi dan meluangkan masa bersama anak-anak yatim di Teratak Nur Insan ( rumah kebajikan ini benar-benar wujud di Malaysia, berada di Setapak, saya berhajat mahu ke sana suatu masa nanti , insyaAllah ). Disebabkan terlalu mencintai anak-anak yatim ini, Humaira pernah memasang hajat tidak mahu pulang ke kampung halaman semasa cuti semester. Namun, atas desakan Ustazah Hazila, dia pulang juga kerana keluarganya juga harus ditaburkan rasa kasih sayang. Itulah serba sedikit berkaitan Nur Humaira, watak utama dalam novel sulung saya, tetapi novel ini masih belum menerima keputusan daripada Galeri Ilmu, samada diterima atau tidak untuk diterbitkan. Mohon teman-teman mendoakan juga.


   " Ya Rabb, Seandainya pada pandangan Mu, novel ini amat baik untuk ditatap dan disantap oleh jiwa-jiwa sang hamba , maka ku bermohon pada-Mu, permudahkan sentiasa urusan penerbitan novel ini, kerana hanya Engkaulah Maha Mengetahui segala perkara. Allahumma amin."

   Baiklah, berbalik kepada perkongsian kedua pula bagi tajuk Mataku Menangis...

   Tadi, saya telah membuka laman sosial Facebook. Saya membuka wall seorang kawan lelaki ( A ) zaman sekolah. Niat saya hanya satu, ingin mengetahui perkembangan ibunya yang sedang sakit. Kot dia ada update status terbaru. Saya mahu mengikuti perkembangan ibunya juga kerana ibunya dahulu amat rapat dengan ummi saya. Jadi mestilah terasa mahu mengetahui berita terbaru mak cik itu.

   Lain yang diharapkan, lain yang ditemukan. Itulah yang terjadi tadi. Dua perkara yang menyedihkan.

   Pertama, sedang saya membaca statusnya, saya telah terpandang Facebook kawan perempuan saya ( B )
disebelah kiri wall A. B merupakan kawan baik saya zaman sekolah juga. Saya sangat terkejut kerana dia meletakkan gambarnya dengan kekasih hatinyaa sebagai profile picture.
Allahurobbi... masakan saya tidak terkejut, kerana dia telah jauh berubah. Masih segar diingatan saya, dahulunya dia tidak pernah atau jarang sekali mempunyai kawan lelaki berbanding dengan saya. dahulu saya mengaguminya kerana dia tidak sosial. Tetapi, apa yang menjadi tatapan mata saya hari ini, sesuatu yang amat menyedihkan diri ini. Amat. Tempoh hari, pernah juga saya melihat dia memasukkan gambar bahagianya dengan buah hati, lalu saya teringin bertanya kepadanya, apakah dia sudah menikah?
saya memberanikan diri bertanya, dan jawapannya " belum".

   Allahurobbi...

   "Awak ( B )... Seandainya awak terbaca atau membaca post saya ini, saya ingin memohon jutaan kemaafan kepada awak... Tidak berniat buruk untuk menulis semua ini, tetapi ia sebagai peringatan bersama.
sejujurnya... meskipun sudah bertahun kita terputus hubungan, namun jauh disudut hati ini, saya masih sangat  menyayangi awak, tatkala saya mengetahui awak belum menikah, tetapi sudah bahagia dengan si dia yang belum halal, jiwa ini terus merasa begitu sayu dan sedih sekali... Sering saya memikirkan cara terbaik untuk saya menegur awak, kembali kepada diri awak yang dulunya, tetapi hati ini sering juga merasa bimbang, awak akan makin menjauh dari saya... kerana cukuplah saya merasa teramat jauh dengan awak, lantaran kita pernah terputus hubungan dahulu...
meskipun begitu, saya pasti akan menasihati awak dan memimpin awak bersama saya ke jalan indah dalam ajaran Islam, bukan jalan kegelapan yang sedang awak lalui kini... InsyaAllah.
saya sayangkan awak... jadi saya harap, bila tiba saatnya nanti, awak sudi menyambut tangan saya dan berlapang dada menerima perlawaan saya menuju jalan indah itu... allahumma amin.

   "Awak ( A )... bicara ini untuk awak. Seandainya Allah swt mentakdirkan hati awak tergerak untuk membuka post ini, moga-moga awak memahami bicara ini. Dahulu, di alam persekolahan, saya pernah mengagumi diri awak, kerana awak sentiasa menjadi pelajar cemerlang, pelajar yang baik akhlaknya, songkok setia di kepala dan baik budinya. Pendek kata, pasti mak cik pak cik terasa sejuk memandang awak. Namun, Hari ini...
mengapa rasa gembira  tiada lagi dalam jiwa tatkala melihat diri awak ...
kerana... awak bukan diri awak yang dulunya. awak bukan awak yang saya kenali 7 tahun lalu.
awak sudah mula berjinak dengan cinta. awak sudah terbuai dunia remaja biasa~ itulah awak hari ini.

   Untuk awak berdua dan teman-teman...
   Ini hanyalah luahan seorang sahabat masih berusaha untuk berubah... saya teramat sedih melihat diri terbaru kalian... Masakan diri ini tidak diselubungi rasa sedih yang hebat , kerana kalian dahulunya lebih baik daripada saya. tetapi kemanakah kalian melontarkan diri terbaik kalian itu? dimana duhai teman.....?

   " Andai bisa ku berdepan padamu saat ini, ingin diriku memohon dikau menjawabnya... Dimana dirimu yang dulu?
 Selagi hayatku dikandung badan, akan ku usaha mencari identiti terbaik mu yang dahulu. Andai Allah swt mentakdirkan, tak bisa ku temuinya semula, ku mengharapkan DIA mentakdirkan ku bisa memimpin dirimu semua ke bahtera baru yang dihiasi redha-Nya~ allahumma amin.

   Sejujurnya, bukanlah saya mencemburui kalian. tetapi hakikatnya saya menyayangi kalian kerana Allah swt makanya saya mahu kalian kembali ke pangkal jalan. Saya kasihankan kalian... Allah swt telah memimpin saya menuju jalan indah-Nya, jadi pastilah saya tidak mahu menikmati keindahan itu sendirian saja, pastilah saya mahu kalian turut merasainya, kerna itu terciptanya blog dan post ini... Moga-moga ada jiwa-jiwa yang disentuh oleh Allah swt melalui wasilah perkongsian-perkongsian di sini. Allahumma amin.

    Impian saya mahu menjadi sahabat syurga seperti yang sering digambarkan dalam karya Hilal Asyraf, disebabkan itu saya mahu menyeru teman-teman, ayuhlah kembali ke jalan yang diredhai Ilahi.
Marilah kita pulihkan dan 'mandikan' diri kita yang 'hitam' dan busuk hari ini dengan 'cream shower' dan 'perfume-perfume' yang telah disediakan oleh Allah swt. Wangikan diri kita seharum-harumnya, sehinggakan penghuni syurga turut mencemburui kita.

  Jom kita melihat bicara indah daripada Pencipta kita, Allah swt...

   "  Maka barangsiapa bertaubat setelah melakukan kejahatan dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." Surah Al-Maidah, ayat 39.

Marilah teman-teman... Apa lagi yang ditunggu...


Ingatlah ajal maut dan hari pembalasan tidak akan menghantar notification-nya andai ia mahu menghampiri kita~

   Hmm, selepas saya merasai dua kesedihan itu, secara tiba-tiba saya mendapat ilham dari-Nya.Tercipta satu ayat " Andai Allah swt mahu mengambil semula nikmat yang pernah diberikan kepada kita, sekelip mata saja ia bisa hilang dari kita"~
Allahurobbi...

   Justeru, buat teman-teman yang sedang menikmati kemanisan IMAN dan ISLAM saat ini, hargai dan jagailah kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Genggamlah ia seerat mungkin. Kerana andai ia hilang dan melayang, pasti sukarlah untuk kembali mendapatkannya, melainkan kita berusaha sehabis daya iaitu dengan mujahadah meninggalkan dunia leka kita~ Ya, Mujahadah,  itulah alternatifnya~

   Renung-renungkan... Peringatan buat diri saya sendiri terutamanya kerana saya sendiri masih berusaha memperbaiki diri. doakan saya~

   Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah...

   Moga keampunan Allah swt Yang Maha Pengampun sentiasa mengiringi perjalanan harian kita. Allahumma amin.


   Akhir kata, saya memohon kemaafan andai banyak sekali kesilapan dan kekhilafan diri saya selama berkongsi kisah-kisah ibrah di blog ini. moga-moga perkara baik itu, bisa menjadi bekalan akhirat saya. Yang buruk, minta kalian jauhi dan hindari. allahumma amin. Namun hakikatnya segala yang baik dan buruk itu datang dari-Nya, saya hanya sebagai wasilah untuk menyampaikan kebaikan dan mengajak kalian untuk meninggalkan keburukan.

~ Mataku menangis kerna mu sahabat ~
    :: Salam Sebarkan Sinar Ilahi ::


: Nukilan : Permata Alwalidaini :

No comments:

Post a Comment