Thursday 8 January 2015

"Kenapa Awak Lambat?"



Bismillahirrahmanirrahim...

Cerpen Pendek.


~ ~ ~ ~ ~


Aku sudah penat ! Sangat penat dengan cinta dunia ! Kini, aku mulai sedar, selama ini aku terlalu asyik dengan godaan cinta dunia hingga aku buta akan cinta DIA.

Aku, pernah disakiti dan dikecewakan oleh seorang yang pernah aku kasihi setelah aku mulai berubah. Dia, insan pertama aku kasihi dan mengharapkan dialah bakal pemimpin keluargaku kelak. Namun, siapa menduga, aku dilukai olehnya. Sungguh, aku dan keluarga sangat tidak menyangka.

Tidak mengapalah. Pasti dia punya sebabnya tersendiri sehingga memilih keputusan ini. Hatiku yang telah dirobek sehabis dalam lukanya, akhirnya terubat dengan kata-kata ayah.

" Silap kita juga, terlalu mengharap. Sedangkan kita tidak tahu siapa jodoh kita. Tak apalah, bagi dia ruang masa untuk berfikir akan keputusannya ini."

Mendengarkan sahaja butir nasihat ayah, aku terus tersentak! Iya, mungkin silapku juga! Mengharapkan si dia yang soleh itu suamiku kelak... Iya! Kedua keluarga telah bertemu mata, namun jodoh tiada jua. Itulah takdir-Nya. Hatta mereka yang bernikah bisa bercerai, apatah lagi hubunganku dan dia, yang masih baru terjalin.

Tidak mengapa, pasti ini yang terbaik buatku, dia dan DIA. :)

" Ya Allah, pimpinlah aku untuk lebih mencintai-Mu."


~ ~ ~ ~ ~


Perpisahan itu tidak semudah memadam kesalahan pada kertas putih, untuk melupakan dan mengubati kelukaannya. Hampir sebulan lebih hilang selera makanku, nasib baiklah waktu itu aku sudah tamat pengajiaan. Maka hari-hariku banyak dihabiskan di rumah sahaja.

Hujung bulan Oktober, sahabat-sahabat seperjuangan mengajak aku mengikuti majlis makan malam di rumah salah seorang sahabatku. Katanya, tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah swt kurniakan kepadanya sekeluarga. Aku, hanya mengiyakan ajakan itu kerana aku juga merindukan mereka!

Mereka, yang banyak memimpin diriku sepanjang aku menjalani proses penghijrahan di kampus itu. Merekalah yang mula membantu aku dan memberikan semangat padaku untuk istiqamah dalam bertudung labuh dan berpakaian menutup aurat. Mereka jua yang sering menuntun tangan ini ke taman-taman syurga setiap hujung minggu. Disebabkan itu, kadang kala aku tidak sanggup menolak ajakan dan permintaan mereka kerana mereka terlalu aku sayangi, insyaAllah hingga syurga-Nya. aamiin.

Aku berdiri di hadapan cermin besar itu. Aku tatap wajahku dan jasadku yang ditutupi tudung labuh warna peach dan jubah abaya hitam. aku tenung diriku sedalam-dalamnya.

" Ya Allah, terima kasih duhai Allah kerana akhirnya tiga tahun sudah aku telah memakai pakaian indah ini. Aku akhirnya berjaya istiqamah. Allah, rahmatilah mereka yang banyak membantu diriku yang lemah dan jahil ini... Rahmatilah mereka di dunia dan akhirat sana. aamiin."

Tepat jam 9 malam, aku tiba di rumah Munirah bersama beberapa orang lagi sahabatku. Dari luar rumah, kedengaran alunan merdu Qasidah. MasyaAllah,betapa aku merindui alunan Qasidah kerana sudah lama tidak mendengarnya sejak tamat pengajian di kampus.

" Fatin, bestnya dengar qasidah tu. Rindunya..." Luahku kepada Fatin, dialah 'pemandu' aku dan rakan-rakan seperjuangan.

" Kan, samalah dengan saya. Terasa rindu juga. Teringat kenangan kita bersama meredah perjalanan yang panjang semata-mata untuk menghadiri majlis qasidah di Kedah."

Aku mengangguk sambil mengimbau kembali kenangan itu. Iya, kami sama-sama mencintai alunan qasidah, bermula detik itulah aku mula mempelajari mencintai baginda Rasulullah saw dan mula mencontohi satu persatu akhlak serta sunnah baginda. " Korang, nak tahu tak kenapa saya terlalu menyayangi kalian?"

" Kenapa?" Tanya Sumayyah sambil menoleh ke arahku.

" Kerana kalian telah memimpin saya ke jalan untuk menempah tiket Syurga. Kalianlah yang menunjuki jalannya. Seandainya Allah tidak mempertemukan saya dan kalian, pasti saya kini sedang menempah tiket neraka." Luah aku tulus dari sekeping hati yang sangat menyayangi mereka. Aku memandang setiap wajah yang ada di sisiku.

" Allahuakbar, Allahurabbi... Humaira, kenapa cakap macam tu? Bersyukur ya kepada-Nya yang memilih awak ke jalan ini." Sumayyah terus hentikan langkahnya, hingga aku, Fatin dan Sufiya terhenti sama. Sumayyah memeluk bahuku, erat.

" Humaira, kami juga sayangkan awak tau. InsyaAllah, kita sama-sama doa ya semoga ukhuwah yang terbina ini menjadi asbab Allah swt memasukkan kita ke Syurga Firdausi. allahumma aamiin." Sambung Sufiya, gadis paling solehah dalam persahabatan kami.

Aku tersenyum lebar dan menatap wajah Sufiya. Sungguh, aku suka memandang wajahnya. Kadang aku cemburu dengannya kerana dilahirkan dalam keluarga tarbiah, maka tidak mustahillah jika ilmu pengetahuan Sufiya dalam bab agama lebih tinggi berbanding sahabat-sahabat lain.

" Terima kasih tau sudi bersahabat dengan saya." Ucapku dan mereka bertiga menggenggam erat tanganku. Alirkan kasih sayang dalam ukhuwah, mungkin. :)

'Alhamdulillah Ya Rabbi...' Hamdalah dilafaz di dasar hati.

" Assalamualaikum, kenapa berdiri di luar ni? Jemput masuk." Terdengar suara Munirah memanggil kami dari pintu masuk banglo tarbiah milik keluarganya. Iya, banglo tarbiah bagiku kerana disini juga banyak aku mendalami ilmu agama dan mendapat tarbiah daripada ummi Munirah.


~ ~ ~ ~ ~


Malam itu aku telah menemui Sufiya kerana aku merasakan ada sesuatu yang telah mengganggu hati dan diriku sejak beberapa hari ini. Aku cuba mengharungi hari-hariku dengan cuba tidak mengendahkan 'gangguan' itu, tetapi kali ini aku merasakan tidak mampu lagi. Aku perlukan nasihat seseorang. Maka Sufiya dihubungi.

Dalam surau itu, aku mendekati Sufiya yang sedang melipat sejadah.

" Eh Humaira, meh duduk sini."Dia memperlawa aku duduk berhadapan dengannya.

Aku duduk, benar-benar di hadapannya. Aku hanya memerhatikan gerak geri dan wajah sucinya. Aku menunggu dia selesai melipat sejadah.' Ya Allah, moga aku akan bersamanya lagi di Syurga.'

'' Alhamdulillah, dah siap kemaskan sejadah-sejadah di surau ni." Lafaznya sebelum menoleh ke arahku.

Tanpa diminta, air mataku telah bertakung sedari awal aku duduk di hadapan Sufiya. Hanya tunggu saat untuk mengalirkannya sahaja.

" Humaira nak jumpa saya, kenapa..." Ayatnya terputus disitu apabila dia memandang wajahku. Barangkali dia baru menyedari takungan air mataku.

" Eh, Humaira... kenapa ni?!" Dia terus merapatkan dirinya dengan diriku. Tangannya mula memeluk bahuku. Terus mengalir laju air mata ini, tumpah jua akhirnya. Sufiya yang makin terkejut dengan tangisanku, terus menarik aku dalam pelukannya. Di bahunya, aku menangis sepuas-puasnya. Aku melepaskan kesemua.

Tidak lama kemudian, pelukan dileraikan dan aku mula menyeka airmata yang masih mengalir. Senyuman aku ukirkan untuk menghilangkan kerisauan Sufiya.

" Humaira, kenapa ni sahabat solehahku? Cuba ceritakan apa yang terjadi."

Sekali lagi aku tersenyum. " Tiada apa-apa."

" Ish, awak suka macam tu kan. Nangis, senyum kemudian kata takda apa-apa. Selalu je awak macamtu. Humaira, kita dah bertahun-tahun kenal, saya tak rasa takda apa-apa kalau awak menangis teresak-esak macam ni. Cubalah cerita, paling tidak dapat ringankan bebanan awak daripada menanggungnya sendirian."

" Sufiya, awak tahu kan kisah saya dan impian saya mahukan syurga-Nya. Disebabkan itu, saya mula aktif dengan kerja-kerja kebajikan dan Islam. Namun... dalam tidak saya sedari, saya telah menyukai seorang hamba Allah swt. Sufiya, saya tak nak perasaan ini buat masa sekarang. Sungguh,saya tak mahu. Apabila hadir perasaan ini, saya pernah memohon pada Allah, agar dihapuskan perasaan ini sekiranya ia tidak baik untuk dunia akhirat saya. Saya khuatir ia merosakkan tujuan kehidupan saya..."

" Allahuakbar. Allahuakbar. Allahuakbar. Sahabat solehahku, saya sangat tersentuh mendegar luahan awak. Allahurabbi, besarnya ujian awak tetapi Humaira yakinlah Allah swt pasti bukan sengaja menitipkan rasa fitrah ini kepada awak. Boleh jadi ia satu ujian dan tidak mustahil juga ia adalah jodoh awak. Siapa tahu, kan?"

" Tapi Sufiya, buat masa sekarang saya tak mahu perasaan sebegini... Tak mahu, Sufiya... Saya tak mahu duakan cinta Allah swt." Mengalir lagi air mataku. Aku, benar-benar mahu menghapuskan perasaan ini! 'Tolonglah Ya Allah.'

" MasyaAllah. Sufiya, awak benar-benar sahabat solehah. Terlalu ingin mengejar cinta Allah swt hinggakan tak mahu sekali awak menduakan cinta-Nya. Allah. Humaira sayang, perasaan suka itu fitrah dalam diri semua hamba Allah swt. Tidak salah awak menyukainya tetapi kena bijak mengawal perasaan itu. Humaira, saya tahu awak sedang bermujahadah, mungkin ini ujian dari-Nya untuk melihat bagaimana awak menguruskannya. Apakah awak membiarkan perasaan itu merajai diri atau awak mengurusnya dengan keimanan.

Saya tahu, lantaran cinta awak terhadap perjuangan sedang membuak, awak merisaukan fitrah ini akn merosakkan kecintaan itu, kan? MasyaAllah. Jika orang yang awak sukai itu, baik agama dan akhlaknya, maka tak salah mendoakan Allah swt tunjukkan jalan sekiranya benar dia jodoh awak. Doa dan solat Istikharah sentiasa ya. Jika dia jodoh awak dan turut cintakan perjuangan, dia pasti akan menambahkan lagi kecintaan awak terhadap jalan perjuangan ini."

" Tapi, saya mahu syahid dan mahukan hanya cinta pemuda syurga..."

" Allahurabbi... Mulianya hati awak, Humaira. Tidak terkata saya betapa awak sangat dambakan syahid. InsyaAllah, Dia Maha Mengetahui segala isi hati hamba-Nya. Doa selalu dan kuatkan diri dalam mujahadah ini. Mungkin Allah swt mahu berikan syahid kepada awak melalui ujian-ujian sebegini Jangan pernah berhenti berdoa. Insan solehah seperti awak selayaknya mendapat cinta suci seperti pemuda syurga."

" Saya juga harapkan begitu. Saya rela hadapi ujian-ujian berat jika dengannya akan saya mendapat syahid dan syurga. aamiin3. Awak doakan saya kuat ya."

Sufiya tersenyum kemudian sekali lagi dipeluk diriku. Aku tahu,dia mahu mengecas kekuatan dalam diriku sebagai sahabat.


~ ~ ~ ~ ~


" Okay, kita buat perjumpaan ni sebab nak kesemua ahli jawatankuasa brainstorm malam ini bagaimana cara untuk mencari dana bagi program kita. Harap kesemua ahli jawatankuasa boleh memberi kerjasama, tambahan pula kita kekurangan dana sekarang ini. Surat-surat memohon sumbangan dari syarikat-syarikat telah pun dihantar, tapi akan mengambil masa yang lama juga untuk mendapat jawapan dari mereka. Kemungkinan juga akan ada syarikat yang tidak akan memberi maklum balas kepada kita dan tidak dapat memberi sumbangan. Disebabkan itulah kita kena usahakan juga cara lain untuk mencari dana." Pengerusi Program Lambaian Kaabah ( Praktikal Haji ), Amir, memberikan penerangan sejurus mesyuarat itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah.

" Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya mempersilakan mana-mana ahli yang mahu memberikan cadangan terlebih dahulu." Sambungnya.

Untuk seketika, semua saling berpandangan dan tidak kurang juga ada di kalangan ahli sedang berbincang sesama mereka serta tunduk menatap meja mengerah idea, keluarlah wahai idea! Hehe.

Insan pertama mula bersuara melontarkan cadangannya. " Saya mahu memberi cadangan, apa kata kalau kita buat jualan makanan ringan di kolej kita, setiap malam hujung minggu. Sebagai contoh, mungkin kita boleh menjual nugget, sosej, roti sosej dan sebagainya lagi. " Kata Hafizi sebagai ketua unit protokol dalam organisasi program tersebut.

" Saya pula mahu mencadangkan kita membuat jualan amal. Sebagaimana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan pernah buat sebelum ini, mereka mengumpul bahan-bahan terpakai kemudian menjualnya."
Farhatul pula kongsikan idea bernasnya selaku ketua unit kebajikan.

Mesyuarat pada malam itu berlangsung sehingga jam 11.30 malam. Sungguh rancak dan aktif perbincangan kerana kesemua ahli telah memberikan kerjasama yang baik dan melontarkan idea masing-masing. Hasil dari persetujuan semua, beberapa cadangan telah diterima untuk dilaksanakan.

Tamat sahaja mesyuarat itu aku terus pulang ke bilik bersama Sufiya. Terus terpancul di ingatanku bahawa aku masih mempunyai amanah lain harus disiapkan segera, iaitu membuat laporan Program Amal Prihatin Anak-anak Yatim yang disertai olehku pada minggu lepas. Aku perlu menyiapkannya kerana hujung minggu nanti akan diadakan pembentangan di hadapan ketua Baitul Raudhah, yakni penaja program tersebut.

" Humaira, nanti rehat terus tau. Saya tengok wajah awak nampak macam kepenatan je."

" Eh, tak boleh. Saya masih ada amanah kena siapkan sekejap lagi. Ingat nak selesaikan dulu kerja tu, baru saya mahu istirehat." Balasku bersama senyuman kecil.

" Hm, rehatlah dulu. Saya perhatikan awak sedari siang tadi, tak henti buat kerja. Asyik ke hulu ke hilir, mengalahkan YB tau."

Aku tersengih. Iya, betul kata Sufiya. Hari ini aku sangat sibuk kerana aku dilantik menjadi ahli jawatankuasa bagi dua program dalam satu masa. Berakhir sahaja kelas Metodologi Dakwah pukul 3 petang tadi, aku terus bergegas untuk bertemu Ustaz Hanafi atas urusan program. Kemudian aku ke pejabat fakulti untuk selesaikan urusan peribadi dan selepas Asar aku ada latihan pembentangan bagi Foundation English.

" Takpa, dah settle semua nanti saya terus tidur ya. Awak jangan risau, saya okay ja. Awak pun tahu saya sedang belajar menyibukkan diri saya dengan kerja-kerja Islam. Saya tak mahu cinta dunia 'mencuri' masa saya. Biarlah cinta yang bertapak di hati ini, hanya Dia mengetahuinya. Saya rela menahannya, andai saya meninggal, mudahan syahid milik saya. Sekarang ni saya mahu taburkan cinta saya pada sekalian saudara seIslam. Selagi saya bertenaga, saya akan lakukannya. Saya risau, sekiranya saya tak sempat menabur bakti kepada umat Nabi Muhammad saw."

" Allahu, Humaira... Malu saya dengan awak. Sejak akhir-akhir ini saya dapat merasakan momentum semangat awak cintakan perjuangan semakin meninggi. Segan saya dengan awak. Sungguh!"

Aku tersenyum sahaja. Sebenarnya ada sesuatu yang telah membuatkan semangat itu makin tercetus dalam diriku. Tidak siapa mengetahuinya kecuali aku, DIA dan diariku.


bersambung ... InsyaAllah.


p/s ; ingat nak tamatkan terus cerpen ni, tapi macam terlalu panjang pula jika dipost dalam satu post ni. insyaAllah, sambungan akan di post dalam masa terdekat ini. :)

Jika mahu mengetahui apa maksud disebalik tajuk " Kenapa Awak Lambat?", maka nantikan sambungannya. Akan terungkai di akhir cerpen. InsyaAllah. ;)







sekian, assalamualaikum...


Salam Sebarkan Sinar Ilahi.




Ukm Bangi
090115
1043 pm



No comments:

Post a Comment