Thursday 21 May 2015

Mesir dan Dr.Morsi


Bismillahirrahmanirrahim...

Perkongsian kali ini, saya mahu kongsikan penulisan daripada seorang sahabat perjuangan di kampus ini. Semoga kita semua, sebagai Muslim, teruskan berdoa kepada saudara-saudara Muslim kita yang ditimpa ujian. Samada di Mesir, Rohingya dan selainnya lagi.

Bukankah doa itu senjata mukmin?

Maka, janganlah kita berhenti berdoa. Ini ujian juga buat kita, samada kita menjadi manusia yang PEDULI atau manusia yang sengaja membutakan mata dan mentulikan telinga sendiri.



MESIR DAN DR. MURSI



Di zaman Saidina Umar, Mesir dibuka oleh Amru al-As dan seterusnya menjadi tapak kepada beberapa kerajaan Islam dan menjadi kiblat ilmu kepada umat Islam dengan tegas berdirinya pusat agung keilmuan, Universiti al-Azhar. Bumi yang turut menjadi saksi kesombongan Firaun yang berhadapan dengan Nabi Musa AS, begitu juga Nabi Yusof yang terpenjara akibat fitnah dan akhirnya menjadi Menteri Kewangan Mesir. Dr. Mursi hadir memecah kebuntuan politik Mesir, bahawa dengan kemenangan beliau itu, bermakna dunia akan ralit berbicara tentang Ikhwanul Muslimin yang membidani tokoh hebat yang menghafal 30 juzuk Al-Quran ini.

Lebih 40 tahun Mesir menyaksikan Presiden berasal dari wilayah Menufiyah iaitu Anwar Sadat dan Hosni Mubarak. Sebelum penubuhan republik, Mesir diperintah oleh Jeneral Muhammad Najib sebelum berpindah ke tangan Jamal Abdul Nasir yang berasal dari wilayah Asyut. Dr. Mursi merupakan Presiden Republik Arab Mesir ke-5 dan beliau adalah Presiden dari kalangan orang awam yang dipilih melalui pilihan raya.

Dan kini kita melihatkan kegembiraan pasca awal pemerintahan Dr. Mursi terus dilanda dengan pelbagai mehnah yang mungkin sesetengah manusia akan mudah menarik diri keluar daripada jalan perjuangan ini. 23 Jun dahulunya, merupakan detik pemula penggulingan Dr. Mursi daripada takhta kerajaan yang secara demokrasi telah dipilih oleh rakyat. Arahan meletakkan jawatan oleh Menteri Pertahanan, Abdel Fattah al-Sisi yang turut disokong oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Hesham Kandil, langsung tidak menggugat kewibawaan individu berjiwa al-Quran ini.

16 Mei, hari yang bakal menjadi ingatan dalam proses kehakiman Mesir dan sejarah dunia, apabila pemerintahan taghut ini menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas presiden, Mohammed Mursi atas kesalahan melakukan rusuhan di penjara pada 2011 bagi menentang presiden, Hosni Mubarak. Dan antara kata-kata akhirnya di mahkamah, “ Ini sudah cukup untuk kita. Allahlah yang mencukupkan (pertolonganNya) untuk kita. Allah sangat suka apabila melihat kepada hambaNya, mereka ketika itu sedang menyeru kepada agama Allah, beramal dengan sunnah, (Nabi)Nya, berpegang teguh dengan agama dan taliNya. Firman Allah: ( dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah semuanya dan janganlah memisahkan diri (dari tali Allah)...”

Sebagai tanda kebersamaan dan kepercayaan yang tinggi pada pejuang-pejuang Agama Allah ini yang semestinya nasib mereka bakal terbela pada penghakiman Yang Maha Esa, saya mewakili Saff Kepimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 2015/2016, menyeru seluruh anak muda,mahasiswa dan seluruh masyarakat di Malaysia, agar kita sama-sama bermunajat, berdoa dan solat hajat supaya golongan yang dizalimi ini sentiasa ditunjukkan jalan kebenaran dan akhirnya Allah menunjukkan kuasa kebenaran yang sebenar-benarnya di muka bumiNya ini. Takbir!.




Muhammad Shabil Muhafiz bin Harun
Salihah binti Zainal Abidin

Exco Hubungan Luar dan Pengantarabangsaan 
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 2015/2016
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment