Tuesday 5 May 2015

Mari Mencintainya !


Bismillahirrahmanirrahim...


Sayanginya,
Patuhi mereka.
Santuni mereka.
Bahagiakan mereka.
Ibu ayah kita.

Dengan penuh kasih sayang saya menuliskan ini. Sebagai peringatan kita bersama.
Saya tahu sepanjang kita menjalani kehidupan ini, pasti ada keinginan kita dibantah oleh kedua ibu bapa. Tambahan pula, apabila kita di usia remaja menjengah dewasa.
Pasti ketika itu kita akan mengatakan ibu ayah tidak memahami kita. Ibu ayah tidak mahu melihat kita bahagia. Ibu ayah mahu mengongkong kehidupan kita. Ibu ayah itu ini dan pelbagai lagi.

Duhai sahabat,
Andailah dapat kita selami dan memasuki ke dalam hati ibu ayah, pasti kita tidak akan berkata sedemikian.
Andailah dapat kita berada dalam 'kotak fikiran' mereka, pastilah kita sangat mensyukuri atas keputusan mereka.

Mengapa saya berkata sedemikian duhai teman?

Ini kerana, ibu ayah membuat sesuatu kepada kita penuh dengan kasih sayang dan ketelitian.

Cuba ulang baca. Penuh kasih sayang !

Tiada ibu ayah yang mahu melihat anak-anaknya berduka dan kecewa. Pasti dalam hati mereka mengharapkan kita beroleh kebaikan sentiasa. Di dunia juga akhirat sana.

Ingin saya kongsikan. Saya pernah bermimpi saya memiliki seorang anak. Dalam mimpi itu saya dapat merasakan aliran kasihnya seorang ibu apabila melihat anaknya menangis. Dalam mimpi itu juga, saya tidak mahu melepaskan anak saya walau apapun yang terjadi. Saya mahu usaha agar ia tidak berterusan menangis.
Terjaga dari tidur, saya terfikir Ya Allah, begitukah perasaan sang ibu kepada anak-anaknya? Allahurabbi... Sungguh, dapat rasai betapa setiap wanita bergelar ibu AMAT menyayangi anak-anaknya.

Percayalah teman, mereka hanya mahukan yang terbaik buat kita. Mereka mahu melihat kita tersenyum selamanya.

Sedikit pesanan,  selagi mereka masih ada di depan mata kita, tolonglah hargai ibu ayah kita sebaik-baiknya.
Apabila pulang ke rumah, cubalah luangkan masa sebaiknya bersama mereka. Kurangkan berdamping dengan Whatsapp atau gadjet. Banyakkan menabur kasih sayang kepada mereka. Peringatan buat saya sendiri terutamanya.

Sematkan dalam hati dan ingatan kita, esok, minggu depan atau bulan depan belum tentu aku dapat bersama mereka lagi.

Setiap kali sudah mempunyai perancangan mahu pulang ke kampung halaman, dan seandainya hadir kerja saat-saat akhir, cubalah usahakan pulang juga. Sekiranya kerja itu tidak mustahak. Cubalah didik diri kita agar tidak menangguhkan kepulangan ke kampung. Cubalah didik diri kita menjaga hati orang tua bermula di alam kampus. Dengan harapan, di alam pekerjaan kelak kita tidak bersikap sedemikian. Cubalah bahagiakan mereka dan tunaikan janji pada mereka.

Pernah saya sendiri diuji sedemikian. Terdapat dua program di saat akhir. Saya sudah khabarkan kepada ummi pa mahu pulang hari Jumaat. Program pertama Jumaat malam dan program kedua hari Sabtu dan Ahad. Maka solusinya, pagi Jumaat itu saya bergegas pulang ke rumah. Petangnya saya kembali semula ke kampus. Pada waktu itu, walaupun sekejap cuma, saya berpuas hati. Sesungguhnya saya sendiri sedang mendidik diri ke arah itu. Sama-sama kita cuba menjaga hati orang tua kita sebaik-baiknya ya. :)


Merekalah satu-satunya insan paling berharga di dunia ini dalam kehidupan kita. Mereka insan pertama. Bukan isteri, suami, anak, tunang atau sahabat. Merekalah segalanya. Sebagaimana mereka menganggap kita ini (para anaknya) sebagai jantung hati dan nyawa kebahagiaan mereka, maka moga kita menganggap mereka sedemikian juga. Aamiin.

P/s : Kadang kala memang terasa berat mahu melepaskan sesuatu yang baik dimata kita, namun dimata mereka pasti lebih baik berbanding itu. Moga Allah swt kurniakan yang lebih baik selepas ini seiring redha ibu bapa dan Dia. Aamiin.


Selamat menghargai dan mencintai ayahanda bonda sepenuh jiwa ! :)
Mari, bersama kita mencintai mereka ! :)



Tarikh menulis ini >

040515
Gombak
0030 am

No comments:

Post a Comment