Wednesday 22 April 2015

Maafkanlah.



Bismillahirrahmanirrahim...


Tamat sahaja kelas petang itu, Humaira terus melangkah keluar dari kelas. Dia harus segera pulang kerana belum menunaikan solat Asar. Sedang dia berjalan di kawasan fakulti, dari kejauhan dia ternampak keayuan seorang gadis, bertudung labuh dan berjubah. Tertutup sempurna, indah, bertambah seri wajah dengan sebaris senyuman. Gadis itu sedang duduk bersama seseorang.

Semakin langkah dihayun, Humaira semakin dekat dengan gadis itu. Senyuman disedekahkan kepada gadis itu ketika mereka saling berpandangan.

" Akak! Err, nak tanya kejap. Perpustakaan dimana ya?" Gadis itu bertanya apabila Humaira melintasi tempatnya.

Humaira hentikan langkah. Kembali bergerak ke belakang beberapa langkah. " Oh perpustakaan di sana. Agak jauh sikit sebab kena naik tangga tinggi tu." Jawab Humaira sambil menunjukkan ke arah sebuah bangunan tinggi di sebelah kanannya.

" Oh iyeke? Tinggi juga tu. Okay, terima kasih ye kak."

" Sama-sama. Saya pergi dulu ya. Assalamualaikum."

Okay kak. Waalaikummussalam. " Mereka saling membalas senyuman.

Sebelum Humaira semakin jauh, dia sempat mendengar sesuatu.

" Kak Ila, tingginya nak naik tangga tu. Macam mana ni?" Gadis tadi bertanya kepada gadis disebelahnya.

" Takpa, kita naik perlahan-lahan ya."

Mendengarkan itu membuatkan dia mahu berhenti. Humaira memerhatikan mereka berdua dari jauh. Gadis itu mula bangun dibantu oleh sahabatnya. Kemudian, sahabatnya itu menghulurkan dua tongkat kepadanya dan mereka mula berjalan perlahan-lahan.

Humaira tersentuh melihatkan itu. Gadis yang berwajah indah itu sedang dibantu sahabatnya untuk berjalan. Tiada kakinya...

" Tiada yang sempurna di dunia ini. Allahurabbi." Bisik hati kecil Humaira.

Indah mana sekalipun, pasti ada kekurangannya. 
Buruk mana sekalipun, pasti ada kelebihannya.


~ ~ ~ ~ ~


Dalam hidup ini, jika kita sentiasa dihadirkan ingatan bahawa kematian akan menjemput aku bila-bila masa sahaja, pasti kita tidak akan mahu ada sekelumit rasa benci atau dendam dalam hati.

Pasti kita mahu lakukan hanyalah kebaikan. Pasti yang kita mahukan adalah memberikan kebahagiaan kepada insan sekeliling dan memaafkan mereka yang pernah menyakiti dan mendustai kita.

Pasti juga, kita mahukan hanyalah menyayangi setiap mereka disamping kita. Menghargai mereka sesungguhnya. Sepenuh jiwa raga.

Mengasihi dan menyantuni ayahanda bonda sebaik-baiknya !

Namun, lumrah makhluk bernama manusia, kadang ingat kadang lupa. Biarpun hakikat kematian itu nyata akan berlaku. Cuma tarikh dan masanya saja belum kita tahu. Kan?

Saya, entah mengapa sudah berminggu lamanya hadirnya sebuah rasa yakni takut dan sedih akan kematian. Rasa ini menyebabkan sering kali airmata mengalir sendiri.

Teringat semalam, di hujung kelas keusahawanan, Ustaz Athiroh sedang memberikan tazkirah sebelum kelas berakhir, tetiba sahaja terasa syahdu dan hadir lintasan soal KEMATIAN.

'seandainya aku akan mati tak lama lagi...'

Saya dapat merasakan airmata mula bergenang, namun saya cuba menahan ia dari mengalir. Begitulah selalunya apabila berada di tempat awam. Cuba membendung ia, janganlah menangis disitu. Jika merelakan ia mengalir, nanti adalah yang bertanya, 'awak, kenapa ni?' , ' awak ada masalah ke?' Hakikatnya, tidak...

Kadang termenung sendiri, mengapa Allah swt hadirkan perasaan sebegini? Kerap kali. Adakah masaku akan tiba?!

Pabila persoalan itu terkeluar, mulalah ia bergenang di mata ... namun doa pantas melintasi ! Memohon pada-Nya, jangan ya Tuhan... Aku belum bersedia... Aku belum bersedia.

Semakin sedih dan sebak rasanya. Allahuakbar.

Mintalah penangguhan bagaimana sekalipun, andai tiba masanya ajal maut kita, tidak akan ada penangguhan lagi dari Tuhan, walau sesaat. Itu janji Dia.

Justeru, belajarlah memaafkan sesiapa sahaja yang pernah menoreh luka dalam hidup kita. Sekarang.

Marilah sama-sama kita tanamkan dalam hati, bahawa kehidupan ini terlalu singkat untuk membenci.

Padamlah ia. Dengan harapan, andai kita dijemput pulang, kita telah memaafkan dia dan kita telah memohon maaf kepada semua, mudahan kepulangan kita dalam ketenangan... aamiin.


Kita pernah membuat kesilapan, dia juga begitu. Di dunia ini, tiada yang sempurna, itulah hakikat kehidupan ini.

Maka, maafkanlah. 

Itulah yang mahu saya sampaikan dari kisah pendek di atas. Spontan tulis semasa memulakan perkongsian ini.
Semoga terdapat manfaat dari perkongsian kali ini, walau secebis cuma.

Kematian, sesuatu yang menakutkan dan menyedihkan, andai kita tidak bersedia menempuhinya...
Bagaimana pengakhiran kita di akhirat sana? Tanya diri.

Seandainya pernah dilukai, disakiti, didustai, dihampakan, ditoreh kepercayaan,
Mewujudkan kebencian dihati.

Hapuskanlah. Hapuskanlah.
Hapuskanlah.

Kerna apa ... Kerna ajal maut kita, tidak kita ketahui.
Bilakah kita akan mati.

Maafkanlah.
Moga kita kembali dalam ketenangan dan keimanan.
Aamiin.

Allah swt bisa mengampunkan kita, takkan kita sukar memaafkan dia? :)


Saya memohon jutaan kemaafan kepada sekalian kenalan dan pembaca budiman atas segala salah silap saya. Semoga kalian sentiasa dalam jagaan Tuhan. Doakan saya kembali kepada-Nya dalam keimanan, senyuman dan ketenangan. Doakan saya dan sedekahkan Al-Fatihah buat saya andai saya pergi dulu.
Permintaan dan pengharapan tinggi dari bakal jenazah. Allahurabbi...


Salam sebarkan sinar Ilahi...

Jadilah seperti rama-rama, indah dan cantik.

namun ia sentiasa berterbangan menyebarkan keindahan pada dirinya.

Yakni, jadikan diri kita, walau kemana kita bertebaran, kita membawa keindahan Islam, samada dari segi akhlak, butir bicara, pemakaian dan sebagainya.

Paling koman kita nak sebarkan keindahan Islam adalah melalui cara pemakaian kita.

 Kita berpakaian tertutup sempurna dan mereka yang memandang, hadir ketenangan jiwa.
~ Umie Balqis ~









Ukm Bangi
220414
0930 pm

No comments:

Post a Comment