Wednesday 4 January 2017

Ada Bahagia Untuk Anak Ayah




Sufiya : Pa, kenapa takdir Fiya macam ni ya pa?

Papa : Fiya sayang, jangan persoalkan macam tu. Fiya percaya qada qadar Allah kan?

Dengan perlahan, Fiya mengangguk lesu disisi papa. Dah lama benar dia tidak berbual begitu dengan papa sejak disibukkan dengan urusan kampus.

Hujung minggu itu, kebetulan dia keluar dengan papa dan Allah takdirkan dapat bersembang dari hati ke hati dengan papa. Inilah antara satu nikmat dan detik indah dalam hidupnya. Meluah segala resah gelisah di jiwa pada papa.

Papa menoleh ke kanan, menatap wajah Fiya. Begitu juga Fiya, dalam tak sedar air matanya dah bertakung.

Papa ; Fiya, kenapa nak menangis ni? Ceritakan pada papa.

Fiya terus tunduk tanpa balasan kata. Tak mampu nak bersuara apabila papa seolah-olah dapat mebaca isi hatinya. Dua tangannya digenggam erat, menatap saja genggaman itu.

Tanpa diminta, tangan papa mengangkat wajah Fiya.

Papa : Dengar sini anak kesayangan papa. Hidup ini tak semua indah belaka, ada masa pahit terpaksa kita telan walaupun kita tak mahu. Betul tak?

Fiya mengangguk saja.

"Fiya percaya tak apa yang Allah beri sebenarnya baik untuk kehidupan Fiya?"

Sekali lagi dia mengangguk. Dia bersedia mendengar dan menerima nasihat dari papa tika itu.

"Senyum Fiya sayang. Papa tak suka tengok anak gadis papa yang manis ni monyok macam ni.

Fiya tahu tak, papa tak pernah lupa doakan Allah berikan kebahagiaan kat anak papa ni. Setiap kali Fiya bersedih macam ni, Fiya diberikan ujian, papa lagi banyak mendoakan Fiya.

Fiya, seorang ayah itu tak ada benda paling besar dan lebih membahagiakan melainkan melihat anaknya tersenyum. Lebih-lebih lagi anak perempuannya. Pastinya dia mahu anaknya gembira dan bahagia selalu.

Fiya, jangan bersedih dengan apa yang berlaku sayang. Papa selalu beranggapan jika perkara macam ni berlaku bermakna dia bukan untuk anak papa. Dia bukan terbaik untuk anak papa.

Dan papa nak Fiya tahu, kalau tiada jodoh Fiya di dunia sekalipun, papa tak kisah. Sebab papa yakin, yang terbaik untuk Fiya sebenarnya ada di atas sana." Ujar papa sambil menunjukkan ke atas, langit. Papa mengukirkan senyuman untuk Fiya.

Pantas Fiya melihat ke wajah papa bersama airmata yang berlinangan. Papa tak pernah tak menuturkan bait kata yang amat memujuk jiwanya. Kerana itu dia sangat suka meluahkan kepada papa, Bersyukur dia atas kurniaan seorang papa yang sangat memahami.

"Papa, kenapa papa selalu macam ni dengan Fiya? Papa selalu pujuk hati Fiya...."

"Sebab papa tahu bagaimana perasaan anak papa ketika ini. Senyum Fiya, nak bahagiakan papa kan?"

"Ya pa..."

"Kalau macam tu senyum ya. Anak papa kuat, kan? Yakinlah pasti ada bahagia nanti. Allah bagi sakit sekarang supaya nanti bahagia yang datang jadi lebih berharga untuk Fiya."
Papa terus memeluk bahu Fiya, terasa mengalirnya kasih sayang seorang ayah kepada anaknya.

Perlahan-lahan Fiya menyeka air mata yang membasahi pipi.

"Pa, Fiya sayangkan pa sangat. Pa doakan Fiya selalu ya. Doakan Fiya sentiasa kuat."

"Iya Fiya, itulah doa papa selalu. Selepas ini buka hati Fiya untuk menerima suatu yang baru. Pa harap itu akan lebih lagi membahagiakan anak papa ini. Yang lebih menghargai Fiya. Senyum sayang papa." Tangan kasar papa mengusap lembut belakang kepala Fiya.

'Ya Allah, tolong sayangi ayah tercinta aku ini. Tolong rahmati papa ku ini. Panjangkan umurnya. Aku belum puas bersamanya.' Doa hati kecil Fiya, tanda sayang yang tak ternilai terhadap ayah tercinta di dunia ini. Baginya, papa adalah segala untuknya.


Nukilan Jiwa Umie Balqis :)

No comments:

Post a Comment