Wednesday 13 March 2013

KERANA TEMAN, TERKIKIS PERIBADI



            Dengan lafaz suci ana memulakan tinta kali ini, beserta hasrat yang satu, menyebarkan ilmu Allah swt dan meneruskan perjuangan rasul junjungan kita, Nabi Muhammaad saw menyampaikan kebenaran. Syukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan rahmat-Nya yang diberikan kepada kita sehingga detik ini, kita masih bisa menghirup oksigen segar untuk meneruskan kehidupan harian. Alhamdulillah, Alhamdulillah, alhamdulillah. Sudahkan kawan-kawan juga melafazkan rasa syukur hari ini? =)



~ ~ ~ ~ ~


            “ Sue, jom temankan saya ke lobi pentadbiran sekejap. Saya mahu melihat samada barangan pos saya sudah sampai ke sini atau belum.” Ajak Rifdha ketika dia singgah di bilik Sue tengah hari Jumaat itu.

            “ Okay, jom! saya pun tengah free ni.” Dengan rela hati dia menerima ajakan itu. Segera Sue menutupi aurat selengkapnya sebelum melangkah keluar dari kamar di asrama puteri.

            Di lobi pentadbiran.

            “ Bismillah, mudah-mudahan barang saya tu dah sampai.” Harapan Rifdha sambil menolak perlahan pintu bercermin hitam itu.

            Dia terus membelok ke kiri menuju ke kaunter tempat barang-barang pos diletakkan. Dia melihat nama di setiap bungkusan barangan pos di situ. Sue turut membantu.

            “ Tiada pun barang kepunyaan awak.”

            “ Iyalah. Tak ada. Hmm, tak apalah. jomlah balik.” Dengan rasa teramat kecewa, Rifdha mula mengorak langkah keluar dari situ. Sue setia mengekorinya dari belakang.

            “ Hishh, saya tak tahulah kenapa barang saya tu tak sampai lagi. Apalah masalah syarikat tu. Kalau mengikut kebiasaannya, hari ketiga dah sampai, tetapi hari ni dah hari keempat. Tak sukalah macam ni.” Rungut Rifdha sewaktu mereka sedang berjalan pulang. Wajahnya juga turut mempamerkan riak kecewa.

            “ Eh, kenapa Rifdha jadi macam ini?” Sue menyoal dirinya di dalam hati.

~ ~ ~ ~ ~

            Selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di surau asrama puteri, dia mengisi waktu lapang dengan membaca Al-Quran, sementara menanti masuknya waktu Isya’. Di kamar, telekung solat ditanggalkakn namun selendang lengkap yang dipakai di dalam telekung tidak ditangalkan. Dia mula membuka Al-Quran tafsir. Rifdha memerhatikan setiap ayat suci itu sambil bibir lancar membacanya. Sesekali dia mengulang ayat sama berulang kali kerana terdapat beberapa ayat yang sering dia tersilap membacanya.

            Matanya terasa sangat lemah. Tidak mampu bertahan lagi. Barangkali jasadnya terlalu penat kerana seharian suntuk dia aktif di luar kamar, sehingga terlepas waktu rehat di tengah hari. Perlahan-lahan dia menjatuhkan diri.

            Tepat jam 9.30 malam dia terjaga dari lena.

            “ Allah, terima kasih kerana telah memberikan sedikit waktu untukku melepaskan kepenatanku.” Dia tetap melafazkan rasa syukur walaupun dia turut sedar, dia telah terlepas solat berjemaah di surau.

            Sebenarnya dia terkilan juga kerana hasrat hatinya mahu menunaikan solat Isya’ berjemaah malam itu tidak kesampaian.

            “ Ya Allah, aku bermohon pada-Mu jauhilah diriku dan sekalian hamba-Mu dari kemungkaran, dan dekatkanlah diri kami dengan kebaikan. Jauhi kami dari azab neraka, tetapi dekatkanlah kami dengan nikmat syurga-Mu. Ya Allah, ku bermohon pada-Mu sedarkanlah aku andai aku terjerumus dalam kelalaian. Ya Rabb, aku tidak kisah sekiranya aku tidak mempunyai ramai kawan. Apalah gunanya ku mempunyai ramai kawan, tetapi mereka membawa ku kepada kelalaian. Aku tidak mahu sebegitu Ya Rabb, maka Sedarkanlah aku agar tidak terus terleka dengannya dalam kehidupan ku ini. Aku tidak mahu alpa dan jauh dari Mu ya Rabb.”
Doanya penuh dengan pengharapan kepada Tuhan Yang Maha Mendengar, usai menunaikan solat Isya’ sendirian di kamar.

~ ~ ~ ~ ~

           
            Petang itu Rifdha berubah sikap. Dia banyak membisu. Tidak seperti selalu. Dia duduk di pondok kawasan padang tempat pelajar puteri beriadhah. Dia merenung kebesaran Tuhan di hadapannya, sang burung sedang berlenggang-lenggok di rumput hijau.

            “ Burung, aku sedang bersedih sekarang ini. Aku ingin menjadi sepertimu. Engkau selalu bertasbih memuji Allah swt dan Rasul-Nya, kan? Sedangkan aku ini, manusia yang ditimpa pelbagai ujian kekadang sehingga membuat aku terlalai dari mengingati Allah swt… Sekarang aku merasa aku jauh dari-Nya, aku sedih…” Bicara hati kecilnya. Matanya tidak lepas dari melihat gerak geri seekor burung itu.

            Tiba-tiba sahaja, hadir dua ekor lagi burung berlenggang-lenggok di tempat yang sama. Dia makin tertarik. Seeolah-olah burung-burung itu memahami luahan hatinya.

            Dia merenung kembali sikapnya beberapa hari lepas. Gelagatnya sewaktu bersama dengan teman-teman. Ya! kini dia temui mengapa dia merasa jauh dari Allah swt. Dia sudah temui kesilapannya sendiri!

            Air matanya menitis…

            Ya! Dia banyak sangat ketawa semenjak beberapa hari lalu. Dia bergaul dengan beberapa sahabat yang jenis sangat ‘open’. Banyak berbual perkara yang tidak bermanfaat. Kalah dalam mujahadah@strugle dari perkara lalai! Teringat dirinya akan nasihat Pak cik Faisal dalam halaqah, untuk menjaga roh@jiwa kita, perlu lakukan 4 perkara, mua’hadah ( perjanjian dengan Allah swt, dalam Al-Fatihah ), muraqabah ( sentiasa merasai & kebersamaan Allah dengan kita ),  muhasabah, dan mujahadah.

            Sedangkan dirinya yang sebenar berbeza dengan dirinya beberapa hari lalu…

~ ~ ~ ~ ~

            Sue datang ke kamarnya. Dia mengalu-alukan kehadiran rakan seperjuangan itu. Melihatkan wajah Sue yang sedikit kusut, Rifdha sudah dapat mengagak ada sesuatu masalah yang dihadapi temannya itu.

            “ Rifdha, maaflah jika saya mengganggu awak ni. Sebenarnya ada masalah. Sejak akhir-akhir ini, saya sedikit tertekan.”

            “ Eish, tidak mengganggu pun Sue. saya okay saja. Sue ada masalah apa?” Dia sebagai setiausaha dalam fakulti yang sama dengan Sue, sentiasa sedia mendengar masalah Sue, kerana gadis comel itu memegang taklifat sebagai ketua fakulti. Apabila mereka satu barisan dalam perjuangan, maka mereka lebih suka berkongsi masalah ahli-ahli fakulti bersama. Saling merasainya dan memikirkan jalan penyelasaian.

            “ Berat kan setiap amanah yang Allah swt berikan kepada kita? Apabila saya memegang taklifat sebagai ketua ini, saya menerima banyak teguran tentang kawan-kawan kita. Allah… Masalah terbaru, saya baru menyedari sesuatu, seorang sahabat kita ini sangat open ketika bermuamalah atau berhubungan dengan lelaki. Awak pun mengetahui bagaimana diri saya. Tidak pernah berhubung dengan lelaki semenjak di alam persekolah menengah, bila masuk kampus, barulah saya mula berhubung dengan lelaki, itupun atas dasar gerak kerja. Saya amat sedih dengan seorang sahabat ini, berhubung dengan lelaki tanpa urusan kerja, bebas… Maafkan saya, saya tidak bermaksud mahu cakap belakang, tetapi sekadar ingin meluahkan.” Sue tunduk sayu…

            Rifdha pantas mengangguk, tanda sangat memahami luahan hati Sue.

            “ Sue, saya amat memahami. Saya pernah alami apa yang awak perkatakan. Siapa tidak sedih hati apabila kawan kita bersikap sedemikian kan? Jika boleh, kita juga mahu dia menjadi seperti kita, saling menjaga ketika berhubungan dengan lelaki, kan? Tetapi itulah… walaupun kita telah mengetahui, itu peribadinya yang sebenar, kita tiada upaya untuk mengubahnya 100%
namun kita masih ada cara. Mungkin kita boleh menasihatinya agar cuba berlatih menjadi seorang gadis yang ‘menjaga’, sebagai permulaan pun ketika bergerak kerja dengan lelaki sahaja dahulu. Praktis dalam ‘menjaga’.”

            “ Tetapi, jika saya melihat kawan-kawannya, hampir semuanya juga jenis open kan? di situ, mungkin dia terpengaruh dengan kawan-kawan juga. Apapun, kita masih boleh cuba menasihatinya. Walaupun kita sendiri masih dalam proses memperbaiki diri, kita tetap boleh membawanya agar bersama-sama menjadi muslimah yang terjaga, menjaga dan dijaga. Bak kata Pak cik Faisal, kita kena beranggapan, tak kan kita nak masuk seorang saja dalam syurga, mesti bawa orang lain juga. =)” Sambung Rifdha sambil menatap wajah Sue di hadapannya. Senyuman terukir di bibir comelnya.

            “ Ya, saya setuju dengan awak. Ada juga seseorang memberi cadangan, kita memberikan kata-kata berkaitan muslimah kepadanya tanpa dia mengetahui siapakah penghantarnya. Mungkin kita boleh menyelitkan kertas kata-kata itu di buku nota yang selalu dibawanya dan meletakkannya di atas meja belajar. Pendek kata kita menjadi secret admirer dia.hehe.  Tetapi perkara ini haruslah dilakukan secara berterusan, barulah berkesan. =)”

            “ Insya-Allah, setuju juga dengan cadangan itu. Selain kita direct bertemu dengannya, kita akan turut menggunakan cadangan kedua ini jika dia tidak dapat menerima teguran kita.”

            “ Mudah-mudahan berkesanlah ya apa yang ingin kita laksanakan ini. Moga Allah swt redha.” Harapan Sue untuk menangani masalah sahabat.

            “ Sue, sebenarnya saya pernah alami masalah terpengaruh dengan kawan-kawan. Saya baru sahaja muhasabah diri saya. Ingat lagi tak semasa kita ke lobi pentadbiran tempoh hari? Saya merungut apabila barang saya tidak sampai ke kampus lagi, kan? Sebenarnya, selepas saya merungut itu, saya tersedar. Saya tertanya-tanya pada diri ketika itu juga ‘ kenapa aku jadi macam ni?’ Bukan apa Sue, biasanya saya ni akan cakap ‘ ada hikmah Allah swt perkara ni berlaku’ jika terjadi sesuatu kepada saya. Tetapi hari itu tidak… Saya merungut dan menjadi tidak sabar! Apabila saya telah merenungi diri, rupanya saya terpengaruh dengan kawan juga. Saya menjadi leka, dan lalai semasa bersama mereka sehingga sedikit demi sedikit sikap bersangka baik kepada Allah swt terhapus dalam diri saya.”

            “ Allah… Nasib baiklah Allah swt segera menyedarkan saya, Sue… Jika tidak, pasti makin banyak sikap saya terhakis tanpa saya sedari dan saya menjadi makin jauh dari-Nya… betapa Allah swt itu Maha Penyayang, kan Sue? Sesungguhnya saya tidak mahu kerana teman, terkikis peribadi sebenar saya. Nauzubillah. Moga Allah swt sentiasa menjaga kita.”

            Sue menarik nafas seolah-olah menyedut kata-kata Rifdha. “ Ya, betul kata awak. DIA sangat penyayang. Sebenarnya, saya turut menyedari perubahan sikap awak pada hari itu. Bersyukurlah Allah swt masih sudi memberikan kita kesedaran sebelum kita makin hanyut dalam kelalaian.”

            “ Ya, disebabkan itu sering diperkatakan betapa pentingnya kita memilih kawan yang baik akhlaknya dalam menjalani kehidupan kita. Sahabat kita akan mencerminkan diri kita. Bagi saya, jika kita sehebat Sheikh Abdul Qadir Al Jailani yang hatinya tak berubah apabila ditimpa musibah, boleh saja kita mahu berkawan dengan sesiapa pun hatta peminum arak. Tetapi kita harus kuatkan jiwa kita menghadapai pelbagai cabaran ketika berdampingan dengan mereka. Kita perlukan keteguhan iman dan jiwa, sesungguhnya inilah proses membersih dan memperkuatkan jiwa kita.

“ Ya Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan muslim ( berserah diri kepada-Mu )” Surah Al-A’raf ayat 126.



p/s : Berwaspada dalam berkawan, jangan sampai diri kita terkorban. Bijaklah dalam mempertahankan peribadi sebenar kita walau ombak tsunami menimpa kita. Teringat ana akan bicara seorang teman, senang saja mahu mengetahui kita berukhuwah @ berkawan dengan seseorang  kerana Allah swt. Lihatlah diri kita sewaktu bersama sahabat, samada dia membawa kita mengingati Allah atau dia melalaikan kita dr Allah swt.”

Moga bermanfaat perkongsian ringkas ini. =)

Di kesempatan ini juga, saya mahu mencoretkan bicara penghargaan kepada seorang pembaca setia blog yang tidak seberapa ini iaitu, Ukhti Noorlini bt Zulkipli. Syukran kathyra kerana sentiasa memberi sokongan kepada penulisan saya. Amat menghargaimu, dan semoga Allah swt sentiasa menyayangi dirimu. Syukran kathyra juga kepada sahabat-sahabat lain yang membaca penulisan saya di sini. Moga bermanfaat untuk kalian walaupun saya tahu, belum banyak ilmu yang dapat saya selitkan bersama penulisan saya. Kebanyakannya sebagai perkongsian sahaja, jika merasakan ada ibrahnya, akan saya sebarkan di sini, sesuailah dengan tema Sebarkan Sinar Ilahi. hehe. Insya-Allah.

 Special juga untuk sahabat-sahabat dari UIA, junior adik Raihana di MTQN Melaka, sahabat-sahabat MMPM , kenalan-kenalan di bengkel penulisan kontemporari Telaga Biru dan semua pembaca setia blog saya. Moga Allah swt merahmati kalian sampai syurga. amin, amin, amin. (Majoriti sahabat-sahabat ini saya mengenali mereka di Fb, tetapi turut terasa ukhuwah kerana Allah swt. subhanaAllah.)

~ salam cinta dan sayang seluas Sungai Nil =)~



Nukilan : Permata Alwalidaini.
Tarikh ditaip : 2/3/2013
Jam dua pagi senget-senget sikit. hehe

No comments:

Post a Comment